31 December, 2016

Pakar Nutrisi

Bayangkan anda memainkan peranan sebagai penasihat kepada masyarakat dalam meningkatkan tahap kesihatan mereka melalui pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat.


Kerjaya sebagia pakar nutrisi atau diet bukanlah pekerjaan remeh tetapi memerlukan pengalaman dan pendidikan terbaik khususnya bagi membentuk individu yang mampu memberi khidmat nasihat dalam menguruskan kesihatan optimum yang dikehendaki. 


Membantu seseorang memilih menu terbaik, mengandungi pelbagai zat dan nutrisi dan melarang mereka daripada mengambil hidangan tidak sihat bukan kerja mudah. 

Justeru, sebagai pakar nutrisi dan diet, anda harus bijak mengawal individu terbabit dengan kata dan tunjuk ajar berlandaskan konsep dan prinsip asas kesihatan yang betul. 


Tetapi jika itu yang anda gemarkan iaitu menjaga diet seseorang, pilihan kerjaya seperti yang disebutkan tadi layak untuk anda. 

Promosi Penjagaan Kesihatan 

Oleh itu, pakar nutrisi selalunya memainkan peranan penting dalam mempromosi penjagaan kesihatan dengan mencegah penyakit menerusi pengambilan makanan yang sihat. 

Selalunya, pakar nutrisi dilantik oleh agensi kerajaan untuk menguruskan program berkaitan kesihatan, polisi dan peraturan pemakanan selain turut berperanan sebagai pendidik terhadap keperluan nutrisi yang betul dalam hidup seharian setiap individu.


Selain bekerja di agensi kerajaan, anda juga boleh mengaplikasi kepakaran di syarikat swasta seperti kilang makanan dan minuman, pusat latihan kesihatan dan penasihat persendirian individu atau kumpulan yang memerlukan pakar nutrisi. 

Peluang Kerjaya

Sekiranya anda minat menulis artikel mengenai kesihatan, media cetak mahupun internet, anda boleh memegang jawatan sebagai penulis ruangan kesihatan untuk tatapan pembaca. 


Bukan itu saja, anda juga boleh memilih kerjaya sebagai pensyarah dan pendidik di institusi pendidikan dalam dan luar negara mengikut kelayakan akademik dan pengalaman yang ada.


Sebagai pakar nutrisi mahupun diet, anda perlu tahu tahap nutrisi yang diperlukan setiap orang. Contohnya, nutrisi untuk mereka yang berpenyakit tidak sama dengan yang normal. 

Seperti nutrisi, diet juga memerlukan garis panduan supaya apa yang disuapkan ke mulut mengikut keperluan setiap individu. 


Sebagai pakar, anda harus bijak menjadualkan pemakanan mengikut nutrisi yang betul dengan keperluan individu normal (tanpa penyakit) dan yang mempunyai penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, kolestrol dan obesiti. 

Petikan sumber Berita Harian Disember 2016

30 December, 2016

10 Sebab Doa Tak Dimakbul - Buku al-Ustaz


  • Lalai ketika berdoa
  • Tidak bersungguh-sungguh
  • Kurang yakin dengan doa
  • Tidak berselawat
  • Perbelanjaan hidup daripada sumber haram
  • Cepat berputus asa
  • Melakukan syirik
  • Tidak merendah diri ketika berdoa
  • Kurang beradab ketika berdoa
  • Memutuskan silaturrahim


29 December, 2016

Simpan Cara Betul

Ramai pakar pemakanan bersetuju, cara penyimpanan makanan yang tidak betul, boleh menyebabkan ia mudah tercemar, sekaligus membuka ruang keracunan pada orang memakannya.


Sakit perut, muntah-muntah atau kehilangan air dalam badan antara kesan ketara  akibat makan makanan yang sudah rosak atau tercemar. 

Malah ada yang menemui ajal kerana lambat mendapatkan rawatan. 

Kadangkala makanan dibeli di pasar atau pasar raya sememangnya bersih tetapi kerana kita tidak menyimpan makanan dengan baik serta betul, maka kuman dan bakteria mudah menghinggapi. 


Makanan yang bersih adalah kunci kesejahteraan sekeluarga. 

