Showing posts with label dalil. Show all posts
Showing posts with label dalil. Show all posts

04 October, 2012

Tafsir Surah Jumuah (62) - Ayat 9 (Adab Solat Jumaat)



Hari Jumaat orang Islam tidak seperti Hari Sabtu orang Yahudi. Surah ini juga mengajarkan kita untuk menjaga keseimbangan antara dunia dan akhirat. 

Kita kena hargai wahyu (Al-Quran) yang Allah berikan. Orang Yahudi tidak menghargai Taurat yang diturunkan kepada mereka. Mereka hanya melafazkan sahaja seperti mana kebanyakan orang kita. 

Maka untuk selamat dunia dan akhirat, kita perlu budayakan tadabbur Al-Quran bukan setakat membacanya sahaja. 

Bagaimana cara untuk mencapai kejayaan?
Dari segi individu - membaca Al-Quran akan menambahkan ilmu pengetahuan. 

Dari segi kolektif - Allah telah menjanjikan yang satu hari walau di mana sahaja berada, tanpa perlu diiklankan pun, semua kaum lelaki akan berkumpul beramai-ramai tanpa perlu diajak.

Betapa hebatnya waktu itu kerana Solat Jumaat ini dihadiri oleh semua lapisan masyarakat, tidak mengira darjat pangkat, ilmu, umur dan sebagainya. Semuanya datang kerana tahu ia adalah WAJIB. Dan kalau tidak datang, pasti akan malu sendiri.

Jadi, setiap hari Jumaat, setiap masjid akan penuh dengan umatnya. Maknanya, setiap hari Jumaat adalah Hari Perjumpaan Umat Islam. 

Tidak sama dengan agama lain, contohnya Kristian, tidak semua akan masyarakat akan pergi ke gereja pada hari Ahad. 

Di kesempatan ini, sepatutnya khatib masjid menggunakan peluang ini untuk menyampaikan pengajaran utama dan menyentuh masyarakat bukan sekadar membaca teks secara hambar, tidak menyentuh kehendak masyarakat, tiada pengajaran dan tanpa kata-kata yang menarik tentang agama. 

Ruginya waktu yang ada tidak digunakan sepenuhnya untuk menyampaikan pengajaran agama kepada umat islam.

Allah telah menetapkan Hari Jumaat adalah hari pembelajaran kepada manusia. Inilah peluang terbaik kepada guru agama kerana ilmu yang ada perlu disampaikan kepada masyarakat sekurang-kurangnya ilmu asas agama. 

Lelaki adalah ketua keluarga. Tugasnya adalah menyampaikan ilmu kepada ahli keluarganya. Kerana itu, masyarakat islam terus lemah kepada ilmu yang patut mereka dapat tidak disampaikan kepada mereka. 

"Hai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui."

Tafsir : 
"Hai orang-orang beriman, "
Allah hendak mengajarkan kepada orang islam cara memanfaatkan masa untuk belajar ilmu agama. Ilmu amat penting dalam beramal. 

Kalau setakat beriman, tanpa ilmu, boleh hanyut dan terbuat perkara yang salah pula. 

"apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat,"
Sebagai umat islam Lelaki, adalah wajib untuk Solat Jumaat. Tiada alasan untuk tidak pergi solat Jumaat di masjid jika tidak uzur. 

Cara untuk menunaikan Solat Jumaat ada terdapat dalam Sunnah Nabi SAW. Jadi agama islam adalah tidak lengkap tanpa Hadis dan Sunnah baginda. 

Hari Jumaat : 
1. Jumaat bermaksud berkumpul. Terma baru ini wujud setelah Nabi SAW menerima wahyu daripada Allah. Sebelum ini, Hari Jumaat adalah Hari Arabah.

2. Sebelum Islam
Hari Utama dalam agama telah ada pada Ahli Kitab. Hari Sabtu untuk Yahudi yang merupakan hair ibadah khusus sepanjang hari kerana hari itulah mereka Bani Israil diselamatkan dari perhambaan Firaun. 

