5 Petua Tradisi Daun Pandan
Jika kita membesar di kampung, hampir pasti kita mengenali bau daun pandan. Baunya yang harum semerbak datang daripada daun pandan yang diikat simpul, direbus ke dalam periuk nasi atau kuah santan, atau dibuat kuih onde-onde dan kuih-muih tradisional yang lain, lalu satu dapur berbau wangi. Daun pandan memang kawan lama orang Melayu. Tak ada rasa asing langsung, kan!
Cuma, sejak kebelakangan ini daun yang sama ini naik tarafnya di WhatsApp dan Facebook. Ada mesej yang kata pandan boleh ubat sakit kepala, kebas-kebas, gastrik, malah sakit kanser. Sebagai orang yang suka mencuba petua, Kak Mawar pun tertanya-tanya juga. Betul ke ni? Atau sekadar clickbait untuk banyakkan like? Jadi Kak Mawar pun semaklah satu per satu, dan inilah ceritanya.
Baca Dahulu
Petua dalam post ini datang daripada mesej yang tersebar, bukan daripada kajian. Kak Mawar semak dakwaannya dan tulis apa yang sebenarnya Kak Mawar temui.
Senarai Ringkas
- Tip 1: Sakit kepala
- Tip 2: Kebas-kebas
- Tip 3: Kesemutan
- Tip 4: Kanser (mitos yang perlu diluruskan)
- Tip 5: Sakit gastrik
Dulu Kenal Pandan, Sekarang Kenal Sainsnya
Nama saintifiknya Pandanus amaryllifolius, tumbuhan asal Asia Tenggara. Bau wanginya datang daripada sebatian bernama 2-acetyl-1-pyrroline, bahan yang sama menjadikan beras basmathi wangi. Ia turut disenaraikan dalam piawaian ISO bagi herba dan rempah yang sesuai dijadikan bahan makanan.
Kajian moden memang ada menjumpai ciri-ciri menarik pada ekstrak daun pandan, seperti sifat antioksidan dan kesan menurunkan gula dalam darah. Tetapi kebanyakannya diuji dalam makmal dan pada haiwan, menggunakan ekstrak pekat. Para penyelidik sendiri menyatakan ujian ketoksikan dan kajian pada manusia masih perlu diperbanyakkan.
Maksudnya, pandan itu baik dan selamat sebagai bahan masakan. Tetapi untuk bergelar ubat, ia belum sampai ke situ lagi.
Tip 1: Sakit Kepala
Cara yang orang sebut
Satu helai daun pandan dihiris halus, direbus sekejap bersama halia sebesar ibu jari yang diketuk dan segelas air. Minum ketika suam, selepas makan.
Apa kata kajian
Halia memang terkenal untuk meredakan loya. Itulah kegunaannya yang paling kukuh sokongannya. Tetapi untuk migrain dan sakit kepala, ringkasan bukti daripada institusi kesihatan Amerika menyatakan bukti saintifik belum cukup lagi.
Jadi secawan air halia pandan yang suam itu elok sebagai minuman yang menenangkan. Tetapi jangan jadikan ia pengganti mencari punca sakit kepala. Sakit kepala sering berpunca daripada kurang tidur, kurang minum air dan tekanan yang dihadapi, dan kadangkala daripada sebab yang lebih serius. Haa... mungkin!
Tip 2: Kebas-kebas
Cara yang orang sebut
Dua helai daun pandan dan halia sebesar ibu jari direbus dengan dua gelas air hingga tinggal segelas, diminum pagi dan petang.
Apa kata kajian
Setakat yang Kak Mawar semak, tiada kajian manusia yang menunjukkan pandan boleh merawat kebas. Kebas boleh berpunca daripada saraf yang tertekan kerana duduk lama atau posisi tidur, kencing manis, ataupun kekurangan vitamin B12. Puncanya berbeza-beza, jadi rawatannya pun berbezalah, ye!
Satu perkara penting, halia boleh menurunkan paras gula dalam darah dan tekanan darah. Bagi yang sudah mengambil ubat diabetes ataupun darah tinggi, tanya doktor atau ahli farmasi terlebih dahulu jika mahu minum air halia dengan kerap.
Tip 3: Kesemutan
Cara yang orang sebut
Tiga helai daun pandan dan halia direbus dengan dua gelas air hingga tinggal segelas, diminum suam sejam sebelum tidur.
Apa kata kajian
Ceritanya sama seperti kebas. Kesemutan yang kerap datang semula, terutama di hujung jari tangan dan kaki, perlu diperiksa punca sebenarnya. Pemeriksaan gula dalam darah dan paras vitamin B12 antara langkah yang lazim dibuat oleh doktor.
