Saringan kesihatan menyeluruh akan menghasilkan keputusan yang baik sekiranya siri ujian itu dilakukan oleh mereka yang profesional dalam penjagaan kesihatan.
Ujian saringan kesihatan yang perlu dilakukan oleh semua peringkat umur antaranya:
Ujian saringan kesihatan yang perlu dilakukan oleh semua peringkat umur antaranya:
- Tekanan darah
Tekanan darah tinggi (hipertensi) memaksa jantung mengepam darah lebih kuat dan lama kelamaan menjejaskan pembuluh darah di seluruh tubuh.
Biarpun tubuh manusia boleh menerima kenaikan tekanan darah selama berbulan-bulan malah bertahun, tetapi lama-kelamaan ia boleh merosakkan jantung, buah pinggang, otak dan mata.
Bacaan tekanan darah kita diukur oleh tekanan sistolik (bacaan atas) dan diastolik (bacaan bawah).
Sebagai contoh, bacaan 120/80 adalah normal tetapi 140/90 dan lebih tinggi daripada itu menunjukkan mungkin kita menghadapi masalah tekanan darah tinggi.
Sebaik-baiknya, setiap individu perlu memeriksa tekanan darah sekurang-kurangnya dua tahun sekali.
Bagi mereka yang disahkan menghidap kencing manis, penyakit jantung, masalah buah pinggang atau masalah kesihatan lain perlu kerap dipantau menerusi pemeriksaan kesihatan.
- Saringan diabetes
Diabetes atas kencing manis bukan asing di kalangan masyarakat Malaysia. Penyakit ini terjadi apabila tahap glukos (gula) terlalu tinggi.
Glukos diperoleh daripada makanan yang diambil yang akhirnya menghasilkan hormon insulin. Insulin memberikan tenaga kepada sel dalam tubuh.
Pesakit diabetes jenis 1 tidak mampu menghasilkan insulin, manakala pesakit diabetes jenis 2, sama ada tidak dapat menghasilkan atau memanfaatkan insulin sepenuhnya.
Dalam kebanyakan kes, apabila tubuh tidak menghasilkan insulin, glukos kekal dalam darah dan ini boleh menyebabkan kerosakan serius kepada organ utama dan saraf.
Ujian glukos dalam darah dilakukan untuk memastikan diabetes di mana individu perlu berpuasa selama minimum lapan (8) jam.
Glukos dalam darah normal orang yang berpuasa ialah antara 4.4 dan 6.1 mmol/L (mereka yang tidak menghidap diabetes).
Piawaian pemeriksaan atau diagnosis standard dilakukan apabila dua ujian darah berbeza, ujian toleransi glukos menunjukkan bacaan glukos dalam darah tidak lebih atau bersamaan dengan 7.8 mmol/L.
- Tahap kolestrol
Kolestrol adalah bahan yang lekit seakan-akan lemak yang terdapat dalam darah dan setiap sel dalam tubuh manusia.
Pembentukan berganda kolestrol dan lemak lain dikenali sebagai lipid.
Tubuh manusia hanya memerlukan sejumlah kecil kolestrol bagi menjalankan fungsi tubuh.
Lebihan kolestrol dalam saluran darah akan menyempitkan pembuluh darah. Ini menyebabkan sekatan juga dikenali sebagai plak.
Plak meningkatkan peluang seseorang untuk mendapat penyakit jantung.
Lazimnya, tiada gejala jelas yang menunjukkan kemungkinan kolestrol tinggi dalam darah kecuali menerusi ujian darah.
Kolestrol tinggi juga boleh berlaku akibat genetik, obesiti dan diet yang tidak sihat.
Paras kolestrol diukur dalam mmol/L. Kolestrol tinggi boleh didiagnosa dengan ujian darah mudah, atau juga dikenali sebagai profil lipid.
Ia biasanya dijalankan selepas individu berpuasa selama 10 hingga 12 jam bagi mengasingkan kemungkinan pengaruh lemak yang baru saja dimakan.
Keputusan ujian biasanya dinyatakan mengikut jenis seperti berikut:
- LDL (kolestrol jahat) - Kolestrol jahat yang boleh menyebabkan penyakit kardiovaskular. Paras optimal harus berada di bawah 2.6 mmol/L.