Puas Nasrani pula (Kristian) menjadikan Hari Ahad sebagai hari ibadah. Ini tidak diajar pun oleh Nabi Isa as ataupun Kitab Injil. Mereka hanya mereka-reka sendiri untuk membezakan dengan Yahudi. 

Kepercayaan mereka, Nabi Isa wafat dan akan hidup semula pada hari Ahad dan diangkat ke langit. 

Apabila islam kembali naik, maka Allah memilih Hari Jumaat sebagai hari utama. Sebenarnya Hari Utama bagi Ahli Kitab adalah Hari Jumaat tetapi mereka telagh mengubahnya. 

3. Solat Jumaat ini telah diwajibkan semasa di Mekah lagi. Namun, ia tidak dapat diamalkan kerana ketika itu islam masih lagi lemah. Apabila umat islam di Madinah mahu beriman, makan Nabi SAW telah mengarahkan Solat Jumaat di Madinah. Solat Jumaat yang pertama adalah dengan 12 orang makmum dan waktu itu, Nabi SAW belum lagi berhijrah ke Madinah. 

4. Solat Jumaat adalah antara perkara pertama di Madinah yang Nabi SAW jalankan semasa sampai di sana iaitu di perkampungan Bani Salim selepas bergerak dari Quba'.

5. Waktu solat Jumaat adalah sama dengan Waktu solat Zuhur.

6. Walaupun sama waktu, namun rakaatnya hanya 2 dan 2 rakaat lagi digantikan dengan khutbah.

7. Azan pada zaman Nabi SAW, khalifah Abu Bakar dan Umar, adalah semasa khatib naik mimbar. Tetapi semasa pemerintahan Saidina Uthman, disebabkan islam telah berkembang pesat, azan dilaungkan sebelum waktu zohor bagi mengingatkan qariah. 

8. Hari Jumaat ini adalah hari yang sangat mulia yang mana: 
a. solat Jumaat padanya, 
b. semua makhluk sempurna penciptaannya pada hari Jumaat, 
c. hari keenam penciptaan langit dan bumi
d. Penciptaan Nabi Adam as.
e. Nabi Adam as masuk ke syurga
f. Nabi Adam as keluar dari syurga
g. Hari terjadinya kiamat. 

"maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah"
Apabila azan berkumandang, bersegeralah (fokus) ke masjid. Jangan pula kita berlari untuk solat di masjid, kerana itu adalah tindakan yang dilarang.

"Mengingati Allah" bermaksud "sembahyang dan mendengar khutbah". Di dalam khutbah mengandungi peringatan tentang Allah, puji-pujian kepada Allah, berdoa, ingat syariat dan sebagainya. 
Semasa kita dalam perjalanan ke masjid dan selepas itu, hendaklah kita perbanyakkan zikir. 

"dan tinggalkanlah jual beli."
Waktu itu tinggalkanlah segala urusan walaupun sedang mengumpul keuntungan. Perkara ini adalah susah sebenarnya. Jika orang beriman dengan sebenarnya, dia sanggup tinggalkan demi Allah. 

Tidaklah kira apa yang kita perbuat pada ketika itum seperti makan minum, bersenda gurau, malah sedang belajar hendaklah dihentikan. 

Hari Jumaat adalah hari peringatan padang mahsyar dan setiap minggu kita diingatkan tentang kematian. 

Maka apabila azan dikumandangkan, segala urusan adalah diharamkan. Meninggalkan solat Jumaat sampai 3x boleh menyebabkan Allah kunci mati hati orang yang wajib menghadirinya. 

Maka jadikanlah hari Jumaat sebagai Hari Istimewa di mana setiap pagi, perbanyakkan baca Al-Quran dan pergi awal ke masjid dengan berpakaian cantik dan indah. Selain itu digalakkan mandi wajib dan berkemas semampu kita.

"Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui."
Segala nasihat ini adalah baik untuk kita. Di akhirat kelak ia amat berguna kepada kita. 



15 June, 2010

Tafsir Surah ar-Ra'd (Guruh) Ayat 10 - 13 (Malaikat Penjaga)

 


Ayat 10

"Sama saja (bagi Tuhan), siapa di antaramu yang merahsiakan ucapannya, dan siapa yang berterus-terang dengan ucapan itu, dan siapa yang bersembunyi di malam hari dan yang berjalan (menampakkan diri) di siang hari."


Tafsir :

Sama saja (bagi Tuhan), siapa di antaramu yang merahsiakan ucapannya, dan siapa yang berterus-terang dengan ucapan itu,

Allah mendengar segala apa yang kita ucapkan samada bercakap secara rahsia, berbisik atau dengan nyata. Tiada satu pun dapat disembunyikan daripada Allah. 


dan siapa yang bersembunyi di malam hari dan yang berjalan (menampakkan diri) di siang hari.

Allah sentiasa nampak apa yang kita perbuat samada secara tersembunyi atau nyata. Inilah kesempurnaan ilmu Allah yang tiada had. 


Ayat 11 

Ini ayat takwif duniawi.

Allah tahu segala dosa kita, kenapa kita masih belum diazabkan lagi?

"Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia."


Tafsir :

Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya,

Allah hantar malaikat yang sentiasa mengikut ke mana sahaja kita pergi (malaikat penjaga) dan sentiasa bertukar ganti. Setelah habis bertugas, diganti dengan malaikat lain.


Tugas para malaikat penjaga :

1. memastikan orang itu tidak mati sebelum masanya. Contohnya, excident teruk, tetapi orang itu tidak mati kerana masanya belum tiba dan dia dijaga oleh malaikat.


2. menjaga manusia daripada dimasuki jin. Jika malaikat ada, jin tidak berani datang. Jika kita berbuat syirik, malaikat akan meninggalkan kita dan senanglah jin kacau kerana kita tiada lagi pelindung.


Hadis sahih :

Malaikat-malaikat di malam hari dan malaikat-malaikat di siang hari silih berganti menjaga kalian, dan mereka berkumpul di waktu salat Subuh dan salat Asar. Maka naiklah para malaikat yang menjaga kalian di malam hari, lalu Tuhan Yang Maha Mengetahui keadaan kalian menanyai mereka, 


“Dalam keadaan apakah kalian tinggalkan hamba-hamba-Ku?” Mereka (para malaikat malam hari) menjawab, “Kami datangi mereka sedang mereka dalam keadaan solat dan kami tinggalkan mereka sedang mereka dalam keadaan solat.”


"Sesungguhnya bersama kalian selalu ada malaikat-malaikat yang tidak pernah berpisah dengan kalian, terkecuali di saat kalian sedang berada di tandas dan ketika kalian sedang bersetubuh, maka malulah kalian kepada mereka dan hormatilah mereka."


mereka menjaganya atas perintah Allah.

Malaikat menjaga kita depan dan belakang. Dengan turunnya ayat ini, Nabi Muhammad SAW tidak gentar dengan ancaman musuh kerana baginda tahu ada penjaga. 


Malaikat menjaga semasa kita tidur dan terbangun daripada kejahatan jin, manusia dan haiwan buas melainkan dengan takdir Allah, maka barulah dapat mengenainya.


Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.

Kamu akan dikenakan azab kalau tidak mengubah diri. Maksudnya, manusia akan terus mendapat kebaikan selagi dijaga oleh malaikat kecuali kalau mereka mengubah amalan dan agama mereka. 


Ayat ini sentiasa menjadi hujah. Manusia membuat kesalahanlah yang menyebabkan Allah menguji mereka dengan musibah. Sebenarnya Allah menguji ketaatan manusia. Bukanlah mereka diuji kerana kesalahan yang dilakukan. Janganlah kita kata seseorang itu berdosa kerana itulah mereka diuji. 