Air rebusan itu mungkin menyedapkan hati sebelum tidur. Tetapi ia bukanlah satu-satunya jawapan kepada masalah saraf yang dihadapi.
Tip 4: Kanser (Mitos yang Perlu Diluruskan)
Bahagian ini yang paling Kak Mawar rasa berat untuk menulis, kerana ia melibatkan harapan orang yang sedang bergelut. Dalam mesej asal ada resipi rebusan pandan, dukung anak dan daun durian belanda untuk kanser. Kak Mawar sengaja tidak menyalin resipi itu di sini.
Sebabnya begini. Ekstrak pandan memang pernah menunjukkan kesan terhadap sel tumor dalam kajian makmal, tetapi itu belum bermakna ia merawat kanser pada manusia.
Daun durian belanda (graviola) pula sudah banyak dikaji. Cancer Research UK menyatakan ekstraknya boleh membunuh beberapa jenis sel kanser dalam makmal, tetapi belum ada kajian pada manusia untuk membuktikan ia berkesan. Mereka juga memberi amaran ia mungkin menyebabkan perubahan saraf dan gangguan pergerakan, serta merosakkan buah pinggang dan hati jika diambil dengan kerap.
Secara amnya, badan kanser tersebut turut menyatakan bukti saintifik yang boleh dipercayai untuk menggunakan ubat herba sebagai rawatan kanser masih tidak mencukupi. Bahayanya yang paling besar ialah apabila seseorang berhenti atau melewatkan rawatan doktor kerana percaya pada rebusan air herba.
Jika ada insan tersayang yang sedang berhadapan dengan kanser, bincangkan dengan pasukan perubatannya sebelum mencuba apa-apa herba, ya!
Tip 5: Sakit Gastrik
Cara yang orang sebut
Daun pandan, halia, lima potong labu kuning dan sedikit gula melaka direbus hingga labu masak. Labu dimakan dan airnya diminum setiap pagi sebagai ganti sarapan.
Apa kata kajian
Labu yang direbus lembut memang amat mesra perut. Makanan lembut yang tidak pedas juga lazimnya lebih selesa bagi orang yang sedang mengalami sakit gastrik. Itu bahagian yang munasabah.
Tetapi ada dua perkara yang Kak Mawar nak tanda.
Pertama, halia boleh menyebabkan pedih ulu hati dan kembung pada sesetengah orang, jadi ia tidak sesuai untuk semua yang bergastrik. Kak Mawar memang tak boleh pergi dengan halia. Dulu Kak Mawar gastrik tegar dari usia 13 tahun.
Kedua, menjadikan rebusan ini pengganti sarapan setiap hari menyebabkan sarapan tidak seimbang dari segi zat, dan gula melaka tetap gula, terutama bagi yang menghidap kencing manis. No, no, no!
Gastrik yang berulang kali juga boleh berpunca daripada jangkitan kuman Helicobacter pylori atau penggunaan ubat penahan sakit seperti ibuprofen. Semua ini perlu dinilai doktor terlebih dahulu, bukannya boleh diteka-teka.
Bila Perlu Jumpa Doktor
Maklumat am, bukan nasihat perubatan. Jumpa doktor jika sakit berulang, kebas tiba-tiba di sebelah badan, najis bertukar warna hitam, muntah berdarah atau berat badan turun tanpa sebab yang jelas.
Jadi, Apa Yang Kak Mawar Simpan?
Selepas semak kesemuanya, Kak Mawar tak jadi nak rasa kecewa. Sebenarnya Kak Mawar jadi lebih menghargai daun pandan dengan cara yang betul.
Daun pandan sifatnya wangi, murah, mudah didapati dan menjadikan air rebusan dan juadah kita lebih menyelerakan. Secawan air pandan halia yang suam pada petang hari yang penat pun sudah cukup memberikan rasa tenang dan damai.
Cuma satu perkara yang Kak Mawar pegang. Petua keluarga itu manis sekali untuk dikenang, tetapi apabila melibatkan kesihatan, biarlah doktor dan bukti yang memandu langkah-langkah kita.
Renung Sejenak
Daun pandan elok di dalam periuk dan cawan. Untuk penyakit, kita serahkan saja kepada doktor.
Sumber Rujukan
- Cancer Research UK: Graviola (soursop)
- AAP FactCheck: dakwaan durian belanda dan kemoterapi
- Pharmacy Education (2025): Phytochemistry and pharmacology of Pandanus amaryllifolius
- Fitoterapia (2024): Botany, phytochemistry, pharmacology, and applications of Pandanus amaryllifolius Roxb.
- National Center for Complementary and Integrative Health (NIH): ringkasan bukti tentang halia







Comments