Tafsir Surah an-Nur Ayat 24 – 27 (Jangan masuk rumah orang melulu)


Ayat 24
Balasan azab akhirat kepada mereka yang membuat tuduhan palsu.

"Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan."

Tafsir :
Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka

Pada hari akhirat, kaki, tangan dan lidah akan menjadi saksi ke atas diri kita. Waktu itu, memang tiada harapan untuk menafikan apa yang anggota kita katakan. 

Allah mengajarkan bahawa kita boleh mengawal apa saja yang dilakukan oleh tangan, kaki dan lidah kita untuk berbuat kebaikan. Di akhirat nanti, kawalan itu sudah ditarik balik.  

Ayat ini turun untuk membersihkan nama Aisyah ra yang difitnah sebagai penzina. 

terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.

Waktu sekarang, lidah, tangan dan kaki taat kepada tuannya. Di akhirat nanti, ada manusia yang meminta saksi, maka Allah menjadikan anggota mereka sendiri sebagai saksi. Jika berbuat keburukan, ia adalah lawan. Jika berbuat kebaikan, ia menjadi kawan.


Ayat 25 
"Di hari itu, Allah akan memberi mereka balasan yang setimpal menurut semestinya, dan tahulah mereka bahawa Allah-lah yang Benar, lagi Yang menjelaskan (segala sesuatu menurut hakikat yang sebenarnya)."

Tafsir : 
Di hari itu, Allah akan memberi mereka balasan yang setimpal menurut semestinya,

Di akhirat nanti, Allah akan membalas segala perbuatan manusia dengan adil kerana Allah maha mengetahui segala-galanya. Segala kebaikan dibalas dengan berlebihan dari perbuatan. Dosa pula akan dibalas kalau Allah tidak mengampuninya. 

dan tahulah mereka bahawa Allah-lah yang Benar, lagi Yang menjelaskan (segala sesuatu menurut hakikat yang sebenarnya).

Pada hari akhirat nanti, manusia tahu betapa benarnya Allah dan tiada siapa yang akan berkata apa yang berlaku itu tidak adil.


Ayat 26
Isteri-isteri Nabi SAW adalah orang yang baik-baik dan tidak patut dituduh dengan tuduhan yang tidak betul. 

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)."

Tafsir : 
Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji,

Tabiat alam - wanita yang bertabiat buruk selalunya untuk lelaki yang bertabiat buruk juga. Mereka hanya tertarik sesama sendiri dan kerana itu mereka berpasangan. 

dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula),

Lelaki pun begitu juga, akan mencari wanita yang sama sifat dengannya juga. 

Maka, tidak mungkin orang yang baik sepanjang hidupnya, menjadi penzina pula. Sebelum membuat tuduhan, selidiklah dulu sejarah hidupnya.

dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).

Nabi SAW adalah seorang yang mulia dan baik, maka isteri-isteri baginda SAW pun tentulah orang yang baik-baik. Begitu juga dengan isteri Nabi Luth dan Nabi Nuh, mereka bukanlah orang yang keji. 

Haruslah kita mencari dan memilih orang yang baik untuk dijadikan pasangan kita. Kenali bakal pasangan hidup kita. Wali harus memeriksa calon pasangan.

Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu).

Ayat ini adalah ayat pembersihan kepada Aisyah ra dan Sofwan ra dari tuduhan zina. Mereka adalah insan yang baik-baik. 

Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga).

Mereka tidak bersalah dan diberikan balasan baik dan pahala atas kesusahan mereka. "Rezeki" juga bermaksud "syurga". Semua isteri Nabi SAW akan masuk syurga. 


Ayat 27
Allah mengajar cara untuk melawat rumah orang lain untuk mengelakkan perkara-perkara buruk terjadi seperti zina atau menjatuhkan maruah.

Ada 7 undang-undang dan adab iaitu : 
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat."

Tafsir : 
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu

Meminta izin - masuk setelah diizinkan walaupun nampak pintunya terbuka dan jangan buat seperti rumah sendiri.

Ini adalah untuk menjaga maruah wanita yang berada di dalam rumah, berkemungkinan tidak menurut aurat dengan sempurna. 

Masuk rumah tanpa kebenaran adalah perkara buruk, apa bila nampak aurat akan timbul rangsangan yang akan timbul perasaan ingin melihat lagi dan lagi. Rumah adalah tempat untuk beristirehat dan bersenang lenang serta tempat untuk simpan rahsia (aib). 

sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya.

Pastikan ahli rumah sedar, redha dan senang dengan kedatangan kita, dan berikanlah salam sebelum masuk. Jangan terus terjah. 

Kita boleh memberitahu dengan cara membuat bunyi iaitu memberi salah, berdehem, mengetuk pintu dan sebagainya. 

Seseorang yang ingin memasuki rumah orang hendaklah meminta izin 3x. Jika diizinkan, bolehlah masuk, dan jika tidak, hendaklah dia pergi.

Orang meminta izin juga, jangan berdiri di tengah-tengah pintu, menyimpang ke arah kanan atau kiri pintu, bagi mengelakkan ternampak sesuatu yang tidak sepatutnya di dalam rumah.

Adalah tidak elok, mengintai-intai atau menjenguk-jenguk rumah selepas salam tidak dijawab. Walaupun sudah biasa dengan tuan rumah, adalah tidak elok masuk rumah secara melulu. 

Dan ramai di kalangan kita, yang tidak tahu, yang mengajak bukan muhrim datang ke rumah tanpa memberitahu pada isi rumah. 

Apabila kita masuk ke rumah itu walaupun diberi kebenaran, berilah salam kepada ahli rumah yang lain dan perkenalkanlah diri kita. 

Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat.

Perkara yang diajar oleh Allah dan Nabi SAW perlu dipelihara untuk mengelakkan lelaki dan wanita tertarik yang boleh mendatangkan zina. 

Ketika kita masuk, ternampak aurat orang dan terpesona dengan kecantikannya, perkara seterusnya yang terjadi adalah di luar jangkaan kita. Kalau terjadi zina, samada dikenakan rotan 100x atau direjam sampai mati. 

Malah untuk masuk rumah sendiri atau rumah orang tua kita digalakkan untuk memberi salam atau memberi isyarat.
 
Dibenarkan untuk tidak memberi salam semasa kecemasan. 



Post a Comment

0 Comments