31 December, 2009

Urutan Wajah Cara Betul

Muka akan tampak berminyak terutamanya selepas bangun daripada tidur. Sebenarnya, itulah masa sesuai untuk mengurut wajah. 

  • Gunakan jari telunjuk kedua- dua belah tangan. 

  • Mula letakkan kedua-duanya di bawah mulut (dagu). 

  • Pusingkan jari ke pipi, pipi ke hidung seterusnya ke bahagian dahi. 

  • Perlu diingat, jangan sesekali mengurutnya cara menurun kerana ia akan mempercepatkan proses kedutan di wajah. 

  • Buatlah setiap pagi disusuli dengan meminum air suam sebelum mengambil sarapan pagi.



13 December, 2009

Letakkan Dunia di Tangan dan Akhirat di Hati

Jangan letak DUNIA di hati. Nanti tika orang lain 'lebih' akan timbul rasa iri hati, sakit hati dan makan hati. Tapi simpanlah di hati itu akan AKHIRAT. Hati akan sihat, sebab ALLAH bagi rahmat. Hidup pun berkat, InsyaAllah selamat Dunia Akhirat.


Para sahabat Rasullullah SAW juga ada yang mengambil Dunia, tetapi mereka tidak meletakkannya di dalam hati. Mereka meletakkannya di tangan kerana mereka sedar bahawa manusia bukannya warganegara Dunia tetapi warganegara Akhirat. Aamiin.



14 November, 2009

Tips Rahsia Kejayaan di Universiti



Anak Masuk Universiti ?
Bawa Bersama Michael Jordan!!

Tahniah Mak Ayah ...
Anak Anda Daftar Program Ijazah Universiti Hari Inikan? Satu Nasihat Dari Pengalaman...

Banyak tahun lalu salah seorang anak saya daftar kat Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu. Saya memberitahunya, "Husna dari kuliah hari pertama lagi, target 4.0"

4 tahun kemudian di Majlis Konvokesyen dia dipilih untuk memberi ucapan valedictorian - ucapan perpisahan pelajar kepada universiti di majlis gemilang itu. 

Dia mendapat Ijazah Kelas Pertama dan memenangi Anugerah Naib Canselor UMS walaupun giat dan memanjang bermain basketball, aktif dalam pimpinan pelajar, 2 kali mendaki Kinabalu, white-water rafting di Sungai Padas, menyelam di Sipadan, cruise Sungai Kinabatagan,  travel ke Beijing dan sebagainya. 

Syukur dia kini sedang menghabiskan PhD di University College of London.

Dalam ucapan valedictorian itu saya mencadangkan dia ambil satu petikan dari Michael Jordan. Ini yang saya nak share untuk mak ayah minta anak-anak yang baru daftar ke universiti beri perhatian.

Kata Michael Jordan, jika seseorang itu mahu berjaya tanya diri sendiri tiga soalan:

How good you want to be?
Haw far you want to go?
How hard you want to work?

Diterjemahkan untuk anak tuan-puan yang mendaftar ke universiti, tanya diri sendiri:

Sehebat mana aku nak jadi?
Sejauh mana aku nak pergi?
Sekuat mana aku nak studi?

Sehebat mana nak jadi? 
Nak jadi best student atau student biasa-biasa.

Sejauh mana nak pergi?
Nak buat setakat ijazah pertama saja atau nak teruskan sampai PhD.

Sekuat mana nak studi?
Sungguh-sungguh atau "macam orang lain"

Rahsia kejayaan di universiti:
Bawa semangat Michael Jordan!!
1. Target 4.0 dari hari pertama.
2. Studi dan usaha secara konsisten.
3. Bersedia sebelum kuliah.
4. Buat assignment yang diberi pensyarah bersungguh-sungguh.
5. Rajin berjumpa untuk minta bantuan pensyarah/tutor apabila ada keperluan.

