Tips Lega Otot


Kita melakukan aktiviti senamrobik untuk meningkatkan tahap kecergasan kardiovaskular dan membakar lemak berlebihan bagi mendapatkan dan mengekalkan berat badan yang sempurna. 

Selain itu, kita juga membuat latihan bebanan untuk mengekalkan kemantapan dan membina tisu otot. 

Dua jenis senaman ini memang merupakan elemen yang penting dalam kecergasan. 

Namun, ada lagi satu elemen yang sering diabaikan iaitu latihan kelenturan

Latihan ini akan memberi banyak kelebihan dan kebebasan kepada pergerakan. 


Selain dapat meningkatkan ketenangan mental dan fizikal, melegakan ketegangan otot, memberi kelegaan sikit kepada kesakitan, kecederaan otot dan mengurangkan risiko kecederaan. 

Ada sesetengah orang memang secara semulajadi mempunyai badan yang mudah lentur. 

Antara faktor utama badan mudah lentur adalah disebabkan faktor genetik, jantina, umur dan tahap aktiviti fizikal. 

Disebabkan peningkatan usia, kita secara tidak langsung mudah hilang lentur badan dek kerana proses penuaan yang dialami. 

Semakin kita tidak aktif, semakin sukar badan untuk dilenturkan. 

Seperti latihan ketahanan kardiovaskular dan bebanan, kelenturan juga akan meningkat sekiranya kita melakukannya secara kerap dan sistematik.

Aturan yang perlu diambil

  • Sebelum melakukan regangan, lakukan warming up, kerana otot yang sejuk akan mudah tercedera. 

  • Mulakan dengan berjalan sambil menggerakkan tangan dalam bentuk pusingan bahu selama 5 hingga 10 minit. 

  • Semasa melakukan aktiviti regangan otot, pastikan kita bernafas dengan perlahan dan hembus nafas secara perlahan-lahan. 

  • Cuba bertahan selama 10 hingga 30 saat untuk setiap regangan yang dilakukan. 

  • Pastikan posisi pegun untuk mengurangkan risiko kecederaan. Pergerakan yang menganjal ke depan dan ke belakang boleh mendatangkan risiko kecederaan. 

  • Jangan memaksa otot terlebih jangkauan. Jika menyakitkan, cuba kendurkan sedikit regangan dan sebenarnya kita tidak perlu menahan nafas ketika melakukan aktiviti regangan. Bernafaslah seperti biasa. 

Rutin ini dilakukan bagi memastikan anda tidak mengabaikan aktiviti regangan atas alasan kesuntukan dan ketiadaan masa untuk membuat senaman.

  • Secara praktikal, lakukan senaman selama 30 minit dan lakukan latihan kelenturan sebanyak tiga kali seminggu. 

  • Bagi yang ketiadaan masa, lakukan aktiviti regangan selepas mandi selama 5 minit. 

  • Mandian panas dapat menaikkan suhu otot untuk menjadikan ianya bersedia dan menerima aktiviti regangan. 

  • Cuba lakukan regangan mudah sebelum bangun dari katil pada sebelah pagi. 

  • Bangunkan diri dengan melakukan regangan penuh seperti menaikkan tangan dan hujung jari kaki ke atas. 

Ini dapat melapangkan fikiran dan melonjakkan permulaan hari kita. 

Selain itu, sertailah kelas regangan seperti yoga, pilates ataupun taichi. 

Buatkan jadual kelas untuk diri untuk latih diri lebih kerap melakukan aktiviti regangan. 

Post a Comment

0 Comments