P F T @

Cerpen Kisah Si Bongsu | Luka Yang Tak Terucap

Perkampungan Melayu ketika matahari terbenam

Nota: kisah ini menyentuh luka lama dalam keluarga. Kalau ia terasa berat untuk dibaca, berhenti dahulu dan hubungi seseorang yang kau percayai.

Kisah ini bermula dengan seorang anak bongsu… ya, aku lah itu. Si bongsu daripada empat orang adik-beradik. Katanya, Si bongsu ni manja, suka buat perangai, dan juga yang paling disayangi. Tapi hakikatnya? Manja tu kadang hanya nampak pada mata kasar. Dalam hati tak siapa pun tahu badai yang melanda.

Bondaku...wanita paling aku cintai di dunia ini. Wajahnya redup, suaranya lembut, namun nasihatnya bisa menikam sampai ke dasar jiwa. Dia selalu pesan, "Solat jangan tinggal, mulut jangan celupar, jangan sesekali jaja cerita orang."

Tapi itulah… Si bongsu ini, degilnya aku mengalahkan batu. Kadang-kala rasa aku ni macam campuran batu sungai dengan duri semalu. Pantang ditegur, tapi mudah sangat terasa. Kuatnya merajuk macam kerja part time aku yang tetap gaji dia: kosong.

Ayahandaku pula, pendiam tapi tegas. Apabila dia marah, walaupun tak tinggi suara, cukup buat aku tersedar, "itu bukan masanya nak buat lawak". Mereka berdua, ayahanda dan bonda, ibarat dua tiang utama dalam hidup aku. Aku berdiri kerana mereka.

Rumah papan Melayu

Namun, hidup ini… bukan drama Korea yang berakhir dengan senyuman sambil salji turun perlahan-lahan. Ketika aku melangkah ke alam remaja, kisah hitam mula melingkari hidup aku. Aku tak nak buka kisah itu di sini… cukuplah aku katakan, ia seperti luka lama yang digosok garam. Pedihnya bukan sedikit.

Yang menyakitkan, bukan kisah itu berulang sekali. Tapi ia terjadi berkali-kali, walaupun setelah aku berumahtangga dan punya tiga cahaya mata. Aku fikir, apabila aku ada keluarga sendiri, kisah lama akan pergi. Tapi tidak, ia datang semula, menghantui seperti bayang-bayang yang tak mahu hilang.

Dan pada satu hari, aku dapat tahu sesuatu yang meruntuhkan seluruh dinding kepercayaan aku.

Orang yang selama ini aku pandang tinggi, yang aku anggap pelindung, yang selalu aku julang dengan doa dan rindu. Rupanya dialah yang membuka pintu gelap dalam hidup aku. Maaf, aku tak sanggup terangkan panjang-lebar.

Pokok kelapa di tepi pantai

Tapi inilah hidup. Kadang kita dikhianati oleh orang yang paling kita cintai. Aku sedih sangat, benar-benar keliru, dan berasa teramat takut. Aku paling takut, takut derhaka.

Ya, aku tahu Allah sentiasa ada. Jadi aku buat apa yang aku tahu. Aku sujud, aku berdoa, aku menangis sungguh-sungguh dan aku mula teruskan hidup seperti biasa.

Sekarang aku tinggal jauh dari kampung. Di sinilah, aku belajar sembuh. Bukan dengan melupakan luka, tapi dengan redha dan doa. Aku masih Si bongsu, tapi bukan lagi Si bongsu yang sama. Aku sedang belajar menjadi dewasa, bukan untuk sesiapa, tapi untuk diriku… dan untuk Allah.

Seorang wanita Muslim berdoa

Aku pegang satu perkara, Allah tak pernah zalim. Manusia yang zalim. Aku masih berdoa untuk arwah bondaku… setiap hari. Biarlah luka aku tak sembuh, tapi aku tak mahu luka itu membakar kasih aku terhadap arwah bonda yang aku kasihi.

Aku cuma mohon, Allah ampuni aku, arwah bonda, ayahanda dan adik beradikku. Aku mahu hidup yang tenang. Aku mahu jiwa yang damai.

Dan kalau kau yang membaca ini pernah rasa kecewa dengan keluarga, ketahuilah, kau tak sendirian. Kadang luka datang menghiris kalbu dari tempat paling tak disangka-sangka kan, namun kasih Allah selalu lebih besar dari dukanya seorang manusia.

Akhir kata, kalau kau tak dapat pengakhiran bahagia dari orang lain… cipta satu untuk dirimu. Tak kira di kampung, di bandar, atau di bilik sewa bertikar plastik. Asal ada secawan teh panas, sehelai sejadah dan harapan dalam dada...itu pun sudah memadai.

Kalau kau pernah melalui luka serupa dan perlukan seseorang untuk berbual, kau tak perlu menanggungnya sendirian. Hubungi:

  • Talian Kasih 15999 (24 jam), atau WhatsApp 019-261 5999
  • Talian HEAL 15555 (setiap hari, 8 pagi hingga tengah malam)

*Cerpen ini tidak berkait langsung dengan sesiapa sama ada yang hidup atau pun yang mati. Ia hanya tujuan kreatif semata-mata.

Comments