Long Terawan, Suku Berawan Dan Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak Bumi Kenyalang

Etnik Berawan

Long Terawan merupakan perkampungan rumah panjang Etnik Berawan yang dibina di tepi Sungai Baram berhampiran dengan Ulu Baram. Disebabkan banjir yang kerap berlaku di sini maka rumah panjang tersebut dibina di atas bukit oleh Orang Kaya Temenggong Lawai Melayong.

Pada masa itu, rumah panjang dibina di atas tiang kayu dan mempunyai 100 bilik. Namun, pada masa kini, batu bata dan simen kerap digunakan untuk membina tandas dan pendawaian elektrik. 

Rumah Panjang Long Terawan

Hubungan komunikasi penduduk ini amat bergantung kepada bot panjang yang menyusuri Sungai Baram ke Marudi, Miri dan Kuala Baram. Ada beberapa pelancong yang sering singgah di Long Terawan bagi meninjau kehidupan tradisional di rumah panjang sebelum meneruskan perjalanan ke Taman Negara Mulu, Gunung Mulu, Sarawak.

jeti long terawan

Di Long Terawan, hanya terdapat sebuah sekolah rendah. Dan apabila anak-anak tersebut sudah besar, mereka akan menyambung persekolahan di peringkat menengah di Long Panai (sebuah lagi rumah panjang yang menyusuri sungai).

Namun, kini kemudahan kian bertambah baik kerana kerajaan telah memasang beberapa menara telekomunikasi tidak jauh dari rumah panjang, jadi mereka boleh mendapatkan liputan telefon dan wifi yang lebih baik.


Etnik Berawan

Mereka tinggal dan menetap di Long Terawan merupakan etnik minoriti di Sarawak yang dikategorikan dalam Kaum Orang Ulu yang bermaksud orang pedalaman Sarawak atau kadang-kadang dikenali sebagai orang sungai. 

Peta Suku Berawan

Kebanyakkan penduduk asal Long Terawan berada di Sungai Melinau dan Taman Negara Mulu lebih-lebih lagi di kawasan yang dinamakan Loagan Bunut sehingga ke Ulu Baram, dan ada sesetengahnya berada di bandar Miri, Sarawak.

Etnik Berawan terkenal sebagai penjaga Mulu dan selalu dikaitkan dengan alam semula jadi. Mereka juga sudah lama terkenal sebagai jaguh lumba perahu di Baram sejak tahun 1990an lagi.

Berawan zaman dulu

Pada asalnya, orang Berawan dari Loagan Bunut menetap di Sungai Lelak Tinjar di Baram tetapi berpindah ke tasik itu lebih seabad lalu. Jadinya mereka diberi hak keistimewaan yang tidak ada pada mana-mana etnik di Sarawak yang mana hanya Etnik Berawan sahaja boleh menangkap ikan di kawasan tasik yang begitu unik di Taman Negara Loagan Bunut.

Long Terawan Loagan Bunut National Park

Hal ini telahpun digazetkan di antara etnik Berawan dengan Kerajaan Negeri Sarawak sejak dari tahun 1990 lagi memandangkan mereka  adalah etnik pertama yang mendiami kawasan Tasik Loagan Bunut ini. 

Sebenarnya Berawan berada di ambang kepupusan. Hanya tinggal lebih kurang 2000 orang sahaja yang ada sekarang. Antara sebab suku Berawan tidak lagi tinggal di rumah panjang kerana ketiadaan bekalan elektrik yang mencukupi yang bergantung sepenuhnya kepada genset diesel bermula dari 7 malam hingga 10 malam atau 12 tengah malam, maka mereka mula berhijrah ke bandar. 

Ada kalanya pihak kerajaan datang dan mengumumkan untuk membekalkan elektrik tetapi hanya diberikan kepada satu kampung sahaja sedangkan banyak lagi kampung yang memerlukan elektrik.

Di Long Terawan, waktu siang sangat panas dan waktu malam agak sejuk. Jadi bekalan elektrik amatlah diperlukan untuk meredakan kepanasan dan bahang pada waktu siang.


Sejarah

Menurut sejarahnya, Berawan adalah pecahan daripada sub-etnik Kenyah namun begitu menurut perbezaan linguistiknya pula etnik Berawan ini pula lebih menyerupai etnik Kelabit. Inilah salah satu keistimewaan dan keunikan etnik Berawan ini yang mempunyai adat resam dan budaya yang hampir menyerupai etnik Kenyah dan etnik Kelabit yang juga antara etnik terbesar yang mendominasi Kaum Orang Ulu, Sarawak.

OKT Lawai Melayong

Pengasas Mulu (pada tahun 1830-1905), namanya Orang Kaya Temenggong (OKT) Lawai Melayong. Ayahnya Kelabit dan ibunya Kenyah, dan mereka tinggal di sebuah kampung bernama Long Patah, iaitu kampung ibunya (Kenyah). 

SULTAN HASHIM JALILUL ALAM AQAMADDIN (TM 1885-1906)

Semasa OKT Lawai Melayong membesar, dia adalah seorang pemburu yang cekap dan sangat rajin membantu masyarakat. Beliau telah menerima gelaran OKT atau Ketua Suku Bangsawan daripada Sultan Brunei 1885, dan Lawai Melayong merupakan satu-satunya orang yang menerima gelaran ini di wilayah Baram pada waktu itu.


Orang Kaya Temenggong (OKT) Lawai Melayong

Disebabkan OKT Lawai Melayong menetap di kampung ibunya, dia dianggap sebagai ahli suku Kenyah Patah. Suku “Berawan” adalah baka campuran pelbagai suku dan kebanyakannya antara Kenyah dan Kelabit.