1. Jagalah hati orang. 

2. Kita tidak tahu hakikat kesusahan (ujian) yang dialami oleh orang itu. 


Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya;

Kalau Allah sudah takdirkan musibah atau azab kepada sesiapa, tiada sesiapa yang boleh menghalang. 


dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.

Sesiapa pun tidak akan ada yang dapar menjadi pelindung atau penolong kepadanya.


Ayat 12

"Dialah Tuhan yang memperlihatkan kilat kepadamu untuk menimbulkan ketakutan dan harapan, dan Dia mengadakan awan mendung."


Tafsir : 

Dialah Tuhan yang memperlihatkan kilat kepadamu

Kenapa Allah tunjukkan kilat kepada kita?


untuk menimbulkan ketakutan dan harapan,

Dalam kilat ada takut iaitu takut disambar kilat.


Dalamnya juga ada pengharapan, kerana kalau sedang kemarau, kilat itu petanda hari nak hujan. Jika mendengar guruh atau petir, Rasullullah mengajarkan untuk mengucapkan doa :

اللَّهُمَّ، لَا تَقْتُلْنَا بِغَضَبِكَ، وَلَا تُهْلِكْنَا بِعَذَابِكَ، وَعَافِنَا قَبْلَ ذَلِكَ

"Ya Allah, janganlah Engkau bunuh kami dengan murka-Mu, dan janganlah Engkau binasakan kami dengan azab-Mu, dan maafkanlah kami sebelum itu."



dan Dia mengadakan awan mendung.
Sifat awan itu berat kerana ada air di dalamnya. Apabila berlanggar sesama sendiri, maka terjadilah kilat. 


Ayat 13
Selepas kilat, guruh pula.
"Dan guruh itu bertasbih dengan memuji Allah, (demikian pula) para malaikat kerana takut kepada-Nya, dan Allah melepaskan halilintar, lalu menimpakannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan mereka berbantah-bantahan tentang Allah, dan Dialah Tuhan Yang Maha keras seksa-Nya."


Tafsir :
Dan guruh itu bertasbih dengan memuji Allah, (demikian pula) para malaikat kerana takut kepada-Nya,

Ada dua terjemahan : 

1. Mungkin Petir
Langit juga bertasbih. Caranya dengan bunyi guruh. Jadinya apabila bunyi guruh, kita pun perlu bertasbih juga.

2. Mungkin Suara Malaikat
Malaikat bertasbih dengan memuji Allah dan kerana takutkan Allah. Bunyi guruh amat kuat dan menakutkan. Tapi Allah sudah memberitahu yang malaikat yang bertasbih. Mereka kenal Allah. Jadinya, kalau kita tidak takut kepada Allah, maknanya kita tidak kenal Allah.


dan Allah melepaskan halilintar, lalu menimpakannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki,
Dan kadang-kala ada halilintar yang boleh membunuh jin dan manusia. Halilintar banyak terjadi pada akhir zaman. 


dan mereka berbantah-bantahan tentang Allah,
Walaupun Allah sudah menurunkan ayat-ayat yang menakutkan, tetapi manusia tetap mempersoalkan tentang Allah. Masih lagi mengamalkan syirik dan tidak mahu belajar tentang tauhid bagi membezakan yang mana yang syirik. 


dan Dialah Tuhan Yang Maha keras seksa-Nya.
Allah boleh menggunakan kekasaran kepada sesiapa pun. Allah boleh mengenakan musibah sehinggakan memusnahkan mereka. Maka jangan buat ikut suka hati, syirik dan dosa secara berleluasa dan melampaui batas. 



05 July, 2009

Tafsir Surah an-Nur Ayat 24 – 27 (Jangan masuk rumah orang melulu)


Ayat 24
Balasan azab akhirat kepada mereka yang membuat tuduhan palsu.

"Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan."