Panduan penyimpanan makanan secara asas:

Arahan penyimpanan makanan pada label bungkusan, bukan hiasan semata-mata. 

Baca, fahami dan ikut arahan tertera sebelum dan selepas membuka bungkusan. 


Ada produk yang sesuai disimpan dalam ruang sejuk beku atau sesuai diletakkan di dalam bekas kedap udara sahaja. 

  • Bijirin

Umumnya, bijirin seperti beras, kacang dan tepung gandum perlu disimpan di dalam bekas kedap udara dan disimpan di tempat dingin, kering dan jauh dari sinaran matahari. 

Penyimpanan di tempat sejuk dan berair memudahkan ia rosak. 


Sebagai contoh, beras mudah dihinggapi kumbang kalau sering terdedah pada hawa sejuk.

  • Susu dan produk tenusu

Susu dan produk tenusu antara yang mudah rosak. Justeru, pastikan kita mengenali jenis susu yang dibeli. 

  • Susu segar pasteur harus diletakkan di ruang pendingin yang mempunyai suhu antara 0 darjah Celcius hingga 4 darjah Celcius.
  • Elakkan meletakkan susu pasteur pada suhu bilik kerana ia mudah dicemari bakteria.
  • Susu ultra tinggi atau susu UHT tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk.
  • Selepas kotak dibuka, lebihan hendaklah disimpan di dalam peti sejuk di ruang pendingin pada suhu antara 0 darjah Celcius hingga empat darjah Celcius. 
  • Elak menyimpan susu berdekatan dengan bahan makanan yang mempunyai bau yang kuat. 
  • Makanan seperti keju mestilah disimpan dengan pembungkus asalnya di dalam peti sejuk. 
  • Selepas dibuka, ia mestilah dibungkus semula dengan sempurna menggunakan pembungkus baru yang kalis air (seperti aluminium atau plastik) atau diletakkan di dalam bekas yang bertutup ketat bagi mengelakkan kekeringan wap air di permukaan keju.


  • Telur

Sebaiknya telur disimpan di ruang pendingin pada suhu 0 darjah Celcius hingga empat darjah Celcius untuk mengelakkan pertumbuhan bakteria. 



Sungguhpun ada yang gemar membasuh telur sebelum disimpan, tetapi ada saranan untuk mengelakkan telur dibasuh sebelum disimpan. 

  • Daging, ayam dan ikan

Simpan daging, ayam dan ikan yang akan digunakan dalam tempoh tidak melebihi tiga (3) hari di ruang penyimpanan khas di bawah ruang sejuk beku pada suhu antara dua (2) darjah Celcius atau kurang. 


Bagaimanapun, bagi simpanan lebih lama, daging, ayam dan ikan hendaklah disimpan secara sejuk beku, iaitu di bahagian kurang daripada 0 darjah Celcius. 

Bagi hasil terbaik, daging, ayam dan ikan hendaklah disimpan di dalam bekas plastik kedap udara sebelum disimpan untuk mengelakkan berlaku proses kekeringan dan baunya, 'menjangkiti' makanan lain pada ruang penyimpanan sama. 

  • Buahan dan sayuran

Mengekalkan kesegaran buah-buahan dan sayur-sayuran boleh dilakukan dengan membungkus menggunakan plastik pembungkus makanan, sebelum dimasukkan ke bahagian penyimpanan di peti sejuk.


Bagi sayuran berdaun pula, ia perlu dikeringkan terlebih dahulu sebelum disimpan di dalam peti sejuk. 

Perlu diingatkan, supaya jangan menyimpan buah-buahan dan sayur-sayuran di ruang sejuk beku kerana ia boleh merosakkan tisu buah-buahan dan sayur-sayuran selain tidak segar.

28 December, 2016

Tips Jadi Blogger Sepenuh Masa - Azleen Abdul Rahim

Nak jadi penulis blog yang berjaya kena ada beberapa perkara yang perlu dititikberatkan, antaranya : 

  • Minat

Penulis blog yang berjaya perlu ada minat yang tinggi untuk menulis. Keinginan mereka lebih tinggi dari keinginan untuk meraih pendapatan yang besar. 


Mereka menulis semata-mata kerana minat dan mereka menulis setiap hari. Minat yang mendalam akan membuahkan buah fikiran kreatif. 

