Saat Allah Melapangkan Hati, Segalanya Jadi Mudah

Buat anak-anak Mama yang sentiasa dalam doa... Inas, Syasya dan Anas.

Mama sambung lagi coretan ini. Jika dalam entri lepas, kita belajar tentang Rahmat, kali ini Mama nak bisikkan tentang "Kelapangan Hati". Mama belajar sesuatu yang sangat mahal dari Surah Ash-Sharh (Alam Nashrah).


1. Ilmu adalah Harta Yang Paling Mahal

Anak-anak kesayangan Mama, ramai orang hari ini kepenatan mengejar harta sehinggakan tidak berkesempatan untuk menimba ilmu. Anak-anak tahu yang para sahabat Nabi SAW dulu-dulu, sanggup menjual harta demi setitis ilmu? Kenapa?

Kerana hidup tanpa ilmu, kita akan tersesat seperti dua golongan yang kita baca berulang-ulang kali setiap hari terutama dalam solat iaitu surah Al-Fatihah:

  • Golongan yang Dimurkai: Ada ilmu (ada kitab), tapi tak mahu ikut/amal.
  • Golongan yang Sesat: Beramal tapi tanpa ilmu (ikut-ikut sahaja).

Peringatan buat kita - Jangan sampai kita rajin membaca Al-Quran, tapi kita tidak tahu isi-isinya. Orang yang terbaik adalah orang yang Berilmu dan Beramal dengan ilmunya.


2. Rahsia "Alam Nashrah"- Bukankah Kami Telah Lapangkan Hatimu?

Dalam ayat pertama Surah Ash-Sharh, Allah bertanya kepada Rasulullah SAW: "Bukankah Kami telah melapangkan dadamu?"

Tadabbur yang Mama pelajari hari ini sangat mendalam. Allah Taala telah melapangkan hati Nabi SAW bukan untuk keseronokan dunia, tapi lapang untuk menerima hidayah dan lapang untuk beribadah.

Tanda Allah lapangkan hati kita antaranya apabila tiba waktu solat, kita terus mendirikan solat. Segalanya rasa mudah. Tiada lagi rasa berat ataupun malas. Itulah petanda lazat beribadat.

3. Antara "Anxiety" dan "Tidak Solat"

Mama tahu, dunia hari ini penuh dengan tekanan mental. Ramai yang bimbang tentang anxiety atau kemurungan. Tapi anak-anak, ada sesuatu yang jauh lebih bahaya daripada itu.

Yang paling bahaya bukanlah orang yang ada anxiety, tetapi orang yang sihat walafiat, ceria dan gembira, tetapi TIDAK MENDIRIKAN SOLAT.

Itulah petanda hati yang sempit. Dia sihat tubuh badannya, tapi rohnya sakit tenat kerana tidak sujud kepada Penciptanya.


4. Maruah dan Penyakit Wanita Hitam

Ingat tak kisah Wanita Hitam (Umm Zufar) yang Mama ceritakan sebelum ini? Beliau diuji penyakit sawan. Beliau langsung tidak risaukan tentang penyakitnya, tapi beliau sangat bimbang tentang auratnya.

Bandingkan dengan hari ini, ada diantara kita yang sihat tubuh badan, tetapi sanggup memakai pakaian yang ketat (contohnya ketika berbasikal) tanpa rasa segan silu atau malu. Malah mereka lebih risaukan tentang stamina, tetapi seolah-olah terlupa tentang dosa.

"Kebahagiaan sejati bukan pada percutian yang berminggu-minggu, tapi pada nikmat dapat menghadap Allah dalam solat yang lama, dalam keadaan hati yang tenang."

Wasiat Hati Mama

Anak-anak Mama sayang, carilah Kelapangan Hati ini. Dengan hati lapang untuk Islam, semua urusan hidup anak-anak sama ada di asrama, di tempat internship, atau di medan latihan semuanya akan jadi mudah dan ringan.

Lazat beribadah itu lebih manis daripada segala nikmat dunia yang sementara. Jaga solat, jaga maruah, jaga akidah.


Moga Allah kurniakan anak-anak kelapangan hati yang hakiki,
Mama (Mawar Safiya), 
Putrajaya

Mawar Safiya

Seorang pengembara menyusuri sejarah dan kehidupan demi mencari rahmat dan keredhaan Allah SWT dan berkongsi hikmah dan rahmat Allah SWT di jalanan.

Comments