Bagaimanapun, Kenyah Patah digelar oleh Kerajaan Brunei sebagai Orang Melawan. Lawan bermaksud "melawan" perkara yang negatif, kerana mereka adalah orang yang agresif, sombong dan enggan membayar cukai pada zaman itu apabila pemungut cukai dari Brunei meminta mereka membayar cukai. Oleh itu, Kenyah Patah turut menggelarkan diri mereka sebagai Melawan.

Mengikut sejarah lisan masyarakat Kenyah Patah, mereka memindahkan lokasi rumah panjang  ke atas dan ke hilir di sepanjang Sungai Tutoh dan Melinau – yang terakhir ialah lokasi semasa dan kekal rumah panjang Long Terawan. 


Tarikan Long Terawan

Terdapat dua taman negara yang berhampiran dengan Long Terawan iaitu:

  • Taman Negara Loagan Bunut 
  • Taman Negara Gunung Mulu
Taman Negara Gunung Mulu telah diwartakan pada 1 Ogos 1974 dengan keluasan 52,876 hektar meliputi Gunung Mulu setinggi 2,377 meter, Gunung Api (1682 meter) berserta dengan puncak batu kapur tajam (pinnacles) yang menjulang ke langit hingga lebih 45 meter tinggi dan Gunung Benarat (1615 meter).

Taman Negara Gunung Mulu - Gunung Api

Taman Negara Gunung Mulu diserlahkan dengan Gua Air Jernih yang mempunyai terowong sejauh 75 kilometer (terowong terpanjang di Asia Tenggara), dan terdapat pula anak sungai di dalamnya. Pengunjung juga dapat menyaksikan keindahan stalaktit dan stalagmit yang terbentuk daripada batu kapur di Gua Lang, Gua Susu Bulan dan Gua Angin. Setiap inci stalaktit dan stalagmit ini mengambil masa selama 100 tahun untuk membentuk strukturnya.

clearwater cave Mulu

Rekod dunia terkini yang dicipta oleh Taman Negara Gunung Mulu ialah Jambatan Gantung Kanopi yang direntang sejauh 480 meter dan digantung setinggi 20 meter, Jambatan ini mampu menampung berat 15 ekor gajah dalam satu-satu masa. Jambatan ini telah dibina oleh masyarakat setempat. 

Mulu Canopy Skywalk

Reka bentuknya yang unik adalah kerana jambatan ini direntang dan diikat pada pokok-pokok balak seperti pokok betang, pokok seladah runcing, pokok empitap, pokok belian, pokok tapang dan banyak lagi.

Selain itu, Taman Negara Gunung Mulu yang mempunyai biodiversiti yang unik, taman hutan hujan tropikatelah wujud sejak 60 juta tahun yang lalu juga memelihara khazanah flora dan fauna yang amat berharga seperti 170 spesies orkid, 10 spesies periuk kera, 67 spesies mamalia, 262 spesies burung, lapan spesies burung kenyalang, 74 spesies katak, 281 jenis rama-rama dan kupu-kupu, 110 jenis kelapa dan ratusan spesies kulat dan serangga. 

Pada 29 November 2000, Taman Negara Gunung Mulu diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO bagi memastikan aset semula jadi terus terpelihara daripada ancaman pembangunan.

Pemilihan Taman Negara Gunung Mulu berdasarkan empat kriteria, iaitu membawa kepada perubahan sejarah peradaban dunia; memiliki alam semula jadi yang bertaraf antarabangsa; pemuliharaan habitat kehidupan yang berterusan dari aspek biologi dan ekologi.

Malah Taman Negara Gunung Mulu diangkat sebagai keajaiban dunia yang kelapan. Terletak di utara Sarawak, Taman Negara Gunung Mulu begitu tersohor dengan 1001 macam tarikan. 

Sarawak Chamber Mulu

Gua Gergasi Mulu iaitu Sarawak Chamber, yang di dalamnya terdapat Good Luck Cave adalah gua yang paling terbesar yang pernah ditemui, telah menunjukkan sejarah geologi kira-kira 1.5 juta tahun yang lalu. Namun gua ini hanya boleh diterokai oleh pendaki yang sangat mahir dan berpengalaman dengan ditemani oleh pemandu tempatan. 


Cara ke Taman Negara Gunung Mulu dan ke Long Terawan

  • Melalui Jalan Udara dan Sungai

Terbang ke Miri selama 2 jam 20 minit dari Kuala Lumpur kemudian menaiki pacuan 4 roda ke Long Terawan selama 4 jam 30 min (210 km) atau dari Miri, Kuching atau Kota Kinabalu boleh terbang terus dengan pesawat MASwing ke Mulu selama 30 minit. 

Airport Mulu

Itu pun sekiranya penerbangan dari Miri ke Mulu tidak ditangguhkan atau pesawat boleh mendarat. Kadangkala apabila berlaku cuaca buruk atau kabus tebal, kapal terbang tidak boleh mendarat dan terpaksa berpatah balik ke Miri semula.

Setelah mendarat di Lapangan Terbang Mulu, terus menaiki bot panjang ke Long Terawan yang mengambil masa selama 3 jam.  Jika ingin ke Taman Negara Mulu, hanya mengambil teksi ke sana.

bot ekspress Mulu

  • Melalui Jalan Darat dan Sungai

Untuk perjalanan yang lebih mencabar, tentulah perjalanan pacuan 4x4 dari Miri ke Kuala Baram dan seterusnya menaiki bot ekspres dari salah satu jeti di luar Miri menyusuri Sungai Baram selama kira-kira 5 jam dan berhenti di Marudi untuk makan tengah hari sementara bot mengisi minyak (yang biasanya mengambil masa kira-kira sejam atau lebih). 