Mereka mampu menulis 10 hingga 15 artikel setiap minggu. Setiap artikel tidak kurang dari 650 perkataan. 

  • Tumpukan pada subjek anda

Mereka tidak menulis berdasarkan apa yang terlintas di fikiran. Strategi sebegitu tidak akan berhasil untuk mencipta penjenamaan mereka sendiri. 

Mereka akan memilih subjek yang dekat dengan hati pembaca, yang mereka mempunyai kepakaran tinggi tentang sesuatu subjek tersebut, 


Contohnya, kepakaran tentang pemasaran digital, jadi semua artikel hanya berkisar tentang pemasaran digital, kandungan dan media sosial sahaja. 

  • Kongsi ilmu

Penulis berjaya suka berkongsi ilmu berdasarkan kepakaran mereka dalam bidang tertentu. Mereka akan menulis dalam dua (2) kaedah. 

Pertama, cara-cara untuk melakukan sesuatu  ataupun kedua, penulisan menjurus kepada perkongsian pendapat ataupun pemikiran tentang sesuatu perkara. 


Mereka sedar, pembaca atau pengikut mereka akan menghargai apa yang ditulis dan seterusnya menggunakannya dalam kehidupan seharian. 

  • Tumpukan pada penulisan

Mereka tidak bimbang sekiranya artikel yang ditulis tidak mendapat trafik yang banyak, tidak menjana pendapatan yang besar, tidak mendapat pengikut yang ramai ataupun orang tidak kongsikan artikel tersebut dengan rakan-rakan. 



Mereka lebih tumpukan pada penulisan yang berkualiti, segar dan menarik.  Mereka mahu jadikan setiap apa yang ditulis sebagai ikonik dan penulisan artikel yang terbaik pernah dihasilkan. 

  • Banyak membaca dan memerhati

Kurang membaca dan memerhati tentang keadaan sekeliling tidak akan membuahkan fikiran yang kreatif. 

Dengan membaca mereka dapat belajar pelbagai benda termasuklah perkataan-perkataan baru, taktik terkini, gaya penulisan dan inovasi terkini tentang subjek yang ditulis. 

Mereka perlu tahu reaksi dan persepsi yang wujud dalam kalangan orang ramai tentang subjek yang ditulis. 

  • Kaitkan penulisan dengan pembaca

Mereka sentiasa meletakkan diri mereka sebagai pembaca terlebih dahulu sebelum menulis untuk mengaitkan artikel dengan kehidupan pembaca. 



Penulisan jelas, mudah dan senang difahami akan lebih menguatkan "perhubungan" di antara pembaca dengan artikel yang ditulis yang akhirnya menjadikan penulisan mudah dihadam. 

Tidak semua orang menjadi penulis blog sepenuh masa yang berjaya. Semuanya ditentukan dengan minat dan tahap mana keinginan untuk mencapainya. 

Mahu tahu lagi...5 Tips Penulisan Blog Secara Berkesan

Azleen Abdul Rahim - Pakar Pemasaran Digital antara penulis blog yang berjaya. Petikan dari Utusan Biz, Utusan Malaysia. 

27 December, 2016

Adakah Kita Sihat?

Saringan kesihatan menyeluruh akan menghasilkan keputusan yang baik sekiranya siri ujian itu dilakukan oleh mereka yang profesional dalam penjagaan kesihatan.

Ujian saringan kesihatan yang perlu dilakukan oleh semua peringkat umur antaranya: 


  • Tekanan darah 

Tekanan darah tinggi (hipertensi) memaksa jantung mengepam darah lebih kuat dan lama kelamaan menjejaskan pembuluh darah di seluruh tubuh. 


Biarpun tubuh manusia boleh menerima kenaikan tekanan darah selama berbulan-bulan malah bertahun, tetapi lama-kelamaan ia boleh merosakkan jantung, buah pinggang, otak dan mata. 


Bacaan tekanan darah kita diukur oleh tekanan sistolik (bacaan atas) dan diastolik (bacaan bawah). 

Sebagai contoh, bacaan 120/80 adalah normal tetapi 140/90 dan lebih tinggi daripada itu menunjukkan mungkin kita menghadapi masalah tekanan darah tinggi. 

