Tafsir Surah ar-Ra'd (Guruh) Ayat 10 - 13 (Malaikat Penjaga)

 


Ayat 10

"Sama saja (bagi Tuhan), siapa di antaramu yang merahsiakan ucapannya, dan siapa yang berterus-terang dengan ucapan itu, dan siapa yang bersembunyi di malam hari dan yang berjalan (menampakkan diri) di siang hari."


Tafsir :

Sama saja (bagi Tuhan), siapa di antaramu yang merahsiakan ucapannya, dan siapa yang berterus-terang dengan ucapan itu,

Allah mendengar segala apa yang kita ucapkan samada bercakap secara rahsia, berbisik atau dengan nyata. Tiada satu pun dapat disembunyikan daripada Allah. 


dan siapa yang bersembunyi di malam hari dan yang berjalan (menampakkan diri) di siang hari.

Allah sentiasa nampak apa yang kita perbuat samada secara tersembunyi atau nyata. Inilah kesempurnaan ilmu Allah yang tiada had. 


Ayat 11 

Ini ayat takwif duniawi.

Allah tahu segala dosa kita, kenapa kita masih belum diazabkan lagi?

"Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia."


Tafsir :

Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya,

Allah hantar malaikat yang sentiasa mengikut ke mana sahaja kita pergi (malaikat penjaga) dan sentiasa bertukar ganti. Setelah habis bertugas, diganti dengan malaikat lain.


Tugas para malaikat penjaga :

1. memastikan orang itu tidak mati sebelum masanya. Contohnya, excident teruk, tetapi orang itu tidak mati kerana masanya belum tiba dan dia dijaga oleh malaikat.


2. menjaga manusia daripada dimasuki jin. Jika malaikat ada, jin tidak berani datang. Jika kita berbuat syirik, malaikat akan meninggalkan kita dan senanglah jin kacau kerana kita tiada lagi pelindung.


Hadis sahih :

Malaikat-malaikat di malam hari dan malaikat-malaikat di siang hari silih berganti menjaga kalian, dan mereka berkumpul di waktu salat Subuh dan salat Asar. Maka naiklah para malaikat yang menjaga kalian di malam hari, lalu Tuhan Yang Maha Mengetahui keadaan kalian menanyai mereka, 


“Dalam keadaan apakah kalian tinggalkan hamba-hamba-Ku?” Mereka (para malaikat malam hari) menjawab, “Kami datangi mereka sedang mereka dalam keadaan solat dan kami tinggalkan mereka sedang mereka dalam keadaan solat.”


"Sesungguhnya bersama kalian selalu ada malaikat-malaikat yang tidak pernah berpisah dengan kalian, terkecuali di saat kalian sedang berada di tandas dan ketika kalian sedang bersetubuh, maka malulah kalian kepada mereka dan hormatilah mereka."


mereka menjaganya atas perintah Allah.

Malaikat menjaga kita depan dan belakang. Dengan turunnya ayat ini, Nabi Muhammad SAW tidak gentar dengan ancaman musuh kerana baginda tahu ada penjaga. 


Malaikat menjaga semasa kita tidur dan terbangun daripada kejahatan jin, manusia dan haiwan buas melainkan dengan takdir Allah, maka barulah dapat mengenainya.


Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.

Kamu akan dikenakan azab kalau tidak mengubah diri. Maksudnya, manusia akan terus mendapat kebaikan selagi dijaga oleh malaikat kecuali kalau mereka mengubah amalan dan agama mereka. 


Ayat ini sentiasa menjadi hujah. Manusia membuat kesalahanlah yang menyebabkan Allah menguji mereka dengan musibah. Sebenarnya Allah menguji ketaatan manusia. Bukanlah mereka diuji kerana kesalahan yang dilakukan. Janganlah kita kata seseorang itu berdosa kerana itulah mereka diuji. 


1. Jagalah hati orang. 

2. Kita tidak tahu hakikat kesusahan (ujian) yang dialami oleh orang itu. 


Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya;

Kalau Allah sudah takdirkan musibah atau azab kepada sesiapa, tiada sesiapa yang boleh menghalang. 


dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.

Sesiapa pun tidak akan ada yang dapar menjadi pelindung atau penolong kepadanya.


Ayat 12

"Dialah Tuhan yang memperlihatkan kilat kepadamu untuk menimbulkan ketakutan dan harapan, dan Dia mengadakan awan mendung."


Tafsir : 

Dialah Tuhan yang memperlihatkan kilat kepadamu

Kenapa Allah tunjukkan kilat kepada kita?


untuk menimbulkan ketakutan dan harapan,

Dalam kilat ada takut iaitu takut disambar kilat.


Dalamnya juga ada pengharapan, kerana kalau sedang kemarau, kilat itu petanda hari nak hujan. Jika mendengar guruh atau petir, Rasullullah mengajarkan untuk mengucapkan doa :

اللَّهُمَّ، لَا تَقْتُلْنَا بِغَضَبِكَ، وَلَا تُهْلِكْنَا بِعَذَابِكَ، وَعَافِنَا قَبْلَ ذَلِكَ

"Ya Allah, janganlah Engkau bunuh kami dengan murka-Mu, dan janganlah Engkau binasakan kami dengan azab-Mu, dan maafkanlah kami sebelum itu."



dan Dia mengadakan awan mendung.
Sifat awan itu berat kerana ada air di dalamnya. Apabila berlanggar sesama sendiri, maka terjadilah kilat. 


Ayat 13
Selepas kilat, guruh pula.
"Dan guruh itu bertasbih dengan memuji Allah, (demikian pula) para malaikat kerana takut kepada-Nya, dan Allah melepaskan halilintar, lalu menimpakannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan mereka berbantah-bantahan tentang Allah, dan Dialah Tuhan Yang Maha keras seksa-Nya."


Tafsir :
Dan guruh itu bertasbih dengan memuji Allah, (demikian pula) para malaikat kerana takut kepada-Nya,

Ada dua terjemahan : 

1. Mungkin Petir
Langit juga bertasbih. Caranya dengan bunyi guruh. Jadinya apabila bunyi guruh, kita pun perlu bertasbih juga.

2. Mungkin Suara Malaikat
Malaikat bertasbih dengan memuji Allah dan kerana takutkan Allah. Bunyi guruh amat kuat dan menakutkan. Tapi Allah sudah memberitahu yang malaikat yang bertasbih. Mereka kenal Allah. Jadinya, kalau kita tidak takut kepada Allah, maknanya kita tidak kenal Allah.


dan Allah melepaskan halilintar, lalu menimpakannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki,
Dan kadang-kala ada halilintar yang boleh membunuh jin dan manusia. Halilintar banyak terjadi pada akhir zaman. 


dan mereka berbantah-bantahan tentang Allah,
Walaupun Allah sudah menurunkan ayat-ayat yang menakutkan, tetapi manusia tetap mempersoalkan tentang Allah. Masih lagi mengamalkan syirik dan tidak mahu belajar tentang tauhid bagi membezakan yang mana yang syirik. 


dan Dialah Tuhan Yang Maha keras seksa-Nya.
Allah boleh menggunakan kekasaran kepada sesiapa pun. Allah boleh mengenakan musibah sehinggakan memusnahkan mereka. Maka jangan buat ikut suka hati, syirik dan dosa secara berleluasa dan melampaui batas. 



Post a Comment

0 Comments