P F T @

Petua Air Sirih dan Limau Nipis | Betulkah Awet Muda?

Baca Dahulu

Petua ini tular di media sosial dan penulis asalnya tidak dapat disahkan. Artikel ini ialah maklumat am dan bukan nasihat perubatan.

Pernah tak kita terjumpa petua tular yang bunyinya sebegini: “Disebabkan ini, suami saya sangka umur saya masih lagi 20 tahun”? Siap ada emoji ketawa lagi.

Infografik langkah dan kelebihan petua air rebusan daun sirih dan limau nipis untuk wajah, berlatar hijau dan emas

Kak Mawar tersenyum sendirian semasa membaca bait kata-kata ini. Mana-mana perempuan pun, apabila dengar je ada ‘rahsia awet muda’ yang murah dan hanya ada di dapur sendiri, telinga dan mata, otak terus fokus, kan, kan, kan?

Petuanya nampak mudah sangat. Daun sirih direbus, dicampur pula dengan air limau nipis, disapu pada muka sebelum tidur. Esok pagi bangun, haaaa kulit wajah kononnya tampak cantik berseri-seri.

Tetapi... sebelum kita berkejaran ke dapur, jom duduk sekejap, leksssss. Apa kata kita sembang dulu sambil menyemak apa sebenarnya kata orang dulu-dulu dan pendapat para penyelidik rahsia daun sirih ini.

Bakul buluh berisi daun sirih segar dan limau nipis di atas meja kayu, dengan pokok sirih memanjat di belakang

Resipi yang sedang tular

Ini cara yang dikongsi, Kak Mawar ringkaskan dengan menggunakan bahasa sendiri, ya:

  1. Ambil 5 helai daun sirih, kemudian cuci sampai bersih.
  2. Rebus bersama 2 gelas air selama 10 minit. Tapis dan biarkan sejuk.
  3. Campurkan 1 sudu besar air perahan limau nipis.
  4. Sapu pada muka dengan kapas sebelum tidur.
  5. Biarkan semalaman dan bilas keesokan pagi.

Dakwaannya ada 5 manfaat dari resipi ini, antaranya dapat mengurangkan kedut dan garis halus, mencerahkan tona kulit, menenangkan radang dan jerawat, melembapkan kulit serta memudarkan flek hitam. Kita semak satu per satu jap lagi.

Sirih dalam hidup orang dulu-dulu

Kalau kita menoleh ke belakang, sirih bukanlah daun sembarangan. Dalam adat Melayu, tepak sirih hadir pada majlis merisik dan bertunang, sebagai pembuka bicara dan tanda hormat. Ramai di antara kita masih ingat cara nenek menyusun sirih di dalam tepak sambil bercerita itu ini, kan...

Tapi sirih bukan milik kita seorang je.

Di seluruh Asia, daun ini sudah lama dipercayai berkhasiat. Di Sri Lanka, jus daun sirih segar digunakan untuk masalah kulit, manakala daun yang direbus dijadikan ubat batuk dan astringen, iaitu bahan yang membuat kulit terasa kesat dan kurang berminyak buat sementara. Catatan perubatan tradisional di rantau ini turut menyebut sirih untuk bau mulut, bisul, luka dan mata merah.

Ada satu kisah lama yang agak menarik. Orang Mesir purba pernah menyapu jus tumbuhan tertentu pada kulit yang pucat, kemudian menyuruh pesakit berjemur. Mereka sudah perasan bahawa tumbuhan dan matahari, apabila bertemu, boleh mengubah warna kulit.

Simpan kisah ini dalam ingatan, kerana ia akan berguna apabila kita bercakap tentang limau nipis nanti.

Wanita bertudung hijau muda tersenyum memetik daun sirih dari pagar kebun rumah

Apa kata kajian?

Penyelidik zaman kini memang sudah lama mengkaji tentang daun sirih ni. Hasilnya amat menarik tau, tetapi ada ‘tapi’nya.

  • Dalam kajian makmal, bahan daripada daun sirih dapat menghalang beberapa jenis kuman daripada membiak. Ekstrak air menunjukkan kesan yang lebih rendah berbanding ekstrak alkohol. Tiada kajian yang menguji air rebusan di dapur pada kulit manusia, jadi kesannya belum dapat dipastikan.
  • Kajian lain mendapati daun sirih memang kaya antioksidan, iaitu bahan yang membantu melindungi sel daripada kerosakan. Ekstrak alkohol paling kuat, manakala ekstrak air yang menyerupai rebusan di dapur lebih rendah tetapi masih ada kesannya. Namun ujian ini dibuat di makmal, bukannya ke atas kulit manusia.
  • Satu kajian pada 2024 ada menyebut tentang daun sirih berpotensi untuk melambatkan pembentukan pigmen kulit, tetapi ujiannya dibuat di dalam makmal, bukan juga ke atas kulit manusia.
  • Di Sri Lanka pula, satu ujian ke atas manusia dijalankan selama 14 hari telah menunjukkan krim berasaskan minyak sirih dan ekstrak etanol membantu masalah kulit. Tetapi itu krim yang dibuat khas, bukan juga dari air rebusan di dapur rumah kita tu.

Semakan 5 dakwaan

  • Kedut dan garis halus: tiada bukti kajian pada manusia untuk rebusan ini. Antioksidan itu baik, tetapi tidak sama dengan menghilangkan kedutan.
  • Mencerahkan tona kulit: ada petunjuk dalam makmal, tapi belum disahkan ke atas manusia untuk resipi ini.
  • mengurangkan radang dan jerawat: sifat antibakteria sirih semestinya menyokong dakwaan ini, tetapi ia masih di peringkat ujian makmal. Jerawat yang teruk perlu dirawat oleh doktor.
  • Melembapkan kulit: Kak Mawar tidak menjumpai kajian yang menyokongnya.
  • Memudarkan flek: flek ialah sejenis tompok gelap pada kulit akibat pigmen yang berlebihan, biasanya disebabkan oleh pancaran matahari. Sila baca bahagian seterusnya dengan teliti, ya!