Sebaik-baiknya, setiap individu perlu memeriksa tekanan darah sekurang-kurangnya dua tahun sekali. 

Bagi mereka yang disahkan menghidap kencing manis, penyakit jantung, masalah buah pinggang atau masalah kesihatan lain perlu kerap dipantau menerusi pemeriksaan kesihatan. 


  • Saringan diabetes

Diabetes atas kencing manis bukan asing di kalangan masyarakat Malaysia. Penyakit ini terjadi apabila tahap glukos (gula) terlalu tinggi. 


Glukos diperoleh daripada makanan yang diambil yang akhirnya menghasilkan hormon insulin. Insulin memberikan tenaga kepada sel dalam tubuh. 

Pesakit diabetes jenis 1 tidak mampu menghasilkan insulin, manakala pesakit diabetes jenis 2, sama ada tidak dapat menghasilkan atau memanfaatkan insulin sepenuhnya. 

Dalam kebanyakan kes, apabila tubuh tidak menghasilkan insulin, glukos kekal dalam darah dan ini boleh menyebabkan kerosakan serius kepada organ utama dan saraf. 

Ujian glukos dalam darah dilakukan untuk memastikan diabetes di mana individu perlu berpuasa selama minimum lapan (8) jam. 


Glukos dalam darah normal orang yang berpuasa ialah antara 4.4 dan 6.1 mmol/L (mereka yang tidak menghidap diabetes). 

Piawaian pemeriksaan atau diagnosis standard dilakukan apabila dua ujian darah berbeza, ujian toleransi glukos menunjukkan bacaan glukos dalam darah tidak lebih atau bersamaan dengan 7.8 mmol/L.


  • Tahap kolestrol

Kolestrol adalah bahan yang lekit seakan-akan lemak yang terdapat dalam darah dan setiap sel dalam tubuh manusia. 


Pembentukan berganda kolestrol dan lemak lain dikenali sebagai lipid

Tubuh manusia hanya memerlukan sejumlah kecil kolestrol bagi menjalankan fungsi tubuh. 

Lebihan kolestrol dalam saluran darah akan menyempitkan pembuluh darah. Ini menyebabkan sekatan juga dikenali sebagai plak. 

Plak meningkatkan peluang seseorang untuk mendapat penyakit jantung. 

Lazimnya, tiada gejala jelas yang menunjukkan kemungkinan kolestrol tinggi dalam darah kecuali menerusi ujian darah. 

Kolestrol tinggi juga boleh berlaku akibat genetik, obesiti dan diet yang tidak sihat. 

Paras kolestrol diukur dalam mmol/L. Kolestrol tinggi boleh didiagnosa dengan ujian darah mudah, atau juga dikenali sebagai profil lipid. 


Ia biasanya dijalankan selepas individu berpuasa selama 10 hingga 12 jam bagi mengasingkan kemungkinan pengaruh lemak yang baru saja dimakan. 

Keputusan ujian biasanya dinyatakan mengikut jenis seperti berikut:

  • LDL (kolestrol jahat)Kolestrol jahat yang boleh menyebabkan penyakit kardiovaskular. Paras optimal harus berada di bawah 2.6 mmol/L.


  • HDL (kolestrol baik) - Kolestrol baik yang membantu memanfaatkan kolestrol dalam tubuh. Paras yang baik seharusnya lebih dari 1.6mmol/L.

  • Trigliserida - lemak yang lazim ditemui dalam darah ada lebihannya boleh menyebabkan penyakit arteri koronari. Paras sederhana biasanya di bawah 1.7mmol/L


  • Jumlah kolestrol - kompilasi semua bentuk komponen lipid dalam darah. Paras yang disarankan seharusnya berada di bawah 5.2 mmol/L



  • Fungsi paru-paru

Ujian paru-paru juga dikenali sebagai ujian fungsi pulmonari. Ujian yang standard menentukan keupayaan fungsi paru-paru seperti berapa banyak udara boleh disedut. 


Ia kemudian direkodkan dan dibandingkan dengan yang lain di dalam kumpulan yang sama, ketinggian dan jantina. 


Ujian ini membolehkan pengamal perubatan menentukan kapasiti paru-paru untuk menyalurkan oksigen kepada sistem darah begitu juga kekuatan otot pernafasan. 