Kemudian 4 jam lagi perjalanan sehinggalah tiba di rumah panjang Long Terawan. Taman Negara Gunung Mulu. Sekiranya ingin ke Taman Negara Mulu, boleh terus menaiki bot panjang tersebut. 

Di sepanjang sungai terdapat beberapa rumah panjang kaum Iban yang menarik hati para pelancong. Keseluruhan perjalanan lazimnya mengambil masa hampir 12 jam.

  • Melalui Jalan Darat

Untuk ke rumah panjang Long Terawan adalah melalui jalan tanah merah yang lebar dan berlumpur, tiada lampu jalan dan banyak lubang serta bonggol di sepanjang jalan. 

Ia sebenarnya dilalui oleh lori kelapa sawit atau lori balak. Amat kurang selamat dan terdedah kepada mabuk kereta. Malah perjalanan ini mengambil masa kira-kira 6 hingga 7 jam dengan menempuh jalan yang berliku-liku.

Entrrance Mulu

Masuk ke Taman Negara Gunung Mulu 

Taman Negara Gunung Mulu menyediakan kemudahan lengkap seperti chalet, kafe dan galeri untuk kemudahan para pengunjung beberapa infra lain iaitu : 

  • Cafe Mulu dibuka untuk sarapan pada setiap 7.30 pagi
  • Pesanan makan terakir pada jam 8.30 malam. Hidangan menu western dan local dishes
  • Kedai runcit dan keperluan ada untuk overnight treks
  • Pejabat dibuka pada jam 8 pagi - 5 petang setiap hari 
  • Ada security 24 jam dan penyimpanan beg
  • Genset dipasang pada jam 7 pagi - 10 malam setiap hari dan kadang kala "mati sendiri"
  • Ada klinik

Pengunjung boleh mendapatkan pas masuk 5 hari yang mana membuka peluang untuk masuk tanpa had ke taman negara. Namun perlu juga membayar tiket  untuk lawatan gua dan lawatan berpandu yang lain.

Pelancong asing yang paling ramai datang ke sini adalah dari negara Jerman, Belgium, Britain, Jepun, Amerika Syarikat, Australia, Korea dan Taiwan. Pastinya, kewujudan Taman Negara Gunung Mulu turut menjana dan menaik taraf sosioekonomi masyarakat setempat yang terdiri daripada suku kaum Berawan, Penan, Kenyan, dan Kayan.

Banglo in Mulu

Pilihan penginapan di Taman Negara Gunung Mulu terdiri daripada pondok kayu asas kepada rumah panjang yang dimodenkan dan banglo berhawa dingin serta hostel. Sebuah resort mewah Marriot bertaraf 5 bintang dengan restoran terletak betul-betul di luar Taman Negara dan ada juga homestay.


Penginapan yang Terbaik untuk ke Taman Negara Mulu

Berdasarkan website booking.com sehingga Jun 2023, yang disyorkan adalah:

 

AA Homestay Mulu

  • AA Homestay

Hanya berjalan kaki 400m ke Lapangan Terbang Mulu lebih kurang 10 minit  atau membayar RM5 untuk teksi. Homestay ini sangat dekat dengan Taman Negara Mulu hanya dalam 5 minit untuk ke pintu masuk.

Mulu Marriot Resort

  • Mulu Marriot Resot

Penginapan 5 bintang yang berada di Sungai Melinau Paku. Namun agak jauh dari Lapangan Terbang Mulu (20 minit dengan menaiki kereta) dan ke Taman Negara Mulu (5 minit dengan kereta).  Untuk ke Gua Rusa dan Gua Lang mengambil masa 1 jam dengan berjalan kaki dan 30 minit ker Gua Angin dan Gua Clearwater dengan menaiki bot.

Basikal disediakan untuk disewa di resort ini. Aktiviti lain termasuk kelas memasak, demonstrasi budaya dan aktiviti-aktiviti di Mulu Park dari mendaki hutan hujan sehingga lawatan ke Gua Mulu yang indah.

Diana Homestay Mulu

  • Mulu Diana Homestay

Jarak ke Taman Negara Mulu dalam 2.4km dan ke Lapangan Terbang Mulu dalam 2.6 km dari Kampung Mulu. Pemandangan gunung yang menakjubkan adalah tarikan untuk menginap di Mulu Diana Homestay. 

Itinerary ringkas Jelajah Taman Negara Gunung Mulu

Hari 1:

Berjalan kaki 6km ke Air Terjun Paku kira-kira 1 - 2 jam. Perjalanan adalah mudah dan berjalan di atas laluan kayu. Bawa pakaian renang jika berminat untuk berenang. Kemudian ke Paku Valley Loop, jaraknya 8km pergi balik dan masuk ke Lagang Cave (dengan bayaran).

Paku Waterfall

Hari 2:

Perjalanan ke Gua Racer bermula pada jam 2 petang. Pengunjung akan diberikan peralatan keselamatan seperti abah-abah dan topi keledar dengan lampu suluh. Pendaki mesti cukup cergas kerana perjalanan melibatkan pendakian yang memerlukan kekuatan bahagian atas badan. Pengunjung akan dibawa ke gua dengan bot panjang kira-kira 15 minit. 

Tips: Bawa Go-Pro, sarung tangan, seluar panjang, air kosong, snek ringkas dan kasut yang sesuai [anti-slip] dan pendaki akan kembali ke Ibu Pejabat Taman Negara pada jam 5.30 petang.

Racer Cave Mulu

Hari 3:

Clearwater Cave, dipercayai sebagai gua terpanjang di Asia Tenggara, yang mempunyai sungai dan perlu menaiki bot. Perjalanan ke Gua Air Jernih dan Gua Angin bermula pada 8.45 pagi dan berakhir sekitar 12.30 tengahari. Hanya 15 minit perjalanan bot ke gua dan perlu mendaki beratus-ratus anak tangga.