Limau nipis: sahabat atau musuh?

Inilah bahagian yang Kak Mawar mahu kita berhenti sejenak dan fikirkan secara mendalam.

Limau nipis mengandungi sebatian yang peka kepada cahaya matahari. Apabila jus limau nipis ini terkena kulit dan kulit itu pula terdedah kepada sinar UVA, maka... ia boleh menimbulkan satu reaksi yang dipanggil phytophotodermatitis, iaitu kulit menjadi kemerahan, gatal, melepuh, lalu meninggalkan tompok gelap. Haa... sudah!

Reaksinya biasanya bermula dalam masa 24 jam dan memuncak pada hari kedua atau ketiga. Tompok gelap itu boleh bertahan berminggu-minggu, malah dilaporkan ada yang sampai bertahun-tahun.

Sekarang bayangkan sekiranya air rebusan berasid dibiarkan semalaman pada kulit wajah, kemudian kita keluar rumah di bawah pancaran matahari tropika. Niat di hati, mahu memudarkan flek, tetapi risikonya eh eh eh makin bercamb-cambah flek pada wajah. Huhuhu... ironi, bukan?

Satu lagi catatan kecil.

Daun sirih yang disapu pada kulit tidak sama dengan kebiasaan mengunyah sirih bersama pinang dan tembakau. Kebiasaan mengunyah itu dikaitkan dengan kanser mulut dan telah dikelaskan sebagai penyebab kanser oleh agensi kanser WHO (IARC). Dua perkara ini jelas berbeza, jadi jangan pula terkeliru, ya!

Kapas dan botol kaca kecil berisi cecair hijau pucat bersama sehelai daun sirih

Bagaimana pula dengan pandangan agama?

Berkaitan petua seperti ini, agama kita ada memberi panduan umum tentang cara ikhtiar dan menjaga diri. Inilah antara yang boleh kita jadikan sebagai pegangan.

  • Hadis riwayat al-Bukhari menyebut Allah tidak menurunkan penyakit melainkan Dia turut menurunkan penawarnya. Ini galakan untuk kita berikhtiar.
  • Hadis riwayat Ibn Majah dan Ahmad, yang dinilai hasan, melarang kita memudaratkan diri sendiri dan orang lain. Ikhtiar mestilah selamat.
  • Allah juga mengingatkan dalam surah al-Baqarah ayat 195 supaya kita tidak mencampakkan diri ke dalam lembah kebinasaan.

Untuk perincian hukum, sila rujuk ustaz atau pihak berautoriti agama.

Kalau tetap teruja nak mencuba

Kak Mawar faham, kadang-kadang kita cuma mahu mencuba sesuatu yang datang dari dapur kita sendiri, kan? Jika begitu keinginannya, ini cara yang lebih berhati-hati:

  1. Buat ujian tampalan dahulu. Sapu sedikit pada lipatan lengan dan tunggu 24 jam. Kalau timbul kemerahan atau gatal pada kawasan tersebut, sila berhenti.
  2. Tinggalkan limau nipis. Hanya gunakan rebusan air daun sirih sahaja tanpa perlu dibiarkan semalaman.
  3. Buat rebusan air segar yang digunakan dalam masa sehari je, kemudian simpan di dalam peti sejuk dan buang sekiranya air rebusan tu telah bertukar keruh atau mulai berbau.
  4. Setiap pagi, sentiasa mengenakan pelindung matahari. Pendedahan kulit kepada pancaran sinar matahari secara langsung adalah antara punca utama kulit kita nampak cepat tua dan... WHO juga turut menggalakkan pemakaian perlindungan matahari ni.
  5. Tidur wajib cukup 8 jam, minum air secukupnya dan makan banyak sayur-sayuran. Inilah dia ‘petua’ awet muda yang paling lama dan jelas terbukti.
Tiub pelindung matahari, topi jerami dan cermin mata hitam disusun kemas untuk melindungi kulit

Bila Perlu Jumpa Doktor

Berhenti guna air rebusan daun sirih dan segeralah berjumpa doktor sekiranya kulit bertukar kepada kemerah-merahan, melepuh, bengkak atau gatal teruk. Jumpa doktor juga bagi jerawat yang parah atau tompok gelap yang bertambah. Ini maklumat am dan bukan nasihat perubatan.

Jadi, awet muda ke tidak?

Entah suami yang dalam petua tular itu betul-betul percaya atau tidak pada kesan air rebusan sirih dan campuran limau nipis pada kulit wajah atau suaminya hanya sekadar mengusik wanita tersebut, kita pun tak tahu.

Yang kita tahu, daun sirih memang ada tempat istimewa dalam budaya kita dan kajian makmal pun ada menunjukkan potensinya. Tetapi... untuk air rebusan bercampur limau nipis dan dibiarkan semalaman, buktinya belum cukup dan memangnya jelas, risikonya nyata.

Cantik itu bukan semestinya nampak seperti usia 20 tahun. Cantik yang paling bertahan lama ialah kulit yang dijaga dengan ilmu dan hati yang senantiasa tenang dalam menerima apa jua yang terjadi pada setiap peringkat umur kita.

Renung Sejenak

Petua orang dulu-dulu itu harta, tetapi ilmu yang menyemaknya umpama pelindung diri kita jua.

Sumber bacaan



Comments