Kemudian:
6. Jaga ibadah. Banyak berdoa.
7. Selalu ingat pengorbanan dan kasih sayang Mak Ayah.
8. Make new friends.
9. Namun jangan ikut kawan memanjang.
10. Kena ada prinsip dan pendirian sendiri dalam berkawan.
11. Ada perkara kita buat sorang.
12. Ada perkara berbicara dan berdiskusi bersama kawan.
13. Lupakan dulu bercinta. Sekurang-kurangnya buat sementara. Ada jodoh tak kemana!
14. Banyak membaca selain bahan kuliah. Luaskan horizon.
15. Join kelab-kelab yang berkaitan dengan bidang pengajian/pengkhususan.
16. Lebarkan kawan kepada pelbagai etnik, Melayu, kenali Cina, India, Kadazan, Iban dan lain-lain.
17. Usah hadkan kepada satu bangsa, malah satu negeri sahaja!!!!!
18. Aktif dalam persatuan.
19. Try new experiences (selagi tidak menyalahi syarak)

Extra nasihat untuk generasi hari ini:
20. Kawal handphone. Bukan handphone kawal kita.
21. Control media sosial. Bukan media sosial tenggelamkan kita. Tanpa dikawal, tanpa disiplin diri: handphone dan media sosial akan jadi "pembunuh impian No. 1" anak anda.

Best wishes.
Selamat maju jaya.
Tahniah pada si anak. Pada si ibu. Pada si ayah.



15 October, 2009

Tangisan



1) Menangis kerana kasih sayang & kelembutan hati.
2) Menangis kerana rasa takut.
3) Menangis kerana cinta.
4) Menangis kerana gembira.
5) Menangis kerana menghadapi penderitaan.
6) Menangis kerana terlalu sedih.
7) Menangis kerana terasa hina dan lemah.
8) Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.
9) Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis.
10) Menangis orang munafik - pura-pura menangis.



30 September, 2009

Rindu....


Rindunya pada anak-anak, tuhan saja yang tahu. Walaupun, mereka berada dalam jagaan insan-insan yang amat menyayangi mereka, tapi satu kerugian buat ku kerana tidak bersama-sama mereka melihat mereka membesar. 

Melayan kerenah anak-anak yang berlagak matang sedangkan baru 3 tahun dan 6 tahun...

Rindukan tawa dan tangis mereka. Rajuk mereka kadang-kala melucukan. Cemburu buta berebutkan perhatian mama untuk mengemaskinikan apa yang terjadi sepanjang mama tiada di sisi. 

Rindukan anak-anak yang sering bertanyakan macam-macam.  Kadang Matematik untuk Tahun Dua minta diajarkan, sedangkan darab bahagi pun belum hafal lagi.Memegang pensil pun belum pandai lagi, dah diminta diajar menulis. Semuanya kerana inginkan perhatian.

Maafkan mama, sayang, kerana Mama tidak dapat bersama kalian. Mama love you all so much.



05 July, 2009

Tafsir Surah an-Nur Ayat 24 – 27 (Jangan masuk rumah orang melulu)


Ayat 24
Balasan azab akhirat kepada mereka yang membuat tuduhan palsu.

"Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan."

Tafsir :
Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka

Pada hari akhirat, kaki, tangan dan lidah akan menjadi saksi ke atas diri kita. Waktu itu, memang tiada harapan untuk menafikan apa yang anggota kita katakan. 

Allah mengajarkan bahawa kita boleh mengawal apa saja yang dilakukan oleh tangan, kaki dan lidah kita untuk berbuat kebaikan. Di akhirat nanti, kawalan itu sudah ditarik balik.  

Ayat ini turun untuk membersihkan nama Aisyah ra yang difitnah sebagai penzina. 

terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.

Waktu sekarang, lidah, tangan dan kaki taat kepada tuannya. Di akhirat nanti, ada manusia yang meminta saksi, maka Allah menjadikan anggota mereka sendiri sebagai saksi. Jika berbuat keburukan, ia adalah lawan. Jika berbuat kebaikan, ia menjadi kawan.