Clearwater and Wind Cave Mulu

Seterusnya berjalan kaki ke Gua Rusa dan Gua Lang pada jam 2 petang. Berjalan santai di laluan pejalan kaki kayu melalui:

  • The Botanical Trails - 1.5km yang mempamerkan maklumat tentang pepohon Mulu
  • The Tree Top Tower - untuk melihat burung
  • The Mulu Canopy Skywalk - perlu booking dengan bayaran untuk 2 jam
  • Kenyalang Loop - 2.5km untuk 1 jam pusingan
  • The Garden of Eden dan Valley Walk - ada bayaran 

Bat Exodus Mulu

Perjalanan tamat sekitar jam 5 petang dengan menyaksikan bat exodus iaitu berjuta-juta ekor kelawar bebas dari gua dan ini yang terbesar di dunia yang pernah ditemui dalam satu gua. Tiket yang dikenakan adalah RM35 termasuk yuran pemandu. Pada waktu malam, iaitu pada jam 7 - 7.30 malam, aktiviti The Night Walk  boleh dilakukan selama 2 jam.

Tips: bawa lampu suluh, air dan makanan ringan.


Gua Rusa

Gua Rusa adalah gua batu kapur yang terletak kira-kira 3km dari Ibu Pejabat Taman Negara merupakan sebahagian daripada khazanah geologi terbesar di dunia. Di dalamnya ada pelbagai arca semulajadi terbentuk jutaan tahun lalu. 

Antaranya ialah stalaktit yang tergantung dan stalakmit. Gua ini dikenali sebagai gua terbesar di dunia sehinggalah Gua Son Doong di Phong Nha-Ke Bang, Vietnam dijelajahi dan ditinjau pada 2009. Malah laluan Gua Rusa ini adalah yang terbesar di dunia dan keluasan gua ini amat menakjubkan, dengan ukuran 2km panjang dan tidak kurang daripada 90meter tinggi pada titik terendahnya.

Gua Rusa terletak di kedudukan terpencil tetapi mudah dicapai dengan hanya berjalan kaki ini dengan mengikuti laluan pelantar kayu yang disediakan dari Ibu Pejabat Taman Negara Gunung Mulu yang akan merentasi paya gambut, pamah aluvium dan rabung batu kapur.

Di dalam gua tersebut terdapat laluan konkrit sempit yang dibina sebagai panduan bagi para pengunjung merentasi lantai gua yang dipenuhi guano, bagi memudahkan pelawat untuk menjelajah gua tersebut lebih jauh lagi. Selain itu terdapat lampu yang dipasang bagi memudahkan pelawat bergerak di dalam gua tersebut.

Gua rusa Mulu

Gua Rusa atau dikenali sebagai gua payau oleh puak Penan dan Berawan kerana rusa sering berlindung di dalam gua tersebut pada satu masa dahulu. Gua Rusa ini juga adalah tapak pengebumian silam bagi orang yang menduduki kawasan ini.

Tarikan lain yang terdapat pada gua ini adalah bongkah batu yang memiliki bentuk menyerupai Abraham Lincoln dalam bayangan matahari, apabila dilihat dari dalam gua. Satu lagi tarikan dalam gua tersebut adalah Air Terjun Adam dan Hawa, yang menderu mengalir turun dari stalactite berongga dengan ketinggian 120 meter.

mulu forest

Gua Lang

Gua Lang adalah salah satu gua terkecil dan cantik di Mulu. Ia terletak bersebelahan dengan Gua Rusa. Ada yang mengatakan nama guna ini bersempena nama seorang lelaki yang mengetuai ekspedisi pada akhir 1970-an untuk menyelidik gua di Mulu. 

Keindahan Gua Lang terletak pada pembentukan stalaktit & stalagmit yang kelihatan seperti obor-obor. Formasi yang indah ini diterangi dengan cantik sekali. Tidak banyak kelawar ada dalam gua ini kerana siling gua adalah rendah namun ada burung walit membuat sarangnya di dalam gua ini.

Mulu Cave

Hari 4 - Hari 5:

Pendakian altitiud tinggi dan ekstrem yang paling mencabar ialah Trek ke Puncak Gunung Mulu dan meneroka Sarawak Chamber dan Gua Nasib Baik. Jaraknya perjalanan ke puncak adalah 24km dan pendaki adalah yang mahir, berpengalaman dan pandai berenang. Sepanjang perjalanan ada 3 kem iaitu Kem 1, Kem 3 dan Kem 4. Bagi yang cergas boleh berkunjung ke sini, namun memerlukan perancangan awal kerana lokasinya jauh di pendalaman dan cuaca hutan hujan yang tidak menentu.

Summit Mulu

Hari 6:

Menaiki bot panjang pada jam 8.45 pagi ke Batu Bungan untuk ke Penempatan Penan bagi melihat gaya hidup suku Penan dan membeli kraftangan. Penempatan ini ditutup kepada pelancong setiap hari ahad. Perjalanan diteruskan ke Gua Angin dan Gua Air Jernih untuk berkelah dan mandi manda. Kemudian bergerak ke Kuala Litut meredah hutan selama 3 jam ke Kem 5. 

Penan Tribe Batu Bungan

Hari 7:

Mendaki Gunung Api selama 3 jam untuk melihat Pinnacles iaitu formasi batu kapur yang tinggi dan bergerigi dengan denai curam dan orkid yang jarang ditemui dan pengunjung bermalam di Kem 5. 