Tafsir :
Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka

Pada hari akhirat, kaki, tangan dan lidah akan menjadi saksi ke atas diri kita. Waktu itu, memang tiada harapan untuk menafikan apa yang anggota kita katakan. 

Allah mengajarkan bahawa kita boleh mengawal apa saja yang dilakukan oleh tangan, kaki dan lidah kita untuk berbuat kebaikan. Di akhirat nanti, kawalan itu sudah ditarik balik.  

Ayat ini turun untuk membersihkan nama Aisyah ra yang difitnah sebagai penzina. 

terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.

Waktu sekarang, lidah, tangan dan kaki taat kepada tuannya. Di akhirat nanti, ada manusia yang meminta saksi, maka Allah menjadikan anggota mereka sendiri sebagai saksi. Jika berbuat keburukan, ia adalah lawan. Jika berbuat kebaikan, ia menjadi kawan.


Ayat 25 
"Di hari itu, Allah akan memberi mereka balasan yang setimpal menurut semestinya, dan tahulah mereka bahawa Allah-lah yang Benar, lagi Yang menjelaskan (segala sesuatu menurut hakikat yang sebenarnya)."

Tafsir : 
Di hari itu, Allah akan memberi mereka balasan yang setimpal menurut semestinya,

Di akhirat nanti, Allah akan membalas segala perbuatan manusia dengan adil kerana Allah maha mengetahui segala-galanya. Segala kebaikan dibalas dengan berlebihan dari perbuatan. Dosa pula akan dibalas kalau Allah tidak mengampuninya. 

dan tahulah mereka bahawa Allah-lah yang Benar, lagi Yang menjelaskan (segala sesuatu menurut hakikat yang sebenarnya).

Pada hari akhirat nanti, manusia tahu betapa benarnya Allah dan tiada siapa yang akan berkata apa yang berlaku itu tidak adil.


Ayat 26
Isteri-isteri Nabi SAW adalah orang yang baik-baik dan tidak patut dituduh dengan tuduhan yang tidak betul. 

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)."

Tafsir : 
Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji,

Tabiat alam - wanita yang bertabiat buruk selalunya untuk lelaki yang bertabiat buruk juga. Mereka hanya tertarik sesama sendiri dan kerana itu mereka berpasangan. 

dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula),

Lelaki pun begitu juga, akan mencari wanita yang sama sifat dengannya juga. 

Maka, tidak mungkin orang yang baik sepanjang hidupnya, menjadi penzina pula. Sebelum membuat tuduhan, selidiklah dulu sejarah hidupnya.

dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).

Nabi SAW adalah seorang yang mulia dan baik, maka isteri-isteri baginda SAW pun tentulah orang yang baik-baik. Begitu juga dengan isteri Nabi Luth dan Nabi Nuh, mereka bukanlah orang yang keji. 

Haruslah kita mencari dan memilih orang yang baik untuk dijadikan pasangan kita. Kenali bakal pasangan hidup kita. Wali harus memeriksa calon pasangan.

Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu).

Ayat ini adalah ayat pembersihan kepada Aisyah ra dan Sofwan ra dari tuduhan zina. Mereka adalah insan yang baik-baik. 

Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga).

Mereka tidak bersalah dan diberikan balasan baik dan pahala atas kesusahan mereka. "Rezeki" juga bermaksud "syurga". Semua isteri Nabi SAW akan masuk syurga. 


Ayat 27
Allah mengajar cara untuk melawat rumah orang lain untuk mengelakkan perkara-perkara buruk terjadi seperti zina atau menjatuhkan maruah.

Ada 7 undang-undang dan adab iaitu : 
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat."

Tafsir : 
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu

Meminta izin - masuk setelah diizinkan walaupun nampak pintunya terbuka dan jangan buat seperti rumah sendiri.

Ini adalah untuk menjaga maruah wanita yang berada di dalam rumah, berkemungkinan tidak menurut aurat dengan sempurna. 