Ayat 25 
"Di hari itu, Allah akan memberi mereka balasan yang setimpal menurut semestinya, dan tahulah mereka bahawa Allah-lah yang Benar, lagi Yang menjelaskan (segala sesuatu menurut hakikat yang sebenarnya)."

Tafsir : 
Di hari itu, Allah akan memberi mereka balasan yang setimpal menurut semestinya,

Di akhirat nanti, Allah akan membalas segala perbuatan manusia dengan adil kerana Allah maha mengetahui segala-galanya. Segala kebaikan dibalas dengan berlebihan dari perbuatan. Dosa pula akan dibalas kalau Allah tidak mengampuninya. 

dan tahulah mereka bahawa Allah-lah yang Benar, lagi Yang menjelaskan (segala sesuatu menurut hakikat yang sebenarnya).

Pada hari akhirat nanti, manusia tahu betapa benarnya Allah dan tiada siapa yang akan berkata apa yang berlaku itu tidak adil.


Ayat 26
Isteri-isteri Nabi SAW adalah orang yang baik-baik dan tidak patut dituduh dengan tuduhan yang tidak betul. 

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)."

Tafsir : 
Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji,

Tabiat alam - wanita yang bertabiat buruk selalunya untuk lelaki yang bertabiat buruk juga. Mereka hanya tertarik sesama sendiri dan kerana itu mereka berpasangan. 

dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula),

Lelaki pun begitu juga, akan mencari wanita yang sama sifat dengannya juga. 

Maka, tidak mungkin orang yang baik sepanjang hidupnya, menjadi penzina pula. Sebelum membuat tuduhan, selidiklah dulu sejarah hidupnya.

dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).

Nabi SAW adalah seorang yang mulia dan baik, maka isteri-isteri baginda SAW pun tentulah orang yang baik-baik. Begitu juga dengan isteri Nabi Luth dan Nabi Nuh, mereka bukanlah orang yang keji. 

Haruslah kita mencari dan memilih orang yang baik untuk dijadikan pasangan kita. Kenali bakal pasangan hidup kita. Wali harus memeriksa calon pasangan.

Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu).

Ayat ini adalah ayat pembersihan kepada Aisyah ra dan Sofwan ra dari tuduhan zina. Mereka adalah insan yang baik-baik. 

Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga).

Mereka tidak bersalah dan diberikan balasan baik dan pahala atas kesusahan mereka. "Rezeki" juga bermaksud "syurga". Semua isteri Nabi SAW akan masuk syurga. 


Ayat 27
Allah mengajar cara untuk melawat rumah orang lain untuk mengelakkan perkara-perkara buruk terjadi seperti zina atau menjatuhkan maruah.

Ada 7 undang-undang dan adab iaitu : 
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat."

Tafsir : 
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu

Meminta izin - masuk setelah diizinkan walaupun nampak pintunya terbuka dan jangan buat seperti rumah sendiri.

Ini adalah untuk menjaga maruah wanita yang berada di dalam rumah, berkemungkinan tidak menurut aurat dengan sempurna. 

Masuk rumah tanpa kebenaran adalah perkara buruk, apa bila nampak aurat akan timbul rangsangan yang akan timbul perasaan ingin melihat lagi dan lagi. Rumah adalah tempat untuk beristirehat dan bersenang lenang serta tempat untuk simpan rahsia (aib). 

sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya.

Pastikan ahli rumah sedar, redha dan senang dengan kedatangan kita, dan berikanlah salam sebelum masuk. Jangan terus terjah. 

Kita boleh memberitahu dengan cara membuat bunyi iaitu memberi salah, berdehem, mengetuk pintu dan sebagainya. 

Seseorang yang ingin memasuki rumah orang hendaklah meminta izin 3x. Jika diizinkan, bolehlah masuk, dan jika tidak, hendaklah dia pergi.

Orang meminta izin juga, jangan berdiri di tengah-tengah pintu, menyimpang ke arah kanan atau kiri pintu, bagi mengelakkan ternampak sesuatu yang tidak sepatutnya di dalam rumah.

