Mencari Syifa’ dan Syurga dalam Ujian
Mama tulis coretan ini bukan sekadar untuk memenuhi ruang blog Canonrider, tapi sebagai kompas untuk anak-anak mama saat dunia terasa menghimpit. Kita semua tahu, perjalanan hidup kita bukan lebuh raya yang rata. Ada lubang trauma, ada bukit kewangan yang tinggi untuk didaki dan ada rintangan kesihatan yang perlu kita lalui.
Tapi, Mama mahu anak-anak kesayangan mama, Inas, Syasya dan Anas pegang dua kunci utama yang Mama pelajari hari ini dari kelas Tadabbur Ghulam Al-Dakwah, Rawatan Hati Melalui Surah Ash-Sharh (94) oleh ustaz Abdul Muein Abd. Rahman bertarikh 12 Mac 2023
1. Al-Quran: Bukan Sekadar Bacaan, Tapi Penawar (Syifa’)
- Mau’izah (Nasihat): Teman saat kita hilang arah.
- Syifa’ (Penawar): Ini paling penting untuk kita. Ia adalah ubat bagi "penyakit dalam dada". Segala parut luka lama, trauma yang pernah menghiris jiwa dan gangguan yang pernah mengusik kita...penawarnya ada dalam Kalam Allah.
- Huda (Petunjuk): Kompas untuk kita membuat keputusan yang betul.
- Rahmah (Rahmat): Tanda kasih sayang Allah Taala yang tidak pernah putus buat kita.
Pesanan Mama: Jika anak-anak kesayangan mama ni rasa sesak dada atau fikiran bercelaru (terutama buat Inas dan Mama yang turut berjuang dengan ADHD), kembalilah pada Al-Quran. Letakkan tangan di dada, bacalah ayat 57-58 Surah Yunus ini dengan memohon kesembuhan. Allah Taala itu sangat dekat.
2. Belajar Daripada "Wanita Hitam" Penghuni Syurga
Ada kisah sahih tentang seorang wanita hebat bernama Umm Zufar. Wanita ini diuji dengan penyakit sawan yang berat. Beliau datang pada Rasulullah SAW minta didoakan supaya sembuh.
Namun Rasullullah SAW memberi dua pilihan:
"Jika engkau sabar, bagimu Syurga. Jika engkau mahu, aku doakan kesembuhanmu."
Apa pengajarannya untuk kita?
- Syasya sayang, dalam persediaan pembedahan rahang pada bulan Ogos nanti, ingatlah setiap kesakitan itu adalah penggugur dosa dan meningkatkan darjat di Syurga.
- Inas & Anas, dalam penat lelah belajar dan mengejar cita-cita dengan bajet yang ketat, ingatlah bahawa ini dunia sementara dan ingatlah ia adalah salah satu jalan pelaburan untuk saham akhirat.
Matlamat Akhir Kita
Wasiat Hati Mama
Gembiralah bukan kerana banyaknya harta (kerana harta boleh dicari dan ia akan hilang), tapi gembiralah kerana kita ada iman dan rahmat Allah (ayat 58). Itulah kejayaan yang sebenar.Mawar Safiya
Seorang pengembara menyusuri sejarah dan kehidupan demi mencari rahmat dan
keredhaan Allah SWT dan berkongsi hikmah dan rahmat Allah SWT di jalanan.



Comments