Ujian fungsi paru-paru juga merangkumi pelbagai ujian pernafasan dan ujian bagi mengukur paras oksigen dalam darah. 

Ujian pernafasan yang biasa digunakan termasuklah : 

  • Spirometri - mengukur jumlah udara yang disedut dan dihembus serta berapa pantas udara dihembuskan.


  • Pletimosgrafi - mengukur jumlah udara yang hadir dalam paru-paru ketika menyedut dan jumlah yang kekal selepas menghembus.


  • Kapasiti difusi paru-paru - mengukur keberkesanan oksigen dipindahkan dari paru-paru ke saluran darah.

  • Ujian latihan tekanan - mengukur kebolehan paru-paru dan fungsi jantung ketika berada di bawah tekanan. Lazimnya ia diukur ketika pesakit menggunakan mesin treadmill atau basikal. 



  • Ujian EKG

Elektrokardiogram (EKG) bertujuan mengesan degupan jantung yang tidak normal. 


EKG bersenam dilakukan untuk mengesan jika ada berlaku kekurangan bekalan darah ke jantung atau aliran darah tersekat pada arteri koronari (iaitu saluran darah yang membawa darah ke jantung). 

Ujian EKG standard memerlukan cakera logam (electrod) yang diletakkan di sekitar lengan, kaki dan dada. 

Naik turun bacaan EKG dibahagikan kepada beberapa seksyen yang menunjukkan bagaimana jantung berfungsi. 


Degupan jantung yang biasa adalah di antara 60 hingga 100 degupan seminit. 

Bacaan yang kurang daripada 60 degupan seminit menunjukkan degupan jantung yang perlahan dan lebihan 100 degupan jantung seminit dianggap sebagai tidak normal. 

Keputusan EKG mestilah diterjemah oleh pengamal perubatan terlatih kerana keputusan sering memerlukan interpretasi berdasarkan gejala lalu, rekod kesihatan, pemeriksaan fizikal dan keputusan ujian lain. 



  • Pasca Saringan

Biarpun keputusan ujian normal, seseorang itu tidak seharusnya berhenti mengambil langkah berjaga-jaga. 


Saringan kesihatan yang kerap perlu dijalankan bagi mengesan keadaan kesihatan yang mungkin terjejas selepas pemeriksaan kesihatan dijalankan. 

Tidak kurang penting untuk kita terus mengamalkan gaya hidup sihat sementara dalam masa sama menjalani pemeriksaan kesihatan rutin pada masa yang sesuai. 


Sebaiknya, jika keputusan menunjukkan komplikasi, pesakit dinasihatkan membuat rawatan susulan dengan pengamal kesihatan dengan segera. 

Menangguhkan rundingan tidak digalakkan kerana rawatan awal dan pengurusan penyakit di peringkat awal yang baik menghasilkan keputusan yang baik sekaligus mencegah komplikasi serius. 

Petikan Berita Harian 20 Disember 2016

26 December, 2016

Singapore Dalam Satu Jam


Kali ni, Mawar Melati nak kongsikan macamana cara nak masuk Singapura dengan menaiki motosikal. 

Asalnya, 24hb Disember hari tu, Cik Mas VHana Rider, baby Nisaq dan Kak Maz Hazim just nak pergi makan kenduri di Bukit Gambir, Tangkak Johor. 


Then nak masuk Johor Bharu untuk pusing-pusing kat area sana je. 

Dah alang-alang masuk Johor, Mawar Melati yang selalu pasang angan nak masuk Singapura dengan menaiki motorsikal, akhirnya dapat jugak. 

Baby Nisaq yang baru pulang dari Songkhla Thailand sudi nak realisasikan impian Mawar Melati. Mekasih taw, baby nisaq.. Muahss..


Ikutkan pada malam tu, selepas basah lencun bermandi hujan semasa on the way ke Johor Bharu dari Tangkak, memang kami akan masuk esok pagi ke Singapura. 

Tapi selepas, baju dibasuh dan dikeringkan di kedai dobi bawah bilik penginapan kami, baby Nisaq minta Mawar Melati bersiap-siap selepas makan malam @Hot Plate untuk masuk border


Pada mulanya, memang seronok dapat tengok Johor Bharu dari jambatan menghala ke border. Kitorang menjerit keriangan. Impian cop buku merah untuk tahun ni, akhirnya dapat juga. 