Hari 8: 

The Headhunter's Trail ialah cara terbaik untuk meninggalkan Taman Negara Gunung Mulu. Denai itu sendiri mengikut laluan yang telah dilalui oleh pemburu kepala Kayan yang mendayung di Sungai Melinau ke Melinau Gorge. Mereka kemudian mengheret bot panjang mereka melalui hutan sejauh 3km sehingga tiba di tebing Sungai Terikan, di mana mereka melancarkan serbuan memburu kepala terhadap penduduk kawasan Limbang pada suatu ketika dahulu. Jadi pengunjung boleh menyusuri Sg. Terikan dengan bot panjang untuk bermalam di rumah panjang Iban. 

Rumah panjang iban

Ranger Mulu

Hari 9: Pulang melalui Lapangan Terbang Limbang.

Miri - Mulu - Limbang


Lagenda Berawan

Tidak akan lengkap penceritaan mengenai etnik Berawan ini jika tidak menyelitkan satu cerita lagenda mengenai keunikan etnik ini iaitu pada suatu waktu dahulu etnik Berawan ini dikatakan antara etnik yang amat setia dengan pemerintahan Kesultanan Brunei Darussalam.

Hubungan baik etnik Berawan dengan pemerintahan Brunei ini adalah kerana etnik Berawan dikatakan antara mereka yang pakar memasak ikan bakar. Keenakannya ikan bakar hasil air tangan inilah yang memperkenalkan mereka dengan pemerintah Kesultanan Brunei sehingga memungkinkan pemerintah Brunei meminta mereka menghantar ikan bakar saban tahun kepada pemerintahan Brunei.

Setelah beberapa lama melakukan hal ini akhirnya etnik Berawan telah jelak diperlakukan sebegitu rupa maka pada satu hari mereka dengan sengaja menghantar kepala babi hutan panggang kepada pemerintah Brunei.

Akibat daripada tindakan ini pemerintah Brunei pada masa itu naik radang dan terus menyumpah etnik Berawan akan diserang oleh sekumpulan babi hutan. Tidak semena-mena selepas sumpahan itu dilafazkan maka datanglah sekumpulan babi hutan menyerang penempatan etnik Berawan dan memusnahkan rumah mereka.

Ini menyebabkan ramai etnik Berawan yang lari lintang pukang dan akhirnya mereka memohon kepada Sang Pencipta untuk menghantar ular-ular berbisa dan juga buaya-buaya untuk membantu mereka mempertahankan penempatan dari serangan babi hutan liar itu.

Permintaan mereka ini dikatakan telah dimakbulkan dengan banyaknya ular-ular berbisa serta buaya-buaya yang datang membantu mereka. Akibat daripada itu tiada babi-babi hutan yang berani menyerang penempatan etnik Berawan lagi dan sejak daripada itulah dikatakan etnik Berawan sehingga sekarang tidak akan membunuh mahupun memakan mana-mana ular berbisa dan buaya walau dalam apa jua situasi.

Ada juga kepercayaan yang apabila hujan panas, mereka percaya ada hantu "Agang" akan keluar untuk memburu. Penduduk akan mengambil daun mati dan memakainya di telinga mereka untuk membezakan diri mereka dengan haiwan buruan “Agang”. 

Satu lagi ialah tentang seekor burung bernama Manok Bud. Apabila burung ini kedengaran di kawasan berhampiran, bermakna ada seseorang yang telah meninggal dunia. 

Dalam etnik Berawan, wanita hamil tidak dibenarkan tidur siang sepanjang 9 bulan kehamilan atau menyelam di dalam sungai. 

Tasik Loagan Bunut amat misteri dan mistik kerana menurut salah seorang penduduk kampung, pada sesiapa yang yang memakai baju merah ketika berada di tasik tersebut akan jatuh sakit. Kerana itu, pengunjung tidak dibenarkan berpakaian merah. 


Bahasa

Berawan mempunyai dialeknya tersendiri. Kebanyakannya lisan dan baru-baru ini telah menggabungkan celik huruf di mana pemimpin gereja tempatan menterjemahkan beberapa buku bible ke dalam bahasa Berawan yang masih lagi berjalan sehingga sekarang.

Terdapat 4 dialek Berawan yang berbeza berdasarkan 4 rumah panjang utama - Long Terawan dan Batu Belah (yang berada di sepanjang Sungai Tutoh), serta Long Jegan dan Long Teru (di sepanjang Sungai Tinjar). Kebanyakan mereka bercakap dialek Long Terawan-Berawan.

 Perkataan asas yang selalu digunakan:

  1. Noh - kamu
  2. Koh - saya
  3. Ibu - Nuk
  4. Bapa - Muk
  5. Apa khabar - Ino beliteh
  6. Baik - Jin
  7. Sudah Makan - Tero Kuman
  8. Sudah - Tero
  9. Belum - Dapaik
  10. Apa kamu buat - Ino anoh noh


Makanan

Memburu babi hutan dan haiwan liar (seperti rusa) di dalam hutan, memancing di tepi sungai dan mengusahakan sawah dan menanam pokok buah-buahan dan sayur-sayuran telah menjadi intipati bagaimana nenek moyang Berawan mencari rezeki. Mereka menjualnya kepada orang tengah dari Marudi dan Miri atau kepada suku-suku lain seperti Penan. 

Rusa Sambar Malaysia

Memburu biasanya dilakukan pada waktu malam dan mereka akan kembali pada waktu subuh. Mereka akan terus memasak dan berkongsi masakan daging tersebut dengan semua orang.

Memancing sebaliknya dilakukan pada waktu petang, di mana mereka memukat di hulu sungai melawan arus, dan apa sahaja yang ditangkap (ikan, udang air tawar, atau kadang-kadang kura-kura atau labi-labi disimpan hidup dalam tangki air bersimen di rumah panjang.

