Petua Pipi Tegang Orang Dulu-Dulu | Apa Kata Sains?
Bayangkan seorang wanita muda duduk di ruai rumah panjang, di suatu pagi yang masih berkabus dan sungai di bawah sana mengalir lesu.
Di tangannya ada satu mangkuk kayu kecil berisi tepung beras dan beberapa titisan air mawar yang diadun sebati. Dia menyapu perlahan-lahan pada pipi kiri dan kanan, kemudian duduk dengan tenang sambil mendengar sahutan kokok ayam yang yang saling bersahutan di sekeliling kampung.
Tiada jenama mahal. Tiada krim wajah bertingkat-tingkat. Dia cuma mengikut petua yang diturunkan secara turun-temurun oleh ibu dan neneknya, dan wajahnya tetap nampak segar, berseri dan tenang. Mungkin sebab itulah petua orang dulu-dulu masih kita simpan sehingga ke hari ini.
Soalnya, adakah semua petua itu benar-benar berkesan? Jom kita bongkar satu persatu, dengan hati terbuka dan dengan fakta yang kita gali bersama.
Bila Dapur Jadi Tempat Merawat Diri
Zaman dulu-dulu, orang merawat diri dengan apa yang ada di dapur sahaja. Kita tak boleh cakap semuanya sia-sia, dan kita juga tak boleh cakap semuanya terbukti menjadi. Ada yang selamat, ada yang sekadar menyegarkan, dan ada pula yang perlu kita berhati-hati untuk mencubanya.
1. Putih telur: terasa tegang, tapi sekejap sahaja
Apabila putih telur kering di wajah, pasti kulit kita terasa ketat atau cekang. Tapi itu kesan telur yang mengering, bukannya kulit kita yang benar-benar terangkat (lifted). Apabila dibilas, rasa itu lama-kelamaan akan hilang.
Satu lagi perkara penting: telur mentah boleh membawa kuman Salmonella dan sesetengah orang alah kepadanya. Jika mahu juga mencuba, buat ujian pada kulit lengan terlebih dahulu.
2. Air mawar dan tepung beras: lembut dan menenangkan
Tepung beras bertindak sebagai pengelupas yang sangat lembut, dan air mawar pula memberi rasa segar pada wajah. Hasilnya kulit terasa licin, tapi ia tidak mengangkat pipi yang sudah sedia kendur. Kalau kulit kita mudah merah atau gatal, cuba dulu sedikit di lengan dan tunggu sehari sebelum menyapunya pada kulit wajah.
3. Timun: sejuk dan melegakan
Timun ni memang penyejuk semula jadi. Hampir kesemuanya air, jadi bila ditekap pada pipi, haaa.. memang terus terasa sejuk dan lembap. Ramai yang percaya timun boleh mengecutkan pori juga, tapi sebenarnya pori itu diwarisi daripada baka kita. Jadi nikmati jelah timun tu untuk rasa segarnya, itu pun sudah cukup bagus daaa.
4. Madu dan lemon: madu boleh, lemon jangan
Madu memang menarik kelembapan dan sudah lama dikaji untuk penyembuhan luka. Jadi gunakan madu asli sahaja, ya!
Tapi lemon pada wajah bukan idea yang baik. Jus sitrus boleh menyebabkan kulit terasa pedih, merah dan menggelap apabila terkena cahaya matahari. Kalau mahu ikut petua ini, pakai madu sahaja. Sudah memadai.
5. Urutan wajah: nikmat untuk jiwa, bonus untuk kulit
Urutan lembut memang melancarkan peredaran darah buat seketika dan membuatkan kita rasa relaks dan santai. Kajian yang membuktikan urutan boleh menghalang pipi jatuh masih terhad. Tapi urutan tetap baik sebagai masa untuk bersyukur dan menenangkan diri.
Kalau menggunakan minyak kelapa atau minyak zaitun, harus diingat bahawa kulit berjerawat mungkin tidak sesuai dengan minyak tersebut.
Rahsia Sebenar Wajah Awet Muda
Inilah bahagian yang paling jarang orang sentuh. Kajian terkenal di Queensland, Australia, yang diterbitkan dalam Annals of Internal Medicine pada tahun 2013 mendapati orang yang memakai pelindung matahari setiap hari menunjukkan penuaan kulit yang jauh lebih perlahan berbanding yang hanya memakainya sesekali. Kajian ini dijalankan ke atas lebih 900 orang dewasa selama lebih empat tahun.
WHO juga sentiasa mengingatkan bahawa pendedahan berlebihan kepada sinaran UV merosakkan kulit. Jadi kalau mahu pipi kekal anjal, pakailah pelindung matahari setiap pagi dan lindungilah kulit wajah dengan topi atau dengan berpayung.
Selain itu, tidur yang cukup, minum air yang secukupnya, tidak merokok dan makan makanan seimbang yang cukup protein serta kaya vitamin C membantu tubuh menghasilkan kolagen. Kolagen menurun secara semula jadi seiring usia, dan itu normal, tau.
Renung Sejenak
Allah berfirman bahawa Dia telah membentuk kamu lalu memperelokkan rupa paras kamu (At-Taghabun: 3).
Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah itu indah dan menyukai keindahan (Riwayat Muslim). Menjaga wajah dan diri adalah sebahagian daripada bersyukur. Tapi ingat juga kaedah yang sangat jelas dalam agama kita, iaitu tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan tidak boleh memudaratkan orang lain (Riwayat Ibn Majah). Maknanya, kalau sesuatu petua membuat kulit kita pedih atau cedera, itu tanda untuk kita terus berhenti.
Catatan: untuk persoalan hukum dan perincian hadis, sila rujuk ustaz atau ustazah yang dipercayai.
Pilih Produk yang Selamat
Kalau mahu menambah skincare moden, semak dahulu bahawa produk itu telah dinotifikasi oleh Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia. Semakan boleh dibuat melalui carian produk Quest3+ dengan menaip nombor notifikasi atau nama produk.
Elak krim tanpa label yang menjanjikan hasil dalam sekelip mata, kerana ada yang pernah didapati mengandungi merkuri. Bahan ini boleh merosakkan buah pinggang dan saraf, dan amat berbahaya kepada ibu mengandung.
Ringkasan
Petua orang dulu-dulu mudah dan kebanyakannya selamat, tapi pelindung matahari dan gaya hidup sihat itulah yang paling menjaga kulit wajah.
Bila Perlu Jumpa Doktor
Jumpa doktor kulit jika muncul ruam, bengkak, gatal berpanjangan atau kulit menggelap secara tiba-tiba. Ini maklumat am, bukan nasihat perubatan.




Comments