Bab 2: Kekayaan Sejati

Pak Danial diapit dengan hasil kebun durian


Suasana di beranda rumah Pak Danial, petang itu riuh dengan cerita tentang pulangan dana pelaburan kebun durian komersial. Khairul, dengan gaya seorang broker saham yang serba tahu, sedang rancak mengira agihan dividen di atas skrin tabletnya. Di sebelah, Linda sibuk membelek kuku yang baru dibuat, sekali-sekala membetulkan kedudukan beg tangan jenama mewah yang sengaja diletakkan di atas meja.


Safiya hanya duduk di sudut bangku kayu, menjadi pemerhati yang setia. Di tangannya ada secawan kopi yang sudah suam.


"Bulan ni untung portfolio pelaburan korporat kita naik sikit, ayah. Kebun durian Linda dengan bahagian Mak Tiri pun saya dah uruskan bahagian bersih. Semua dah masuk akaun," kata Khairul, si perunding kewangan itu penuh bangga.


Pak Danial mengangguk-angguk sambil tersenyum lebar, kelihatan sangat bangga dengan anak lelakinya yang seorang itu. Puan Katrina, si mak tiri, tersenyum meleret sambil mengerling ke arah Safiya.


Tiba-tiba, pandangan Khairul beralih arah. Tepat memandang wajah tenang Safiya.


"Kau pulak macam mana, Piya? Tak ada niat nak cari tanah sekangkang kera ke? Sampai bila nak menyewa rumah flat tu? Umur dah makin meningkat, harta satu apa pun tak ada. Orang lain semua dah ada aset masing-masing," sindir Khairul, selamba tanpa tapis. Ayatnya tajam, sengaja mahu menayangkan 'darjat' siapa yang lebih tinggi di dalam keluarga itu.


Linda melepaskan tawa kecil yang sinis. "Macam mana nak beli tanah, Keyrul... Surat hak milik ekuiti dia yang satu tu pun ada dalam simpanan aku lagi. Hutang RM45,000 dana modal lama hari tu pun tak tahu bila nak langsaikan."


Hanis, si Kak Long yang baru pulang dari mesyuarat lembaga pengarah agensi, menjeling sekilas. Dia yang sentiasa gilakan kuasa dan pengaruh politik, kelihatan mahu mencelah untuk menayangkan projek jutaan ringgitnya, tetapi membatalkan niat bila melihat suasana agak tegang. Dia lebih memilih untuk buat muka bosan dan makan hati sendiri.


Dada Safiya terasa bagai dihimpit batu besar. Sakitnya sampai ke hulu hati. Ditertawakan oleh darah daging sendiri kerana kesusahannya sebagai ibu tunggal adalah satu makanan ruji yang terpaksa ditelannya hampir setiap kali perjumpaan keluarga.


Ikutkan hati pejuang aku, mahu saja aku bentangkan betapa hinanya duit kemewahan yang mereka banggakan itu. Betapa Linda sanggup bermain kabel dengan orang dalam demi mendapatkan komisen kontrak  dan betapa Khairul mendongak langit dengan harta dunia.


Namun, Safiya memandang wajah ayahnya. Pak Danial langsung tidak bersuara untuk membelanya. Ayahnya hanya membelek botol minyak urut, seolah-olah perbualan itu tidak wujud. Pilih kasih itu nyata, dan Safiya tahu, bertekak di sini hanya akan merobohkan ikatan silaturrahim yang cuba dia pertahankan demi pesanan arwah ibunya.


Safiya menarik nafas dalam-dalam. Topeng ketabahannya dipakai kemas. Dia meletakkan cawan kopi, lalu tersenyum manis, dengan sebuah senyuman yang paling anggun yang mampu dia ukirkan.


"Insya-Allah, abang, Kak Ngah... rezeki Safiya belum sampai tang situ lagi. Tapi Safiya bersyukur, anak-anak sihat dan cukup makan pakai. Ayah, Safiya balik dulu ya? Dah lewat ni, anak-anak tunggu kat rumah," ujar Safiya lembut. Dia bersalaman dengan ayahnya, mak tiri dan adik beradiknya, dan berlalu pergi tanpa menjatuhkan setitik pun air mata di hadapan mereka.


Egonya tidak akan sesekali membenarkan mereka melihat dia menangis.


Satu jam kemudian, pintu rumah sewa flat kos rendah milik Safiya terbuka. Bau harum biskut coklat yang baru dibakar menerpa ke hidung, seolah-olah menyambut kepulangannya dengan pelukan hangat.


"Ibu dah balik!"


Anisa, anak perempuannya yang berusia 15 tahun, meluru ke pintu dan terus menyalami tangannya. Di ruang tamu yang sempit, anak keduanya, Alia (17 tahun), sedang tekun memotong kain jahitan di atas lantai sambil matanya sesekali memandang skrin telefon yang memaparkan data affiliate TikTok.


"Ibu penat? Alia dah bancuhkan air teh o ais. Ibu duduk dulu," kata Alia, bingkas bangun dan menarik kerusi untuk ibunya.


Anisa pula berlari ke dapur dan kembali dengan sebalang biskut coklat. "Ibu, tengok ni! Cookies yang kita buat semalam, kawan-kawan Anisa kat sekolah tempah banyak gila hari ni. Tadi kan, ibu...Kak Alia sempat buat live kat Shopee kejap, dah ada orang order kain jahitan ibu tu taw!"


Ammar mendekati Safiya, lalu menyelukkan tangan ke dalam poket seluarnya. Dia mengeluarkan beberapa keping wang ringgit, hasil gajinya bekerja sebagai promoter sambilan di pasar raya pada hujung minggu.


"Ibu... ni duit kerja Ammar minggu ni. Ibu simpan buat tambah bayar sewa rumah bulan ni, ya? Jangan risau, duit belanja sekolah Ammar, Alia dengan Anisa masih ada," bisik Ammar ikhlas, matanya bercahaya dengan tekad seorang anak yang mahu melindungi ibunya.


Melihat wajah-wajah suci di hadapannya, empangan air mata Safiya yang ditahannya sejak di rumah ayahnya tadi akhirnya pecah. Tetapi kali ini, ia bukan air mata duka. Ia adalah air mata kesyukuran yang teramat dalam.


Safiya memeluk anak-anaknya erat-erat. Di dalam rumah sewa yang kecil ini, tanpa tanah sekangkang kera pun, Safiya sedar... dia adalah wanita yang paling kaya di dunia.


Mesej Tersirat: Kekayaan sebenar seorang manusia tidak terletak pada luasnya tanah yang dia miliki atau tebalnya dompet yang diisi dengan cara yang salah. Kekayaan sejati adalah apabila kita memiliki jiwa yang tenang, anak-anak yang berbudi pekerti dan sekeping sejadah untuk mengadu segala rasa kepada Pencipta yang Maha Kaya.

Comments