Selambau Mulu Berawan

Penduduk kampung menggunakan cara yang unik untuk menangkap ikan – menebarkan pukat yang dipanggil selambau dari pondok kayu kecil terapung di Sungai Bunut. Setiap selambau diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi.

Malangnya, generasi mereka tidak begitu terlibat dalam aktiviti ini, kerana mereka telah berpindah ke bandar-bandar besar untuk pendidikan dan mencari pekerjaan. Ada beberapa orang suku Berawan yang terlibat dalam aktiviti eko-pelancongan dengan bantuan agensi kerajaan. di Taman Negara Mulu sebagai pemandu pelancong. Mereka juga tahu bagaimana untuk memburu babi hutan dan memancing.

Makanan tradisional Etnik Berawan adalah seperti ubi tepoh (bubur nasi), licham (kimchi versi Berawan, biasanya diperbuat daripada ikan atau daging babi dan diawet bersama nasi), serta Nangah (ambuyat versi Berawan, hidangan yang diperbuat daripada sagu).


Instrumen Muzik

Etnik Berawan juga menggunakan alat yang dipanggil Sape (alat bertali serupa dengan gitar) dan Buluh Pagin (yang semakin pupus) untuk alunan muzik. Mereka juga mempunyai dua jenis tarian atau kanyet, Kanyet Lakeh (tarian lelaki) dan Kanyet Dichu (tarian wanita).

Sape adalah kecapi tradisional komuniti Orang Ulu Sarawak, tradisinya digunakan oleh suku-suku Kenyah, Kayan dan Kelabit. Dahulunya hanya dimainkan semasa upacara perubatan di rumah panjang, tetapi beransur-ansur menjadi  alat sosial digunakan sebagai  bentuk hiburan.

Diukir daripada batang pokok putih, Sape berukuran lebih kurang lebih satu meter panjang dan 40 sentimeter lebar. Mulanya alat ini berukuran kurang daripada satu meter dan ada hanya dua tali rotan dan tiga fret. Sekarang ia mempunyai hingga lima tali yang disokong oleh fret kayu yang boleh digerakkan dan diketatkan atau dilonggarkan dengan pancang kayu.

Muzik alat solo ini mempunyai tema, lebih daripada kebiasaan diinspirasi daripada mimpi. Terdapat komposisi spesifik untuk upacara spesifik dan situasi (perkahwinan, kelahiran, musim menuai, hujan, dan sebagainya) yang sering berbeza daripada satu sub-etnik dengan yang lain.

Biasanya Sape dimainkan semasa duduk bersilang kaki di lantai dan digunakan untuk mengiringi tarian; satu untuk rumah panjang lelaki, yang satu lagi untuk wanita. Contoh-contoh termasuk Tarian Ngajat (tarian pahlawan) dan Datun Julud.

Sape Berawan

Apabila dimainkan untuk tarian biasanya dua buah Sape digunakan dan ditala ke dua nada iaitu rendah dan tinggi. Sape kadangkala disokong oleh alat muzik lain seperti jatung utang (xylophone kayu).


Pakaian

Antara warisan yang masih dikekalkan adalah seperti pakaian tradisional, kraftangan dan tarian tradisional. Songket dan manik wajib dimiliki oleh setiap keluarga yang beretnik Berawan kerana ianya penting dalam kehidupan mereka.

Bagi lelaki Berawan, terdapat beberapa jenis baju tradisional yang digunakan untuk dipadankan dengan laket iaitu sirat. Terdapat tiga jenis baju tradisional yang sering digunakan oleh lelaki kaum Berawan iaitu laya, sipeng dan bajau betek. 

Ketiga-tiga pakaian ini mempunyai fungsi yang berbeza. Pakaian ini sering digunakan semasa hari perkahwinan, menyambut tetamu, menyambut hari perayaan dan sebagainya.

Laya merupakan salah satu baju tradisional yang diperbuat daripada kulit haiwan seperti beruang. Pada zaman dahulu, laya sering digunakan oleh oleh ketua masyarakat dalam menyambut tetamu dan lain-lain adat. Kini, laya digunakan dalam persembahan kanyat (tarian) sahaja. Selain wanita, lelaki juga menggunakan sipeng sebagai pakaian tradisional mereka.

Sipeng selalu digunakan dalam majlis perkahwinan pada zaman dahulu. Mereka menggunakan dua sipeng yang akan diletakkan pada bahu kanan dan kiri. Sipeng tersebut diperbuat daripada songket sama seperti yang digunakan oleh wanita Berawan.

Baju betek atau dikenali sebagai baju talam merupakan baju yang mempunyai motif Orang Ulu yang disulam dengan manik. Baju ini berkonsepkan baju rompi di mana ia tidak mempunyai lengan. Dalam majlis perkahwinan, pakaian ini sering digunakan oleh pengapit kepada pengantin lelaki.Selain digunakan dalam majlis perkahwinan, baju ini juga sering digunakan oleh lelaki Berawan dalam menghadiri majlis rasmi dan sebagainya. 

Laket merupakan sirat yang digunakan oleh golongan lelaki yang berfungsi sebagai seluar mereka. Seperti pakaian yang lain, laket mempunyai pelbagai jenis dan corak. Laket diperbuat daripada kain hitam yang mempunyai kepanjangan sehingga 4 meter.

Aksesori untuk pakaian tradisional lelaki kaum Berawan juga tidak banyak perbezaannya dengan aksesori pakaian lelaki kaum Orang Ulu yang lain. Kesemua aksesori boleh dipadankan sekali dengan pakaian tradisional.

Pekah Laket merupakan salah satu aksesori yang digunakan oleh lelaki pada bahagian kepala. Pekah mempunyai dua jenis iaitu Pekah Tabutong dan Pekah Wai.