Masuk rumah tanpa kebenaran adalah perkara buruk, apa bila nampak aurat akan timbul rangsangan yang akan timbul perasaan ingin melihat lagi dan lagi. Rumah adalah tempat untuk beristirehat dan bersenang lenang serta tempat untuk simpan rahsia (aib). 

sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya.

Pastikan ahli rumah sedar, redha dan senang dengan kedatangan kita, dan berikanlah salam sebelum masuk. Jangan terus terjah. 

Kita boleh memberitahu dengan cara membuat bunyi iaitu memberi salah, berdehem, mengetuk pintu dan sebagainya. 

Seseorang yang ingin memasuki rumah orang hendaklah meminta izin 3x. Jika diizinkan, bolehlah masuk, dan jika tidak, hendaklah dia pergi.

Orang meminta izin juga, jangan berdiri di tengah-tengah pintu, menyimpang ke arah kanan atau kiri pintu, bagi mengelakkan ternampak sesuatu yang tidak sepatutnya di dalam rumah.

Adalah tidak elok, mengintai-intai atau menjenguk-jenguk rumah selepas salam tidak dijawab. Walaupun sudah biasa dengan tuan rumah, adalah tidak elok masuk rumah secara melulu. 

Dan ramai di kalangan kita, yang tidak tahu, yang mengajak bukan muhrim datang ke rumah tanpa memberitahu pada isi rumah. 

Apabila kita masuk ke rumah itu walaupun diberi kebenaran, berilah salam kepada ahli rumah yang lain dan perkenalkanlah diri kita. 

Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat.

Perkara yang diajar oleh Allah dan Nabi SAW perlu dipelihara untuk mengelakkan lelaki dan wanita tertarik yang boleh mendatangkan zina. 

Ketika kita masuk, ternampak aurat orang dan terpesona dengan kecantikannya, perkara seterusnya yang terjadi adalah di luar jangkaan kita. Kalau terjadi zina, samada dikenakan rotan 100x atau direjam sampai mati. 

Malah untuk masuk rumah sendiri atau rumah orang tua kita digalakkan untuk memberi salam atau memberi isyarat.
 
Dibenarkan untuk tidak memberi salam semasa kecemasan. 



11 September, 2008

8 Jenis Rezeki Dari Allah


1.Rezeki Yang Telah Dijamin
‎وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ
"Tidak ada satu makhluk melatapun yang bergerak di atas bumi ini yang tidak dijamin ALLAH rezekinya." (Surah Hud : 6)

2. Rezeki Karena Usaha
‎وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَى
"Tidaklah manusia mendapatkan apa-apa kecuali apa yang dikerjakannya." (Surah An-Najm : 39)

3. Rezeki Karena Bersyukur
‎لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
"Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu." 
(Surah Ibrahim : 7)

4. Rezeki Tak Terduga
‎وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا( ) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
"Barangsiapa yang bertakwa kepada ALLAH nescaya Dia akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya." (Surah At-Thalaq : 2-3)

5. Rezeki Karena Istighfar
‎فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ( ) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا
"Beristighfarlah kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, pasti Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan memperbanyak harta.” (Surah Nuh : 10-11)

6. Rezeki Karena Menikah
‎وَأَنكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ إِن يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ
"Dan nikahkanlah orang-orang yang masih membujang di antara kamu, dan juga orang-orang yang layak dari hamba sahayamu baik laki-laki dan perempuan. Jika mereka miskin, maka ALLAH akan memberikan kecukupan kepada mereka dengan kurnia-Nya." (Surah An-Nur : 32)

7. Rezeki Karena Anak
‎وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ
"Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang akan menanggung rezeki mereka dan juga (rezeki) bagimu.” (Surah Al-Israa' : 31)

8. Rezeki Karena Sedekah
‎مَّن ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً
“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada ALLAH, pinjaman yang baik (infak & sedekah), maka ALLAH akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipatan yang banyak.” 
(Surah Al-Baqarah : 245)