30 November, 2012

Poster : Sedekah dalam Berkata-kata

Poster  Sedekah dalam Berkata-kata

 Nabi saw bersabda: "Kata-kata yang baik itu adalah sedekah"




27 November, 2012

Tafsir Surah al-A'raf Ayat 23 - 27 (Doa pengampunan dari Nabi Adam as)



Ayat 23 
Kalau kita tahu kita berbuat salah, cepat-cepatlah memohon ampun. Inilah yang Allah hendak dari hambaNya. Bukannya memberi 1001 alasan untuk membenarkan kesalahan yang dilakukan.

"Keduanya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi."

Tafsir :
Keduanya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri,
Doa ini amatlah baik diamalkan kerana diajar oleh Allah cara untuk meminta ampun kepada Nabi Adam as dan Hawa ra.

Jangan jadi seperti syaitan, yang berhujah dengan Allah dengan menggunakan logik akal, sehinggakan ada yang terkeluar daripada islam. Mereka sangka, semua hukum Allah itu perlu dijelaskan dengan logik akal. 

Nabi Ibrahim taat kepada Allah sehinggakan sanggup menyembelihkan anak sendiri. Kalau difikirkan memang tidak masuk akal, tetapi baginda tetap melaksanakan kerana itu adalah arahan daripada Allah. Kita tiada hak untuk mempersoalkan hukum yang diberikan oleh Allah. 
 
dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi.
Nabi Adam dan Hawa meminta ampun dan memohon rahmat. Kenapa dua perkara ini diperlukan? Kerana ia penting. Setelah berbuat salah, kita memohon ampun dan dan mengharapkan rahmat daripada Allah.

 
Ayat 24
"Allah berfirman: “Turunlah kamu sekalian, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Dan kamu mempunyai tempat kediaman dan kesenangan (tempat mencari kehidupan) di muka bumi sampai waktu yang telah ditentukan”."

Tafsir : 
Allah berfirman: “Turunlah kamu sekalian,
Nabi Adam, Hawa dan iblis pun diturunkan ke dunia.

sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain.
Di dunia manusia akan bermusuh-musuhan. Di syurga tiada permusuhan. 

Dan kamu mempunyai tempat kediaman dan kesenangan (tempat mencari kehidupan) di muka bumi sampai waktu yang telah ditentukan”.
Di dunia ini hanya sementara, kita mati dan dunia akan kiamat dan kita semua akan mengadap Allah Taala jua nanti.


Ayat 25
"Allah berfirman: “Di bumi itu kamu hidup dan di bumi itu kamu mati, dan dari bumi itu (pula) kamu akan dibangkitkan."

Tafsir : 
Allah berfirman: “Di bumi itu kamu hidup
Kita hidup di dunia untuk mengumpul amalan dan pahala bagi hari akhirat.

dan di bumi itu kamu mati,
Mengingatkan kematian menyebabkan kita takut untuk melakukan dosa. 

dan dari bumi itu (pula) kamu akan dibangkitkan.
Kita akan dihidupkan kembali dari kubur yang dalam tanah itu juga nanti.


Ayat 26
4 Nasihat yang Allah beirkan kepada anak Adam yang dimulai dengan "Wahai Anak Adam".

Nasihat (1)
"Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat."

Tafsir :
Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian
Kita tidak diwariskan dengan kesalahan (dosa) Nabi Adam dan Hawa. Kita diberikan pakaian. Dakwaan Kristian, kita dilahirkan dengan keadaan berdosa, sebab itu ada pembaptisan. Mereka bersangka buruk dengan Allah tanpa dalil. 

untuk menutup auratmu
Tujuan pakaian adalah untuk menutup aurat. Jika tidak menutup aurat dengan sempurna, itu bukan pakaian sebenarnya. 

dan untuk perhiasan.
juga sebagai perhiasan. Menutup aurat itu wajib dan memakai perhiasan itu harus. Kita digalakkan untuk berpakaian yang kemas dan cantik. Cuma wanita janganlah memakai pakaian yang menarik perhatian lelaki.
 
Dan pakaian takwa itulah yang paling baik.
Pakaian rohani adalah pakaian yang lebih baik iaitu lambang ketaatan kepada Allah. Jadi kita disuruh mencantikkan hati seperti mana kita disuruh memakai pakaian yang kemas dan cantik.

Ia juga bermaksud, pakaian yang melambangkan ketakwaan, bukan pakaian ketat dan menampakkan bentuk badan. Dan jangan pakaian yang menunjukkan kesombongan kerana Allah tidak suka kepada orang sombong. 

Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.
Allah mahu kita ingat kepadaNya. Doa Nabi SAW semasa memakai baju baru dan di saat sampai ke leher hendaklah mengucapkan :
 
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِىْ كَسَانِىْ هَذَا وَرَزَقَنِيْهِ مِنْ غَيْرِحَوْلٍ مِنِّىْ وَلاَقُوَّةٍ
Segala puji bagi Allah yang memberi aku pakaian ini dan memberi rizqi dengan tiada upaya dan kekuatan dariku.


Ayat 27
Nasihat (2)
"Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman."

Tafsir :
Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga,
Kita patut benci syaitan kerana segala keburukan yang ada pada mereka termasuklah tipu daya mereka terhadap datuk nenek kita sehinggakan dikeluarkan dari syurga. Cara ingin tahu Iblis menipu manusia adalah dengan mempelajari ilmu Talbis Syaitan (Belitan Syaitan) supaya kita dapat mempertahankan diri dari tipu daya syaitan dan iblis.

ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya.
Syaitan menyebabkan pakaian Nabi Adam dan Hawa terlucut. Jadi jangan kita ikut syaitan. Jangan termakan pujukan dan bisikan mereka. 

Sebelum kedatangan islam, masyarakat Jahiliyah tawaf di Kaabah dalam keadaan telanjang kerana terpedaya dengan hujah manusia dijadikan dalam keadaan telanjang. Syaitan telah berjaya memperdaya tok nenek kita, maka mereka juga berusaha untuk menelanjangkan anak cucunya juga. 

Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka.
Syaitan dan anak cucu mereka dari kalangan jin nampak akan kita, tapi kita tidak nampak akan mereka. Jin syaitan sentiasa memerhatikan kita kerana mereka akan sedaya upaya menyesatkan kita dengan membisikkan perkara-perkara yang tidak baik. 

Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.
Orang yang tidak beriman dan mengamalkan syirik, memang syaitan akan berteman rapat dengan mereka. Syaitan sentiasa ingin menelanjangkan manusia. Sebab itu jika kita lihat pakaian yang tidak sesuai, itu adalah kerja syaitan. 

Lelaki seeloknya tutup aurat dengan sempurna dan jangan memakai pakaian yang menarik perhatian perempuan. Wanita pula walaupun tutup aurat sempurna tapi jagalah adab dan adat pergaulan.