P F T @

Cerpen Kisah Si Bongsu | Genggam Aku Kuat-Kuat

Jadi korang dah baca siri sebelum ini kan… Kisah Si Bongsu - Luka Yang Tak Terucap. Kalau belum, aku syorkan baca dulu sebab ini sambungan dari kisah itu.

Nota: cerita ini menyentuh perasaan ingin mengakhiri hidup. Kalau ia terasa berat untuk dibaca, berhenti dahulu dan hubungi seseorang yang kau percayai. Maklumat bantuan ada di hujung cerita.

Aku bukanlah sesiapa. Hanya si bongsu yang biasa-biasa, yang lahir dalam keluarga yang nampak sempurna dari luar, tapi penuh luka yang mencarik-carik di dalamnya.

Aku pernah senyum di luar, tapi menangis tak henti-henti di dalam kamar mandi. Pernah makan nasi bersulamkan senyuman untuk anak-anak, tapi dalam hati, Allah saja tahu betapa kosong dan kelamnya ruang dalam dada ni.

Langit mendung, lambang hati yang sedih

Kadang-kadang… aku rasa nak tamatkan semuanya.

Astaghfirullahal’azim. Berat aku nak tulis ni. Tapi aku tahu, aku tak keseorangan. Ramai di antara kita...wanita, ibu, anak, isteri, manusia biasa, yang pernah rasa apa aku rasa.

Ya... aku pernah rasa terlalu penat sampai terfikir untuk tidak lagi hidup. Ada malam yang sunyi, ada perjalanan sorang-sorang dalam kereta, bila fikiran itu datang tanpa diundang. Pernah aku berdiri diam lama-lama, tertanya-tanya… apa jadi kalau aku hilang?

Pernah juga aku fikir... "Sekejap je habis semua ni kan?"

Ilustrasi doa dan harapan

Tapi Allah... Allah sangat cepat menggenggam hati aku kembali.

Suara arwah bonda terngiang-ngiang dalam kepalaku. Nasihatnya sejak aku kecil, lembut tapi padat, "Solat tu bukan pilihan, nak. Ia perisai. Bila kau rasa hilang, kau sujud. Jangan lari dari Allah."

Dan sebab itu aku masih hidup hari ini. Bukan sebab aku kuat. Tapi sebab Allah tak lepaskan aku, walau aku dah hampir melepaskan diri sendiri.

Arwah bonda, walau dia sendiri tak tahu apa aku lalui, dialah penyelamat aku. Dia tak pernah tahu betapa hampirnya aku hilang arah, tapi dia tahu hati anaknya selalu kacau. Lalu dia hadiahkan doa. Dia tak pernah tahu aku menangis setiap malam, tapi dia selalu datang peluk, cium dahi dan kata, "Jadi anak solehah ya sayang."

Dan aku... aku simpan kata-kata itu sebagai azimat.

Suatu malam, aku betul-betul tak tahan. Aku bangun dari katil, berjalan ke bilik air, dan pandang cermin. Mata sembap, muka lesu, hati koyak. Aku cakap pada diri sendiri, "Cukup. Jangan tinggal solat. Jangan tinggal Tuhan."

Dan pada malam tu... aku sujud paling lama dalam hidup aku. Aku cakap semua. Semua. Termasuk rasa tak layak pada diri, rasa kecewa dengan manusia, rasa marah dengan hidup. Dan aku minta satu je dari Allah, "Kalau Kau tak nak aku mati dalam dosa, tolong genggam aku... kuat-kuat."

Ilustrasi seseorang menangis dalam sujud

Dan Dia genggam. Sampailah ke hari ini.

Sejak tu, aku mula buat satu benda kecil setiap hari. Benda yang boleh bantu aku rasa ‘hidup’. Kadang aku tulis jurnal. Kadang aku buat jadual harian. Kadang aku bancuh teh panas dan duduk tepi tingkap, fikir betapa hidup ni sebenarnya masih ada harapan...walaupun kecil, namun ia tetap bernama harapan.

Dan perlahan-lahan… Allah hadirkan damai. Bukan terus, bukan magik. Tapi sedikit demi sedikit. Macam embun pagi yang datang secara senyap sunyi, tapi menularkan sejuk yang menyembuhkan.

Ilustrasi perasaan terasa hilang dan sunyi

Aku pasang impian baru. Aku nak berkumpul dengan ummahatul mukminin. Dengan Saidatina Khadijah R.anha, dengan Saidatina Aisyah R.anha, dengan Saidatina Fatimah R.anha. Aku nak hidup akhirat yang tenang. Aku nak jadi antara wajah yang bercahaya di Padang Mahsyar kelak, walau di dunia aku pernah gelap dan hampir putus asa.

Untuk itu, aku belajar sabar. Aku belajar memaafkan. Aku belajar menerima ujian bukan sebagai balasan, tapi sebagai panggilan untuk kembali pulang.

Hari ni, aku masih Si bongsu. Tapi aku bukan lagi budak kecil yang menyorok dalam selimut disaat ketakutan. Aku dah jadi wanita yang tahu...hidup ini bukan tentang siapa sayang kita, tapi tentang bagaimana kita mencintai Allah Yang Maha Penyayang tanpa bersyarat.

Kalau kau pernah rasa macam aku… aku peluk kau dari jauh. Aku faham peritnya nak bangun pagi. Aku faham sakitnya tersenyum di saat hati luka berdarah. Tapi kau kena tahu, Allah tak pernah tinggalkan kita. Cuma kadang kita yang terlalu jauh sampai tak dengar panggilan-Nya.

Al-Quran dan tangisan, ilustrasi

Hari ini... aku pilih untuk hidup. Bukan untuk dunia. Tapi untuk akhirat.

Dan bila aku rasa lemah, aku baca semula nota kecil yang aku tulis sendiri:

"Kau bukan beban. Kau bukan gagal. Kau hanya manusia yang sedang mencari jalan pulang."

Dan jalan itu… ada pada sejadah, pada air mata dalam doa, dan pada setiap langkah kecil menuju cinta Allah yang Maha Luas.

Jika kau terbaca cerita ini, tolong jangan abaikan tangisan orang diam. Tolong peluk mereka yang selalu mengukir senyuman. Kadang mereka sedang berperang hebat dalam diri semata-mata hanya untuk terus bertahan.

Dan kau… kalau itu kau… ketahuilah, aku doakan kau juga pulang kepada Allah dengan jiwa yang tenang.

Kerana hidup ini, walau penuh luka… masih ada harapan. Ya, memang selalu ada harapan.

Kalau perasaan seperti ini datang kepada kau, kau tak perlu hadapinya sendirian. Hubungi:

  • Talian HEAL 15555 (setiap hari, 8 pagi hingga tengah malam)
  • Talian Kasih 15999 (24 jam), atau WhatsApp 019-261 5999
  • Befrienders KL 03-7627 2929 (semak waktu operasi di befrienders.org.my)

Kalau kau dalam bahaya segera, hubungi 999.

*Cerpen ini tidak berkait langsung dengan sesiapa sama ada yang hidup atau pun yang mati. Ia hanya tujuan kreatif semata-mata.

Comments