Tips Jadi Blogger Sepenuh Masa - Azleen Abdul Rahim

Nak jadi penulis blog yang berjaya kena ada beberapa perkara yang perlu dititikberatkan, antaranya : 

  • Minat

Penulis blog yang berjaya perlu ada minat yang tinggi untuk menulis. Keinginan mereka lebih tinggi dari keinginan untuk meraih pendapatan yang besar. 


Mereka menulis semata-mata kerana minat dan mereka menulis setiap hari. Minat yang mendalam akan membuahkan buah fikiran kreatif. 

Mereka mampu menulis 10 hingga 15 artikel setiap minggu. Setiap artikel tidak kurang dari 650 perkataan. 

  • Tumpukan pada subjek anda

Mereka tidak menulis berdasarkan apa yang terlintas di fikiran. Strategi sebegitu tidak akan berhasil untuk mencipta penjenamaan mereka sendiri. 

Mereka akan memilih subjek yang dekat dengan hati pembaca, yang mereka mempunyai kepakaran tinggi tentang sesuatu subjek tersebut, 


Contohnya, kepakaran tentang pemasaran digital, jadi semua artikel hanya berkisar tentang pemasaran digital, kandungan dan media sosial sahaja. 

  • Kongsi ilmu

Penulis berjaya suka berkongsi ilmu berdasarkan kepakaran mereka dalam bidang tertentu. Mereka akan menulis dalam dua (2) kaedah. 

Pertama, cara-cara untuk melakukan sesuatu  ataupun kedua, penulisan menjurus kepada perkongsian pendapat ataupun pemikiran tentang sesuatu perkara. 


Mereka sedar, pembaca atau pengikut mereka akan menghargai apa yang ditulis dan seterusnya menggunakannya dalam kehidupan seharian. 

  • Tumpukan pada penulisan

Mereka tidak bimbang sekiranya artikel yang ditulis tidak mendapat trafik yang banyak, tidak menjana pendapatan yang besar, tidak mendapat pengikut yang ramai ataupun orang tidak kongsikan artikel tersebut dengan rakan-rakan. 



Mereka lebih tumpukan pada penulisan yang berkualiti, segar dan menarik.  Mereka mahu jadikan setiap apa yang ditulis sebagai ikonik dan penulisan artikel yang terbaik pernah dihasilkan. 

  • Banyak membaca dan memerhati

Kurang membaca dan memerhati tentang keadaan sekeliling tidak akan membuahkan fikiran yang kreatif. 

Dengan membaca mereka dapat belajar pelbagai benda termasuklah perkataan-perkataan baru, taktik terkini, gaya penulisan dan inovasi terkini tentang subjek yang ditulis. 

Mereka perlu tahu reaksi dan persepsi yang wujud dalam kalangan orang ramai tentang subjek yang ditulis. 

  • Kaitkan penulisan dengan pembaca

Mereka sentiasa meletakkan diri mereka sebagai pembaca terlebih dahulu sebelum menulis untuk mengaitkan artikel dengan kehidupan pembaca. 



Penulisan jelas, mudah dan senang difahami akan lebih menguatkan "perhubungan" di antara pembaca dengan artikel yang ditulis yang akhirnya menjadikan penulisan mudah dihadam. 

Tidak semua orang menjadi penulis blog sepenuh masa yang berjaya. Semuanya ditentukan dengan minat dan tahap mana keinginan untuk mencapainya. 

Mahu tahu lagi...5 Tips Penulisan Blog Secara Berkesan

Azleen Abdul Rahim - Pakar Pemasaran Digital antara penulis blog yang berjaya. Petikan dari Utusan Biz, Utusan Malaysia. 

Post a Comment

0 Comments