Cerpen Kisah Si Bongsu | Aku Belajar Berbahagia
Aku Si Bongsu… kahwin awal. Umur 23 tahun.
Di saat rakan-rakanku sibuk bergambar konvo, aku pula sibuk pilih langsir pelamin dan susun barang hantaran. Bukan kerana cinta agung macam dalam drama pukul tujuh malam tu. Bukan pula sebab cinta monyet😅. Dia adalah cinta pandang pertama aku.
Oh ye, aku sarankan korang baca dulu kisah sebelumnya, Cerpen Kisah Si Bongsu | Genggam Aku Kuat-Kuat
Ya, aku kahwin…sebab aku nak bebas. Bebas dari belenggu kokongan keluargaku. Bebas dari emosi yang lama terpenjara. Aku fikir dengan perkahwinan itu adalah tiket kemerdekaan jiwa. Aku sangka, dengan bernikah, aku akan tenang…akan selamat dari cengkaman mereka.
Ilustrasi (dijana AI)
Tetapi rupanya aku silap. Perkahwinan bukanlah ubat magik yang dapat menyembuhkan luka semalam. Luka lama yang tidak sembuh itu, turut ikut berpindah ke rumah yang baru aku pula.
Suami aku... baik orangnya. Baik sungguh. Dia penyabar. Dia penyayang. Kalau aku merajuk tahap ribut taufan, dia tetap jadi pelindung. Aku marah, dia diam. Aku menangis, dia tenangkan. Aku buat drama, dia reda. Macam sabar tu sudah sebati dalam darah dagingnya. Kadang-kadang aku pula yang malu sendiri.
Ilustrasi (dijana AI)
Tetapi keluarga aku tetap seperti dulu. Tak pernah benar-benar melepaskan aku. Dan perkahwinan aku bagaikan satu lagi pentas untuk mereka terus masuk campur dalam kehidupan aku. Setiap hari, tanpa gagal, telefon pasti berbunyi.
📞 “Masak apa hari ni?”
📞 “Suami kau makan apa?”
📞 “Kau makan apa?”
Bunyi macam prihatin sangat…tetapi aku rasa seperti diperiksa. Dah semacam pelatih intern di dapur rumah sendiri. Kadang rasa macam isteri budak tadika yang perlu hantar laporan harian sepanjang hari. Seolah-olah, mereka tak percaya aku mampu urus hidup sendiri.
Kemudian aku mengandung. Bunting pelamin pula tu. Waktu tu, aku belum sempat dapat kerja tetap lagi.
Ilustrasi (dijana AI)
Sepatutnya berita itu menggembirakan…terutamanya untuk aku dan suami. Namun keluargaku memandang sinis dengan kata-kata berbisa pedih menyengat menjerut jantung hatiku;
“Kau tu kerja pun takde, nak bela anak macam mana?”
“Nak bagi anak kau makan apa? Hari-hari ikan kering dan sayur sawi?”
“Makan sendiri pun tak cukup, lagikan nak bela anak!”
Pedih sangat. Tapi aku diam. Tak mampu bersuara. Suami genggam tangan aku kuat-kuat, senyum dan berbisik,
“Anak tu rezeki. Jangan risau. Saya ada.”
Hati aku dah pun koyak rabak. Luluh. Kalau boleh dicetak isi hati ni, mungkin penuh contengan keliru, sedih, marah, kecewa... semuanya bertindih dan tak tersusun. Namun dalam kelam itu, ada satu cahaya kecil.
Bonda.
Dia tak pernah menghukum aku. Tak pernah menyindir. Tak pernah menambah garam pada luka. Dia hanya diam… tapi diamnya bukan kosong. Mata bonda selalu berbicara. Setiap picitan lembut di jari-jemari aku, setiap pelukan senyap… semuanya jadi ubat dalam diam.
Kalau bukan kerana dia, mungkin aku dah tersungkur lebih awal. Aku belajar sabar. Belajar diam. Telan semua kepahitan, walau pun kadang tekak macam nak tersedak hempedu sendiri.
Ya, benar... aku kuat… sebab bonda. Dan sebab dia… suamiku. Suami aku tetap ada. Tetap sabar walaupun aku kadang-kadang seperti ribut yang tak reti reda. Tapi dalam keletihan emosi, siapa yang jadi mangsa?