Adalah tidak elok, mengintai-intai atau menjenguk-jenguk rumah selepas salam tidak dijawab. Walaupun sudah biasa dengan tuan rumah, adalah tidak elok masuk rumah secara melulu. 

Dan ramai di kalangan kita, yang tidak tahu, yang mengajak bukan muhrim datang ke rumah tanpa memberitahu pada isi rumah. 

Apabila kita masuk ke rumah itu walaupun diberi kebenaran, berilah salam kepada ahli rumah yang lain dan perkenalkanlah diri kita. 

Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat.

Perkara yang diajar oleh Allah dan Nabi SAW perlu dipelihara untuk mengelakkan lelaki dan wanita tertarik yang boleh mendatangkan zina. 

Ketika kita masuk, ternampak aurat orang dan terpesona dengan kecantikannya, perkara seterusnya yang terjadi adalah di luar jangkaan kita. Kalau terjadi zina, samada dikenakan rotan 100x atau direjam sampai mati. 

Malah untuk masuk rumah sendiri atau rumah orang tua kita digalakkan untuk memberi salam atau memberi isyarat.
 
Dibenarkan untuk tidak memberi salam semasa kecemasan. 



28 May, 2009

Motivasi Diri

Kita memerlukan sesuatu yang boleh menjadi daya pendorong atau motivasi untuk melakukan sesuatu pekerjaan.

Kalau pelajar yang ingin berjaya tentu memerlukan motivasi diri untuk mencapai kejayaan.

Bagi seorang pekerja pula, tentu memerlukan motivasi untuk melakukan pekerjaan dengan baik...tambahan pula perlu melakukan kerja yang sama setiap hari. Tentu bosan akan muncul jua di dalam hati.


Di bawah ni ada beberapa tips yang boleh kita praktikkan untuk motivasi diri..

1. Rancangkan dahulu apa yang perlu dibuat dan tetapkan matlamat.

2. Senyumlah selalu..senyuman boleh menenangkan jiwa dan juga sebagai sedekah.

3. Dapatkan rehat dan tidur yang berkualiti..jangan tidur berlebihan.

4. Jangan membahayakan diri sendiri atau menzalimi diri..kecuali dah lama hidup ..ok

5. Binalah persahabatan yang erat dan saling menyayangi..kerja satu team..

6. Sesekali hiburkanlah hati sendiri dengan melakukan apa yang diminati.

7. Tonjolkan penampilan diri yang menarik dan kemas. Sesekali bergaya, apa salahnya.

8. Kawal berat badan anda dan jangan terlebih makan..takut jadi obes pula.  

9. Amalkan gaya hidup sihat. Jangan menghisap rokok..bahaya untuk kesihatan.

10. Lakukan pemeriksaan kesihatan menyeluruh bagi mengetahui tahap kesihatan diri.

11. Tenangkan fikiran dan relaks sekejap.

12. Mandi setiap hari... jangan malas mandi tau !

13. Jadilah diri sendiri (bukan orang lain) dan berbanggalah dengan kemampuan diri.

14. Jangan menunjuk-nunjuk atau alim-alim kucing.

15. Lakukan kerja seikhlas hati.

16. Yang paling penting, sentiasalah berdoa kepada Allah. 



14 April, 2009

Derma Organ


Pendermaan organ ialah proses mendermakan organ seseorang untuk tujuan transplantasi (pemindahan organ) bagi menyelamatkan nyawa pesakit.

Dua jenis pendermaan organ yang dijalankan adalah pendermaan semasa hidup dan pendermaan selepas kematian.

Pendermaan organ selepas kematian dapat menyelamatkan sehingga 8 nyawa.

Dr. Hasdy Haron dari Pusat Sumber Transplan Nasional turut menerangkan cabaran yang dihadapi dalam pendermaan organ iaitu kebenaran keluarga pengikrar, persepsi agama dan bangsa serta kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak.

KKM berharap agar program pendermaan organ mendapat sokongan daripada semua rakyat Malaysia demi menyelamatkan nyawa.

Layari www.dermaorgan.gov.my untuk dapatkan maklumat terkini berkaitan pendermaan organ.

