Peristiwa Perjalanan Agung 27 Rejab - Israk Mikraj


Peristiwa Israk dan Mikraj, iaitu satu perjalanan yang agung yang telah dilalui oleh Nabi SAW ke langit yang telah terjadi pada 27 Rejab tahun ke-12 kenabian Baginda SAW. Peristiwa ini sentiasa diingati dan disambut oleh seluruh umat islam di serata dunia dengan berbuat amal bersungguh-sungguh di sepanjang malam seperti : 


1. Solat Sunat Tahajud, 2, 8 atau 12 rakaat
2. Solat Sunat tasbih
3. Solat Sunat Taubat
4. Solat Sunat Witir
5. Berisitighfar 70 kali, 100 kali atau lebih
6. Bertahmid, berzikir, bertasbih dan berselawat sehingga fajar subuh
7. Berdoa
8. Memohon keampunan diri dan ibu bapa
9. Berpuasa sunat pada 27 Rejab mendapat ganjaran pahala berpuasa 60 bulan. Jika disertai sedekah, ganjaran pahalanya bersamaan puasa seribu tahun.

gambar dari tafsirq.com

Kenapa peristiwa ini begitu penting?

Israk (dibawa berjalan) - Baginda SAW telah dibawa oleh Jibrail (malaikat yang menyampaikan wahyu) menaiki Buraq (sejenis makhluk berwarna putih, tingginya lebih dari keldai tetapi kecil dari baghal, apabila ia bergerak, kelajuannya seperti kilat/cahaya) ke Masjidil Aqsa, Palestin dari Masjidil Haram, Mekah.

Kejadian ini terjadi, setahun sebelum Baginda SAW berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah, 721M. Pada waktu ini juga, Islam telah mendapat tekanan yang sangat dahsyat daripada golongan musyrikin Mekah yang di antaranya adalah Abu Jahal dan Abu Lahab (bapa saudara Nabi SAW). 

Ditambah pula, pada tahun tersebut dikenali sebagai Tahun Dukacita setelah Baginda SAW telah kehilangan dua insan yang berjasa dan amat dikasihi Baginda SAW iaitu : 

1. wafatnya isteri tercinta, Siti Khadijah 
2. wafatnya bapa saudara, Abu Talib 

Sebelum perjalanan dimulakan, Baginda SAW telah menjalani pembedahan dada yang dilakukan oleh Jibrail untuk mengeluarkan segala kotoran, dibuangnya segala ketulan hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikan rasa was-was. Kemudian Jibrail mengisikan tempat itu dengan iman dan hikmah, dibersihkan hati Baginda SAW dengan air zam zam dan dicantumkan semula. Kemudian barulah perjalanan agung ini dimulakan. 

Sepanjang perjalanan (Israk) terdapat beberapa perkara yang telah disaksikan oleh Baginda SAW antaranya : 

1. Tiba di tempat yang mulia dan bersejarah dan menunaikan solat 2 rakaat iaitu:  
- Thaibah (Madinah - tempat penghijrahan Nabi SAW), 
- Bukit Tursina (Tempat Nabi Musa AS berbicara dengan Allah SWT) dan
- Baitul Laham (Nabi Isa AS dilahirkan).

2. Semasa di dalam perjalanan juga, Baginda SAW telah diganggu oleh Jin Ifrit. Jibrail telah mengajarkan Baginda SAW cara untuk menghadapi Ifrit dan golongan Jin dengan memberikan potongan doa untuk dibacakan.

gambar dari parapencarisyafaat.blogspot.my
Maksudnya :

"Aku berlindung dengan wajah Allah yang Maha Mulia dan dengan Kalimat-Kalimat Allah yang Sempurna yang tidak ada “melampauinya” segala kebaikan mahupun keburukan dari kejahatan apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar darinya dan dari kejahatan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. 

Dan dari kejahatan fitnah di malam dan siang hari dan dari kejahatan jalan-jalan di malam dan siang hari, kecuali suatu jalan yang dilalui dengan kebaikan, wahai yang Maha Penyayang".

Setelah Nabi Muhammad saw. membaca doa tersebut, maka jin Ifrit yang mengganggu Baginda SAW jatuh tersungkur lalu binasa dan apinya terpadam. - Hadis Riwayat Bukhari

3. Baginda SAW juga telah melihat orang yang memotong padi dan selepas dipotong, padi itu tumbuh kembali dan begitulah seterusnya. Jibrail memberitahu yang itu adalah umat Baginda SAW yang suka bersedekah ke jalan Allah SWT. Harta yang disedekahkan itu tidak akan hilang malah semakin bertambah dan berlipat kali ganda dan diterima Allah SWT.

