Bhgn. 5 | Jelajah 3 Negara (Laos - Thailand - Myanmar)
Kalau uols ikut kisah kita sejak Bhgn. 4 | Jelajah 3 Negara (Laos - Thailand - Myanmar), tentu masih ingat kita tinggalkan cerita di Luang Nam Tha. Tak banyak yang menarik di situ, tapi kita tetap bawa pulang rasa tenangnya.
Hari ni, kita sambung langkah. Kita nak bawa uols menyeberang sempadan Laos ke Thailand, melalui Jambatan Persahabatan ke-4 yang merentasi Sungai Mekong. Jambatan ni mula beroperasi sejak tahun 2013.
Hari Ketiga
29 Januari 2018. Dari Zuela Guesthouse di Luang Nam Tha ke Huay Xai, Bokeo, Laos, dan seterusnya ke Chiang Kong, Thailand.
Pagi yang bermula dengan tuk-tuk
Pagi tu, lepas bersarapan, tepat jam 7.30 kita bertolak dari Zuela Guesthouse dengan tuk-tuk menuju stesen bas Luang Nam Tha. Destinasi kita hari ni ialah Huay Xai di wilayah Bokeo.
Orang kata perjalanan ambil masa empat jam. Hakikatnya, lebih dari tu, sebab bas berhenti banyak kali.
Sarapan pun sama je macam hari sebelumnya. Tak apa, perut kenyang, hati senang.
Sebelum naik bas, staf guesthouse yang melayan kita dengan mesra sepanjang menginap sempat melambai, ‘say good bye and come again’. Dia juga tuan punya kedai sewa motosikal di situ. Layanannya memang terbaik.
Bas sardin ke Huay Xai
Bila konduktor bas, seorang gadis Laos, datang memeriksa tiket, barulah kita nampak keadaan sebenar. Bas yang nak ke sempadan Thailand ni sendat macam ikan dalam tin sardin.
Tak ada laluan langsung. Beg pun terpaksa diriba. Ada yang berdiri di tangga, ada yang duduk di tepi pemandu, malah ada yang duduk atas kerusi lipat. Dahsyat!
Jalan raya ke sempadan pula bergunung-ganang, berbukit-bukau, dan berliku tak habis-habis.
Di tepi jalan, kita sempat curi pandang cara penduduk bersarapan pagi. Ada juga satu babak pagi yang tenang, kononnya ‘morning prayer’, hik3.
Pemandangan yang buat kita terkenang
Pemandangan paling biasa di Laos ialah kandang babi, anjing dan ayam, timbunan kayu api, dan orang memasak di luar rumah.
Jalan raya berdebu tebal. Papan tanda pun ada yang pelik-pelik.
Tapi yang paling menyentuh hati, bila kita nampak orang memotong kayu api dan mengendong bayi dengan kain yang diikat di kepala dan belakang. Tiba-tiba kita terkenang suasana kampung kita pada zaman 80-an dan awal 90-an dulu.
Laos memang negara pertanian. Hidup mereka sederhana, dan kita rasa dekat sangat dengan itu.
Sedikit cerita tentang Laos
Sepanjang perjalanan ke Huay Xai, pemandangannya serupa dengan perjalanan dari Luang Prabang ke Luang Namtha. Laos ialah satu-satunya negara tanpa pantai di Asia Tenggara.
Pada kurun ke-14 hingga awal kurun ke-18, sebelum kedatangan Perancis, Laos dikenali sebagai Lan Xang, yang bermaksud Negara Seribu Gajah. Selepas beberapa kali bertukar pemerintahan, Laos diperintah oleh parti komunis Pathet Lao bermula tahun 1975 sehingga kini.
Patutlah di setiap rumah, bangunan dan tiang, ada bendera komunis berkibar di sebelah bendera Laos. Pemerintahan ini bermula selepas Raja Savang Vatthana turun takhta, dan negara ini dikenali sebagai Lao PDR, iaitu Republik Demokratik Rakyat Lao.
Laos juga negara transit untuk ke Kemboja, Vietnam, Thailand, Myanmar dan China. Ia menyertai ASEAN pada tahun 1997. Bahasa kebangsaannya bahasa Lao, tapi ramai juga boleh bertutur dalam bahasa Thai, Perancis dan Inggeris. Syok kan, dapat tahu serba sedikit sejarahnya.
Mual, muntah dan rehat yang paling dinanti
Orait, kita sambung semula. Perjalanan yang berliku dengan bas padat sendat ni buat perut kita mual, kaki dan badan pun mula lenguh.
Yang kita tak sangka, ada penumpang tempatan yang tiba-tiba muntah. Kesian, mabuk perjalanan. Baru kita faham kenapa konduktor bas bagi plastik kepada semua penumpang sebelum bas bergerak. Rupa-rupanya memang akan ada yang muntah, hik3.
Selepas beberapa jam, bas akhirnya berhenti untuk meregangkan urat-urat yang terkejang. Legaaaa sangat!
Makanan mereka nampak hampir sama dengan makanan kita. Kita kena berhati-hati sebagai orang Islam, jadi mata je yang menjamu selera. Perut? Lapar, memang lapar.
Di dalam bekas anyaman tu, ada nasi. Rare, kan? Kebanyakan produk makanan di situ diimport dari Thailand.
Jangan memain, ini peti duit. Nampak macam berkunci, padahal mangga tu buat gaya je, hik3.