Satu Ikrar, Sejuta Harapan.

#ANMS
#KekalSihat
#sihatmilikku

Sumber:
Bahagian Pendidikan Kesihatan, KKM



20 March, 2009

Doa Menghilangkan Gelisah, Stress, Tertekan dan Sedih

 

Bila hati tengah berserabut, stress atau gelisah, kawal perasaan perbanyakkan  istighfar. Ajar hati untuk sentiasa bersikap tenang walau hakikatnya berdepan masalah yang menyerabutkan fikiran. 

Kita yang kawal hati kita. Jangan biarkan persekitaran mengawalnya. Tenangkan hati. Tarik nafas dalam-dalam. Hembuskan perlahan-lahan. 


Bacalah surah Al-Insyirah 'Alam Nasyrah'. Sesudah itu bacalah .. "Rabbish rahli sadri Wayassirli amri Wahlul uqdatam millisani Yafqahu qauli".

Maksudnya;

"Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku dan mudahkanlah bagiku urusanku dan lepaskanlah simpulan dari lidahku supaya mereka faham ucapanku". ~ Qs Taha 25-28

Bila hati kian lapang, hidup sempit terasa senang. Walau berat dugaan datang, mampu hadapi dengan tenang. Alhamdulillah 🤲




07 February, 2009

Doa Orang Teraniaya Memiliki Kekuatan Yang Dahsyat


Ingatlah, doa orang yang teraniaya termasuk dalam golongan doa yang pasti dikabulkan ALLAH. Maka, apa saja doa yang mereka panjatkan sama ada bermaksud baik atau sebaliknya akan dimakbulkan. 

Tiga perkara yang perlu kita bimbang berlaku ke atas diri apabila terkena doa orang yang kita aniaya, fitnah dan zaliminya. Ini kerana doa mereka tiada hijab dan akan terus diperkenankan oleh ALLAH SWT.

ALLAH makbulkan doa orang yang teraniaya. Orang yang difitnah, dizalimi, dinafikan hak, disusahkan orang lain, disihir dan sebagainya yang berbentuk penganiayaan kepada pihak yang satu lagi. Maka berhati-hatilah akan doanya. Doanya tiada hijab, doanya mustajab. ALLAH Maha Mendengar doa orang-orang yang dianiaya orang lain. Orang yang dianiaya itu dibela ALLAH SWT.

Bagi kita yang teraniaya, walaupun doa orang yang dianiaya itu dimakbulkan ALLAH, didengari ALLAH, tapi berhati-hatilah dalam mendoakan sesiapa yang menganiaya kita, menzalimi kita dan melakukan sesuatu yang buruk serta tidak baik dalam kehidupan kita. 

Berdoalah untuk kita dipermudahkan urusan, diberikan petunjuk tentang apa yang perlu kita lakukan. Kepada mereka itu pula, kita biar saja ALLAH SWT membalas setiap perbuatan mereka kerana ALLAH SWT itu Maha Adil dan saksama.

Doa orang teraniaya memiliki kekuatan yang sangat dahsyat. Doanya akan mudah diterima oleh ALLAH SWT, seolah-olah seperti tidak ada sesuatu yang menghalanginya. Maka dari itu, sebagai seorang muslim wajib menghindari perbuatan menzalimi orang lain. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; 
“Ada tiga orang yang doanya tidak tertolak: Pemimpin yang adil, orang yang berpuasa sampai ia berbuka, dan doa orang yang teraniaya. ALLAH SWT akan mengangkatnya di bawah naungan awan pada hari kiamat, pintu-pintu langit akan dibukakan untuknya seraya berfirman: Demi keagunganKu, sungguh Aku akan menolongmu meski setelah beberapa saat.” 
(Hadis Hasan diriwayatkan oleh Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad).



04 January, 2009

6 Oils for Daily Health & Beauty Tip


Keep that skin silky smooth! 💖Daily health & beauty tip: Did you know the above Botanical oils have over 200 clinical studies.