Pekah Tabutong aksesori ini diperbuat daripada rotan, manik, bulu kambing dan bulu burung. Pada bahagian depan Pekah Tabutong akan ada motif Orang Ulu seperti kepala manusia dan sebagainya.

Pekah Wai pula sepenuhnya diperbuat daripada rotan dan tidak mempunyai hiasan manik. Corak pekah ini bersifat lebih sederhana. Aksesori ini sering digunakan dalam majlis keramaian dan menyambut tetamu.

Terdapat juga mereka yang meletakkan bulu burung enggang pada bahagian belakang pekah tersebut. Latai talam merupakan rantai yang diperbuat daripada manik. Rantai manik untuk lelaki dan perempuan mempunyai sedikit perbezaan.

Jika dilihat dari segi kepanjangan rantai tersebut, rantai yang digunakan oleh lelaki lebih panjang berbanding wanita. Saiz buah rantai yang terdapat pada rantai tersebut juga lebih besar berbanding yang digunakan oleh wanita.

Uton takeng adalah parang yang dipakaikan di pinggang. Sarungnya diperbuat daripada kayu yang tertentu dan mempunyai ukiran bermotifkan Orang Ulu. Ikatan yang terdapat pada parang tersebut pula diperbuat daripada rotan yang telah dianyam kecil.Uton takeng ini sering digunakan untuk melengkapkan pemakaian bagi pengantin lelaki dan digunakan oleh penari lelaki kaum Berawan dalam mempersembahkan tarian Kanyat.

busana lelaki berawan

Utap atau otarp merupakan perisai yang digunakan orang zaman dahulu untuk melindungi diri mereka daripada diserang oleh musuh. Utap diperbuat daripada kayu tertentu dan diukir bahagian depannya dengan motif Orang Ulu. Suku Berawan tetap menyimpan aksesori tersebut untuk digunakan dalam persembahan tarian tradisional kepada para tetamu dan sebagainya. 

Anyang/Tebero’ merupakan lembing yang digunakan oleh orang zaman dahulu untuk memburu haiwan. Selain anyang, terdapat juga kaum Berawan yang lain yang menggelar sebagai lembing ini sebagai tebero. Kini, anyang jarang digunakan melainkan ada petunjukkan tarian yang melibatkan alat tersebut. 

Geling be’ti merupakan gelang yang diletakkan pada betis. Gelang ini diperbuat daripada tembaga dan perak. Namun pada masa sekarang, penggunaan gelang pada bahagian betis lelaki kaum Berawan jarang digunakan lagi. 

Prbezaan etnik Berawan dengan etnik lain adalah melalui rantai leher yang mereka mempunyai perhiasan besar yang dipanggil Talam Labang. Talam bermaksud manik. Mereka memakai pakaian tradisional ini apabila kami menghadiri majlis perkahwinan dan juga ke gereja setiap minggu.


Tradisi dan Warisan Budaya 

Namun ada satu tradisi yang telah mati sepenuhnya, iaitu memburu kepala. Nenek moyang Berawan adalah pemburu kepala. Pemburuan kepala hanya digunakan semasa peperangan dengan musuh mereka. Itu satu-satunya cara mereka untuk melindungi, mentadbir dan mengekalkan keamanan. Bilangan kepala yang dikumpul adalah berkadar terus dengan kehebatan mereka sebagai pahlawan. Kepala musuh digantung di teras rumah panjang untuk pertunjukan.

Satu lagi tradisi yang mati ialah sistem kasta Berawan. Pada masa dulu, mereka ada kasta  bangsawan, rakyat jelata, dan hamba. Oleh itu, jika mereka bergelar OKT - keturunan keluarga mereka adalah golongan bangsawan.

Golongan bangsawan amat bergantung kepada rakyat biasa dan hamba untuk menjalankan aktiviti harian. Sebagai balasan, rakyat jelata dan hamba ini dibayar dari segi makanan dan penginapan. Manik bukan sahaja digunakan sebagai aksesori tetapi juga sebagai mata wang. Hanya golongan bangsawan yang mempunyai manik mahal, dan dikatakan bahawa sebutir manik boleh membeli seorang hamba manusia.

Kebanyakan suku Berawan beragama Kristian, ada yang beragama Islam disebabkan perkahwinan campur, sangat sedikit daripada agama lain, namun mereka masih percaya dengan paganisme iaitu tentang sihir dan roh hutan atau adet lunah. 

Pada zaman dahulu, penduduk Berawan bersaksi bahawa berdoa kepada “Semayau Bungan” akan melindungi rumah tangga mereka daripada bahaya.


Perayaan

Etnik Berawan menyambut Hari Gawai dan Pesta Kaamatan (Pesta Menuai) setiap tahun dan meraikan Nulang iaitu perayaan menanam selepas menuai. Mereka menanam padi 3 atau 4 kali setahun, jadi mereka akan menyambut Nulang setiap 3 - 4 bulan.

Setiap 4 - 5 tahun sekali, mereka mengadakan perjumpaan keluarga di rumah panjang, kebiasaannya semasa sambutan Krismas. Semua orang yang tinggal di luar negara terbang pulang ke Miri dan berkumpul di rumah panjang Long Terawan dengan masing-masing membawa bekalan makanan dan apa sahaja yang diperlukan untuk penginapan di rumah panjang. Ia menjadi agak unik di mana pelbagai aktiviti  dirancang oleh setiap rumah di dalam rumah Panjang.


Perkahwinan

Dalam tradisi Berawan, perkahwinan diraikan selama 3 hari. Ia sangat meriah kerana ia diadakan di rumah panjang dengan komuniti yang besar. Persiapan perkahwinan tidak menjadi kebimbangan kerana keluarga di rumah panjang akan menawarkan diri untuk menghidangkan makanan, hiasan dan rancangan perkahwinan yang lain. Terdapat juga banyak muzik, tarian, dan minuman kerana semua orang mengenali satu sama lain di rumah panjang. Apatah lagi makanan yang sedap! 