Dia. Tempat aku lepas segala rajuk, marah, kecewa, keliru. Dia jadi punching bag setiap kali aku tak mampu lagi kawal perasaan. Dia sabar. Dia tetap ada di sisiku. Tapi aku? Aku terus menyakitinya dengan kata-kata yang tak sepatutnya keluar. Dan aku ulangi lagi.
Hari demi hari, dia sabar membimbing aku. Dulu aku mudah melenting. Sekarang aku boleh duduk, dengar nasihat sambil kunyah biskut Marie. Emosi lebih tenang bila ada biskut, entah kenapa. 😂
Tapi dalam proses belajar memperbaiki diri… aku masih keliru. Ada hari, aku rasa aku bukan sesiapa pun dalam hidup ini. Tak layak jadi isteri. Tapi... ada satu suara yang selalu berbisik dalam hati;
“Allah sayangkan orang yang sabar. Hidup ini bukan tentang menang hujah, tapi menang menahan diri dari menyakiti.”
Itu kata-kata bonda. Walau pun dia sudah tiada… pesannya hidup dalam hati aku. Aku tulis kata-katanya dan tampal dalam buku nota. Setiap kali hati nak meledak, aku baca. Kadang-kadang baca sambil menangis.
Dialah satu-satunya insan yang tak pernah tinggal aku walau aku gelap dan keliru. Tapi aku tak seperti bondaku yang sangat bersabar dengan kerenah orang di sekelilingnya terutamanya ayahandaku…Bondaku... isteri solehah, ibu mithali.
Aku pula..aku tak pernah sepenuhnya jadi isteri yang baik. Aku keras, cepat marah. Kadang aku sendiri takut dengan bayang-bayang diri aku sendiri.
Ilustrasi (dijana AI)
Walaupun aku bukan isteri yang sempurna. Tapi aku terus mencuba. Aku pernah belajar mengawal nada suara. Belajar menahan sindiran. Belajar senyum walaupun hati dah lencun dengan teriakan tangisan yang tak keluar-keluar. Aku belajar semua itu…kerana aku takut. Takut suatu hari nanti, mereka yang sabar dalam hidup aku, akan pergi.
Tapi hidup bukan drama. Walau pun suamiku orang baik, keluarga dia tak pernah terima aku sepenuhnya. Tapi mereka sayang anak-anak kami. Itu aku hargai.
Tahun demi tahun berlalu. Anak-anak membesar. Rumah tangga kami bertukar dari musim bunga ke musim panas, tapi panas yang tak pernah reda. Hari-hari mendung, tapi tak pernah hujan.
Kami hidup di bawah bumbung yang sama… tapi hati semakin menjauh. Bila dia ada, aku rimas. Bila dia tiada, aku tertanya-tanya, kenapa lambat sangat pulang?
Aku mula sedar… mungkin aku bukan jodoh yang baik untuk dia. Dia terlalu baik. Dan aku… hanya perempuan yang terlalu lama penat. Terlalu lama bertahan. Hidup seperti botol kosong...tiada lagi rasa, hanya bunyi gema.
Dan akhirnya… tepat 20 tahun kami bersama, kami berpisah. Ada yang bertanya,
“Kenapa tak tunggu sikit lagi?”
Aku menjawab dalam hati,
“Sebab aku sayang dia. Biarlah dia bahagia… dengan insan yang mampu menjaga hatinya lebih baik dari aku.”
Dan pada hari kami berpisah, satu titis air mata tak tumpah pun dari tubir mataku. Aku lega...aku senyum bahagia.
Sejak itu, aku belajar bahawa bahagia bukan tentang siapa yang di sisi. Tapi siapa yang ada dalam hati. Dan aku? Aku sedang belajar meletakkan Tuhan di tempat itu.
Ilustrasi (dijana AI)
Dan kau yang sedang membaca ni… kalau kau sedang berjuang dalam rumah tangga… usah sesekali membandingkan hidup kau dengan orang lain. Usah sesekali fikir perkahwinan itu penyelesaian bagi segala-segalanya. Kadang, ia adalah satu permulaan proses mengenal diri yang paling sukar.
Jika kau pernah merasa keliru, lemah dan hilang arah, usah berputus asa. Sebab dalam keliru pun, Tuhan tetap tahu arah untuk bawa kita pulang. Akulah...Si bongsu.
*Cerpen ini tidak berkait langsung dengan sesiapa sama ada yang hidup atau pun yang mati. Ia hanya tujuan kreatif semata-mata.



.jpg)

Comments