- HDL (kolestrol baik) - Kolestrol baik yang membantu memanfaatkan kolestrol dalam tubuh. Paras yang baik seharusnya lebih dari 1.6mmol/L.
- Trigliserida - lemak yang lazim ditemui dalam darah ada lebihannya boleh menyebabkan penyakit arteri koronari. Paras sederhana biasanya di bawah 1.7mmol/L
- Jumlah kolestrol - kompilasi semua bentuk komponen lipid dalam darah. Paras yang disarankan seharusnya berada di bawah 5.2 mmol/L
- Fungsi paru-paru
Ujian paru-paru juga dikenali sebagai ujian fungsi pulmonari. Ujian yang standard menentukan keupayaan fungsi paru-paru seperti berapa banyak udara boleh disedut.
Ia kemudian direkodkan dan dibandingkan dengan yang lain di dalam kumpulan yang sama, ketinggian dan jantina.
Ujian ini membolehkan pengamal perubatan menentukan kapasiti paru-paru untuk menyalurkan oksigen kepada sistem darah begitu juga kekuatan otot pernafasan.
Ujian fungsi paru-paru juga merangkumi pelbagai ujian pernafasan dan ujian bagi mengukur paras oksigen dalam darah.
Ujian pernafasan yang biasa digunakan termasuklah :
- Spirometri - mengukur jumlah udara yang disedut dan dihembus serta berapa pantas udara dihembuskan.
- Pletimosgrafi - mengukur jumlah udara yang hadir dalam paru-paru ketika menyedut dan jumlah yang kekal selepas menghembus.
- Kapasiti difusi paru-paru - mengukur keberkesanan oksigen dipindahkan dari paru-paru ke saluran darah.
- Ujian latihan tekanan - mengukur kebolehan paru-paru dan fungsi jantung ketika berada di bawah tekanan. Lazimnya ia diukur ketika pesakit menggunakan mesin treadmill atau basikal.
- Ujian EKG
Elektrokardiogram (EKG) bertujuan mengesan degupan jantung yang tidak normal.
EKG bersenam dilakukan untuk mengesan jika ada berlaku kekurangan bekalan darah ke jantung atau aliran darah tersekat pada arteri koronari (iaitu saluran darah yang membawa darah ke jantung).
Ujian EKG standard memerlukan cakera logam (electrod) yang diletakkan di sekitar lengan, kaki dan dada.
Naik turun bacaan EKG dibahagikan kepada beberapa seksyen yang menunjukkan bagaimana jantung berfungsi.
Degupan jantung yang biasa adalah di antara 60 hingga 100 degupan seminit.
Bacaan yang kurang daripada 60 degupan seminit menunjukkan degupan jantung yang perlahan dan lebihan 100 degupan jantung seminit dianggap sebagai tidak normal.
Keputusan EKG mestilah diterjemah oleh pengamal perubatan terlatih kerana keputusan sering memerlukan interpretasi berdasarkan gejala lalu, rekod kesihatan, pemeriksaan fizikal dan keputusan ujian lain.
- Pasca Saringan
Biarpun keputusan ujian normal, seseorang itu tidak seharusnya berhenti mengambil langkah berjaga-jaga.
Saringan kesihatan yang kerap perlu dijalankan bagi mengesan keadaan kesihatan yang mungkin terjejas selepas pemeriksaan kesihatan dijalankan.
Tidak kurang penting untuk kita terus mengamalkan gaya hidup sihat sementara dalam masa sama menjalani pemeriksaan kesihatan rutin pada masa yang sesuai.
Sebaiknya, jika keputusan menunjukkan komplikasi, pesakit dinasihatkan membuat rawatan susulan dengan pengamal kesihatan dengan segera.
Menangguhkan rundingan tidak digalakkan kerana rawatan awal dan pengurusan penyakit di peringkat awal yang baik menghasilkan keputusan yang baik sekaligus mencegah komplikasi serius.
Petikan Berita Harian 20 Disember 2016
Petikan Berita Harian 20 Disember 2016
0 Comments