Sesampai kat Imigresen Malaysia, memang ok jer. 

Then, sesampai kat Imigresen Singapura, kami diminta isi borang putih di kaunter tanpa perlu turun dari motosikal. 

Well, ini lagi best dari masuk border Thai..Kat Imigresen Thai, kita kena park motor dan beli insurans bagai dan isi borang putih siap-siap. 

Bagi yang pertama kali masuk, nak tak nak kena beli auto-pass. Sediakan SD10 untuk auto-pass yang mana boleh dibeli semasa pemeriksaan kastam Singapura. 


Di pemeriksaan kastam, kena buka helmet, semua zip beg dibuka dan kalu ada barang yang dibawa masuk, perlu diisytiharkan terlebih dahulu. 

Semasa membuat urusan auto-pass, pastikan juga roadtax, geran dan insurans ada bersama. Semua maklumat tersebut akan di keyin dalam kad autopass. 

Auto-pass ni digunakan semasa keluar dan masuk dan berad di Singapura. Lecehnya Singapura ni, ada sesetengah jalanraya yang motosikal atau kenderaan tertentu tak dibenarkan masuk contohnya ERP. 


So, semasa ride di sana, kami sering gelabah bila nampak signboard ERP. Gelabah bila tak de motosikal yang masuk jalan yang kami lalui. 

Memang rasa tersangat cuak dan ketakutan, kalau-kalau disaman polis Singapura. Masaklahh.. kitorang.

Dan sebaik mungkin, pastikan bawak gadget untuk pencarian destinasi. Sebab Mawar Melati perhatikan semua kereta dan motosikal, pakai gps. Complicated nyer...

Bandaraya Singapura memang happening, banyak lampu dan memang Singapura bandar yang cantik. Kata baby Nisaq, seperti bandaraya Hongkong. 


Mawar Melati kagum dengan setiap design bangunan, lampu dan gabungan landskap moden, mewah, klasik, tradisional dan kontemporari. 

Patutla ramai yang memilih Singapura untuk shopping. Terlalu banyak gedung beli belah dan waktu kami masuk hari tu around 9.00 malam.. semua area masih meriah dan happening... macam tak de waktu tidur. 

Kat Orchard Road, rasa seperti berada di tengah-tengah bandaraya Pulau Pinang, Melaka dan Bukit Bintang, KL. 


Impian baby Nisaq untuk amik gambar di Merlion Park bersama lion tu, tak kesampaian gara-gara tak nampak signboard parking motosikal. 


Bestnyer baby Nisaq ni, atas moto pun dia boleh bertegur sapa dengan penduduk tempatan di sana semata-mata untuk minta tunjukkan arah. 


Dah tak boleh nak parking, tak selesa dan cuak dengan jalan raya Singapura yang complicated ni, yang begitu banyak cctv, maka kami dalam pukul 10.00 malam da pun berada di border Singapura-Malaysia. 

Untuk pengetahuan, kaunter masuk dan keluar, sentiasa dibuka. Anytime boleh masuk dan keluar. 

Semasa pulang, punyalah banyak motosikal dan waktu ni memang banyak makan masa untuk check out

Lebih kurang sejam, kami da pun berada di Johor Bharu. Alangkah bestnyer, Malaysia. Bebas, free, tak de nak peduli rasa cuak salah lorong ker, cctv ker atau pun had laju. 


Walaupun, bandaraya Johor Bharu tak seindah Singapura tapi kebebasan itu yang buat kita happy kan. 

Malam tu, kami tidur dengan lena.. impian tercapai jua. 

Esoknya, kami melawat masjid di Kota Iskandar, Hello Kitty@ Puteri Harbour, Tanjung Piai (Penghujung Benua Asia), Pontian dan seterusnya... mandi hujan lagi... menghala ke Putrajaya. 


Perjalanan yang tak dirancang kali ni, memang best. Memang terbaik. 


First time, Mawar Melati tibai makan tanpa peduli apa pun, taw-taw, perut sendat dan seluar pun ketat. 


Apa-apa pun, mekasih yer semua. Muahss cyunk uols.