Kita ambil peluang bergambar dengan penduduk tempatan dan seorang pelancong Perancis. Tandasnya pula sama reka bentuk dengan tandas awam di Thailand pada tahun 2010, tapi bersih, dan airnya memang sejuuuuk.
Lebih kurang setengah jam kemudian, bas sambung perjalanan ke stesen bas Bokeo. Sekali lagi kita kena harung rasa mual dan sakit punggung sebab bas terlambung, terhentak dan terhenyak. Sabar jelah!
Perasan tak, tiang kaki rumah tu berbalut zink? Tentu ada sebabnya, kan.
Jalan raya rosak teruk macam ni memang perkara biasa di wilayah ni.
Bunga apa ntah ni, tapi orang tempatan kerap mengutip dan memprosesnya untuk dijadikan penyapu dan sebagainya.
Jentera yang mengangkut pekerja pun merangkak-rangkak mendaki bukit yang tinggi.
Tiba di Bokeo, bersedia ke sempadan
Jam 1.00 tengah hari, akhirnya kita sampai di stesen bas Bokeo. Sebaik tiba, kita disambut pemilik tuk-tuk yang memang dah tahu, kita dan pelancong omputih tu nak ke Thailand. Senang kan begitu? Tambah pula, mereka boleh bercakap Inggeris sikit-sikit.
Inilah bas yang kita naik dari Luang Nam Tha ke Bokeo tadi. Sebenarnya bukan bas, tapi coaster. Sebelum bertolak ke sempadan Huay Xai, jom bergambar dulu.
Sesampai di sempadan Huay Xai, kita buat urusan keluar Laos dan isi kad putih untuk masuk ke Thailand. Kemudian kita beli tiket bas ke sempadan Chiang Kong.
Menyeberang Jambatan Persahabatan ke-4
Bas ulang-alik Huay Xai ke Chiang Kong inilah yang membawa penumpang merentasi Sungai Mekong melalui Jambatan Persahabatan ke-4. Yeahhh! Kita dah nak masuk Thailand.
Satu lagi pengalaman rare. Di Laos, kenderaan guna lorong kanan, tapi di Thailand lorong kiri. Jadi di jambatan ni, bas akan bertukar lorong dari kanan ke kiri sebelum masuk ke Thailand. Fuh, seronok betul, hik3.
Sampai di Chiang Kong Checkpoint, kita disapa oleh pegawai di kaunter pertanyaan Tourism Thailand. Melalui dia, kita minta tolong berunding harga dengan pemandu tuk-tuk, sebab pemandu tu tak reti cakap Inggeris. Hasrat kita jelas: nak ke Golden Triangle dan sempadan Myanmar di pekan Mae Sai.
Kejap je dah setel. Pemandu bersetuju hantar kita ke Mae Sai, dan beri peluang singgah bergambar di Golden Triangle sepanjang jalan. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan kita. #syukurselalu
Dari sempadan, kita naik tuk-tuk ke pekan Chiang Kong. Dari situ, kita naik kereta Vios untuk ke Golden Triangle dan seterusnya ke Mae Sai. Kiranya Vios tu kita dah carter.
Mekong yang buatkan kita terharu sangat
Yang paling best tentang pakcik pemandu tu, walaupun tak boleh berbahasa Inggeris, dia seakan faham apa yang kita cakap. Bila kita nak layan pemandangan Sungai Mekong, dia sanggup perlahankan pemanduannya. Memang terbaik.
Mekong ni cantik sungguh. Besar sungguh. Allah, sungai yang sering kita baca dalam buku sejarah, hari ni kita tengok depan mata.
Sungai besar yang mengalir dari dataran tinggi Tibet ni menghubungkan enam negara, iaitu China, Myanmar, Laos, Thailand, Kemboja dan Vietnam.
Renung Sejenak
Dan-dan tu air mata kita gugur. Terharu sangat. Allah beri peluang untuk kita menikmati keindahan ciptaanNya, yang tak semua orang berpeluang menikmati keindahan Sg. Mekong ni.
#syukurselalu
Ini laluan kita dari Huay Xai ke Mae Sai melalui Golden Triangle dan Chiang Saen.
Di Chiang Kong, ada perpustakaan 24 jam. Ada juga ‘Jumbo’, iaitu motosikal roda tiga.
Jalan raya di Thailand jauh lebih elok dari Laos, tapi tetap berselekoh. Pemandangannya pula memukau mata yang memandang.
Kos perjalanan merentas sempadan Laos - Thailand
Jom kita kira berapa belanja untuk perjalanan hari ni. Ini harga pada Januari 2018, jadi semak semula harga terkini sebelum bertolak.
- Tuk-tuk dari Zuela Guesthouse ke stesen bas Luang Nam Tha: percuma
- Bas sardin ke Bokeo: 90,000 kip
- Tuk-tuk dari stesen bas Bokeo ke Huay Xai Border Checkpoint: 100 baht
- Bas dari Huay Xai, Laos ke Chiang Kong Checkpoint, Thailand: 25 baht
- Sewa kereta Vios dari Chiang Kong Border Checkpoint ke Golden Triangle, Chiang Saen dan Mae Sai: 1,500 baht
Sehingga Jumpa
Semoga catatan ni membantu uols yang nak menjelajah Indochina. Terima kasih sudi singgah.
Kita berhenti setakat ini dulu. Jumpa lagi di episod seterusnya, Bhgn. 6 | Jelajah 3 Negara (Laos - Thailand - Myanmar). See ya. Bye! #spreadlove












































Comments