4. Tempat yang berbau harum iaitu kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Firaun) dan keluarganya (termasuk bayi yang bercakap yang telah menguatkan iman ibunya) yang telah dibakar oleh Firaun kerana keimanannya.

5. Baginda SAW juga telah melihat orang yang memukul kepala sendiri dengan besi. Setelah pecah, ia bercantum kembali dan dipukuli lagi dan begitulah seterusnya. Jibrail menerangkan bahawa itu adalah orang yang malas dan enggan mengerjakan solat, kepalanya tidak mahu sujud kepada Allah SWT, maka di kemudian hari, ia merasakan sendiri kemalasannya itu. 

6. Sekumpulan orang yang menutup kemaluan (qubur dan dubur) dengan secebis kain. Mereka telah dihalau seperti binatang dan telah memakan bara api dan batu dari Neraka Jahanam. Jibrail menerangkan bahawa mereka itu adalah golongan yang enggan berzakat.

7. Satu kaum lelaki dan wanita sedang memakan daging mentah dan busuk sedangkan daging yang masak ada di sisi mereka. Jelas Jibrail, itu adalah golongan yang melakukan zina sedangkan mereka mempunyai isteri/suami masing-masing

8. Lelaki yang berenang dalam sungai berdarah dan dilontarkan batu. Jibrail memberitahu bahawa itu adalah orang yang suka memakan riba'.

9. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tidak pula berdaya untuk memikulnya tetapi ditambahkan lagi kayu lain. Kata Jibrail, itu adalah orang tidak menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah-amanah yang lain.

10. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir sendiri dengan gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibirnya kembali kepada biasa dan digunting lagi. Jibrail menjelaskan itu adalah golongan yang suka menyebarkan fitnah dan mengatakan sesuatu yang mereka sendiri tidak melakukannya.

11. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka sendiri dengan kuku tembaga. Jelas Jibrail, mereka itu adalah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela dan menghina) orang.

12. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tetapi tidak dapat dimasukki lubang itu semula. Jelas Jibrail, itu adalah orang yang suka bercakap besar (takabur). Kemudian menyesal tetapi sudah terlambat. 

13. Seorang perempuan yang memegang dulang dengan pelbagai perhiasan. Baginda SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail, Itulah dunia. Jika Baginda SAW memberikan perhatian kepadanya, pasti umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

14. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Baginda SAW untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail, itulah gambaran usia dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat. 

15. Setibanya di Masjidil Aqsa, Baitulmaqdis, Baginda SAW mengerjakan solat berjemaah dengan bermakmumkan para anbia' dan mursalin. 

16. Baginda SAW juga telah dihidangkan dengan dua jenis minuman iaitu arak dan susu oleh Jibrail. Alhamdulillah. Baginda SAW telah memilih susu yang melambangkan kesucian. Kata Jibrail, sekiranya Baginda SAW memilih arak, maka sesatlah umat Baginda SAW.


Setelah itu, peristiwa Mikraj (perjalanan Baginda SAW ke langit) dengan menaiki tangga emas dan perak yang indah berasal dari syurga, bermula di bumi hingga ke langit ke-7, Sidratul Muntaha, Mustawa dan Arasy Allah. 

1. Baginda SAW dan Jibrail telah menaiki anak tangga yang pertama, lalu terangkatlah pintu langit dunia (Pintu Hafzhah)

2. Langit 1 - bertemu dengan Nabi Adam AS. Baginda SAW telah menyaksikan orang yang memakan riba' dan harta anak yatim serta melihat penzina yang berupa dan berkelakuan yang sangat buruk lagi hodoh. Penzina lelaki itu telah bergantung pada susu penzina perempuan.

3. Langit 2 - bertemu dengan Nabi Isa AS dan Yahya AS

4. Langit 3 - bertemu dengan Nabi Yusuf AS

5. Langit 4 - bertemu dengan Nabi Idris AS

6. Langit 5 - bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya, Bani Israel

7. Langit 6 - bertemu dengan para anbia dan Nabi Musa AS dan Baginda SAW telah menyaksikan begitu ramai umat Baginda SAW yang telah masuk syurga tanpa hisab.