Generasi muda hari ini lebih suka perkahwinan Kristian yang ringkas, tetapi ada yang memilih untuk pulang ke kampung mereka untuk melakukannya dengan cara tradisional. Malangnya, tidak ramai orang yang lebih suka perkahwinan tradisional.

Dalam rumahtangga Berawan, wanita itu akan menjadi ketua rumah dan dia akan lebih berkuasa menguruskan rumah tangga.


Pengebumian

Pengebumian adalah ritual terbesar dan paling mahal dalam budaya Berawan, memerlukan sejumlah besar wang, pekerja dan beras supaya tuan rumah dapat mengadakan upacara yang mengagumkan, persediaan hiburan, dan membina struktur di mana mayat si mati  dikebumikan.

Orang Berawan melihat bahagian pengebumian ini sebagai cara untuk menghormati kehendak roh orang mati. Dalam budaya Berawan ada pengebumian sekunder merujuk kepada amalan membuang mayat dengan menjalankan pelbagai acara pengebumian supaya mayat seseorang dipindahkan atau dikebumikan lebih daripada sekali.

Berawan akan mengadakan pengebumian yang agak kecil sejurus selepas kematian seseorang. Mereka kemudiannya akan mengadakan acara pengebumian semula yang lebih besar, dan hanya pada masa itu mayat akan disimpan di tempat pengebumian kekal mereka.

Peristiwa pengebumian semula kemudiannya kadangkala berlaku beberapa tahun selepas seseorang meninggal dunia, dan selalunya selepas mayat itu dirawat, diproses atau diubah dengan cara yang disengajakan.

Berawan mati

Amalan pengebumian sekunder telah menjadi semakin kurang dan hilang dalam budaya Berawan pada abad ke-20 akibat globalisasi dan hubungan dengan budaya yang lain. Cara orang Berawan mengamalkan pengebumian sekunder adalah untuk mempamerkan kekayaan masing-masing.

Dengan menunjukkan bahawa mereka boleh menganjurkan jamuan ritual yang besar-besaran, tuan rumah boleh menampilkan diri mereka kepada tetamu sebagai orang yang berkuasa dan kaya. Pada masa yang sama, menjalankan pengebumian adalah mahal dan memakan masa. 

Dalam pengebumian sekunder, jasad dirawat secara ritual dua kali: sekali sejurus selepas apa yang kita (tetapi bukan mereka) panggil saat kematian, dan sekali lagi apabila roh difahamkan telah pergi. Orang Berawan, menganggap kematian sebagai satu proses yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun.

Tempat-tempat menarik di tanah air Berawan adalah lejeng atau tiang totem suci Berawan, tempat bersemadinya pahlawan. Lejeng ialah sepasang tiang belian berukir rumit yang didirikan untuk menyokong keranda yang diletakkan di atasnya . Ini masih kelihatan di Sungai Kekurau dan Kuala Lapan. Terdapat tiga kawasan perkuburan masyarakat Berawan di dalam Taman Negara Loagan Bunut iaitu di Pulau Bukit Tengah, Sungai Bunut dan Sungai Bunan. Pulau Bukit Tengah digunakan untuk pengebumian orang Berawan kasta tinggi manakala orang biasa dikebumikan di Sungai Bunut.

Pada masa dahulu, masyarakat akan membina takhta bernama Suran. Ini diamalkan oleh banyak suku kaum Borneo. Idea umum adalah bahawa mereka akan berpakaian si mati dengan baik dan membiarkan dia duduk tegak di atas Suran, yang dihiasi dengan barang-barang masa lalunya. 

Anak ayam hitam akan diikat pada kepala si mati untuk membiarkan anak ayam itu membuat bunyi untuk menghidupkan si mati. Rokok rumput akan diletakkan di sebelah tangan dan sebelah lagi memegang kacang pahit. Ini akan berlangsung sehingga 5 atau 6 hari.


Kraf 

Kebanyakan suku kaum mempunyai kraf yang serupa, tetapi Etnik Berawan terkenal dengan Talam. Mereka juga membuat Belatak, iaitu beg rotan yang digunakan untuk menyimpan makanan, pakaian, dan lain-lain - hampir seperti bagasi pelbagai guna. 

Terdapat juga versi lain yang dipanggil Lagak, iaitu beg kecil yang diperbuat daripada rotan dan bipin (tumbuhan serupa dengan buluh), yang digunakan untuk menyimpan barang-barang kecil apabila seseorang pergi memburu atau memancing.

 Satu lagi ialah Sekiyong, topi besar yang digunakan oleh orang ramai untuk melindungi diri daripada hujan dan matahari.

Sekiranya tidak dapat membeli belah di Batu Bungan, boleh juga dibeli di New Mini Handicraft Miri. 

Sekiranya berpeluang untuk bercuti di Sarawak, kunjungi puak tempatan dan Gua Mulu yang indah! Ia sememangnya percutian yang berbeza dari sebelah Barat Malaysia yang mana disarankan membawa banyak ubat nyamuk, pakaian kapas, kasut yang selesa untuk masuk ke kawasan berlumpur, becak dan kotor dan baju hujan tropika kerana komfirm akan basah. 

Oh dan teruskan fikiran terbuka! kerana kemungkinan pengunjung diminta untuk mencuba pelbagai jenis makanan yang biasanya tidak pernah dimakan!


Take Care, 

Selamat Cuti-Cuti Malaysia

Aidiladha 1444H




Post a Comment

0 Comments