8. Langit 7 (Baitul Makmur) - Baginda SAW menyaksikan para malaikat bertawaf dan moyangnya iaitu Nabi Ibrahim Khalilullah yang  bersandar di situ. Wajahnya saling tak tumpah dengan wajah Baginda SAW. Nabi Ibrahim AS telah bersabda;

"Umatmu adalah umat yang terakhir dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu"

"Mintalah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH"

dan ada juga dalam riwayat lain mengatakan; 

"Sampaikanlah salam ku kepada umatmu dan beritahu mereka yang syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya adalah lima kalimah iaitu

SUBHANALLAH, 
WAL-HAMDULILLAH, 
WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR
WA LA HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-‘AZHIM. 

Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”

Setelah itu Baginda SAW dan Jibrail pun menunaikan solat di dalam Baitul Makmur (Baitul Makmur itu betul-betul di atas Baitullah di Mekah)

9. Tangga ke-8 - Al-Kursi yang berkebetulan dengan pokok Sidratul Muntaha. Baginda SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pokok tersebut yang keindahannya tidak tergambar antaranya : 

   Air sungai yang tak berubah-ubah
   Sungai susu
   Sungai arak
   Sungai madu lebah
   Buah-buahan, dedaun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata yang indah
  Unggas-unggas emas yang berterbangan
  Sungai Al-Kautsar yang mengalir ke syurga
  Memasukki Syurga 
  Melihat Neraka yang di sisinya Malik si penjaganya


10. Tangga ke-9 - Di pucuk Sidratul Muntaha, Baginda SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Baginda SAW telah melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur Arasy. Beliau adalah lelaki yang semasa hayat di dunia, lidahnya sering berzikir, hatinya sentiasa ke masjid dan tidak pernah memaki kedua ibu bapanya.

11. Di Rabbul Arbab, Baginda SAW telah menyaksikan Allah SWT dan sujud lantas berdialog dengan Allah SWT secara langsung tanpa perantaraan Jibrail, antaranya : 

Baginda SAW : 

Ibrahim AS dilantik sebagai Khalil (kesayangan/sahabat) dan diberikan kerajaan yang besar
Musa AS dapat berbicara dengan Allah SWT
Daud AS diberikan kerajaan yang besar dan berkebolehan melembutkan besi
Sulaiman AS dikurniakan kerajaan yang dapat menguasai jin, manusia, syaitan dan angin
Isa AS diajarkan Taurat dan Injil, dan dapat menyembuhkan si buta, sopak dan menghidupkan orang mati. Malah Allah SWT telah melindungi Isa AS dan ibunya Maryam Imran daripada syaitan.


Allah SWT : 

Mengangkat Baginda SAW sebagai kekasih Allah SWT. 
Memperkenankan Baginda SAW sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umat akhir zaman. 
Dibukakan dada Baginda SAW dan dibuangkan segala dosa
Menjadikan semua umat Baginda SAW sebaik-baik umat. 
Diberikan keutamaan dan keistimewaan pada hari Kiamat. 
Telah dikurniakan 7 ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak pernah dikurniakan kepada sesiapa sebelum Baginda SAW.
Diberikan ayat-ayat terakhir surah Al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah Arasy.
Diberikan ganjaran daripada kelebihan islam, hijrah, sedekah., mengerjakan yang baik dan menjauhi segala larangan Allah SWT. 
Dikurniakan panji-panji Liwa ul Hamd, maka Adam AS dan semua yang lain akan berada di bawah panji-panji Baginda SAW. 
Difardukan solat sebanyak 50 waktu. 

Setelah bermunajat, Baginda SAW pun menemui Nabi Ibrahim AS. Nabi Musa AS telah meminta Baginda SAW merayu kepada Allah SWT untuk diberikan keringan dengan mengurangkan jumlah waktu solat. 

Setelah 9 kali merayu, akhirnya Allah telah memperkenankan solat 5 kali sehari semalam. dengan mengekalkan ganjaran 50 waktu. Allahu Akbar!!!

Solat adalah perkara utama yang dihitung di akhirat kelak dan ianya mempunyai kelebihan berbanding ibadat yang lain. 

Setelah itu, Baginda SAW telah turun kembali ke langit dunia dan seterusnya ke Baitul Maqdis dan ke Mekah sebelum waktu subuh. 

Sesungguhnya mukjizat ini telah memperlihatkan kekuasaan Allah SWT dan menguatkan keimanan serta keyakinan kita terhadap Allah SWT. Sekiranya peristiwa ini benar-benar dihayati, sudah tentu manusia akan mengelak daripada melakukan pelbagai kejahatan dan kezaliman kepada diri sendiri dan orang lain



Sumber : Kitab Jam'ul Fawaa'id

Post a Comment

0 Comments