Nabi Nuh AS diutus oleh Allah SWT kepada kaumnya yang sudah menyimpang daripada ajarannya. Mereka mula menyembah tuhan selainNya, menyembah orang soleh dan pemimpin masyarakat. Mereka yang sudah meninggal dunia seperti, Yaguts dan Ya'uq.
Melihat penyimpangan ini, Allah SWT memerintahkan Nabi Nuh AS supaya mengajak mereka bertaubat dan kembali menyembahNya. Dengan penuh kesabaran Nabi Nuh AS mengajak mereka ke jalan yang benar.
Dia mengajak mereka hingga 950 tahun lamanya. Kemudian Nabi Nuh AS mengadukan perbuatan umatnya itu selepas sekian lama Baginda berdakwah kepada mereka. Lalu Allah SWT menyuruhnya untuk membuat kapal. Melihat Nabi Nuh AS membuat kapal, padahal ketika itu musim kemarau, mereka berkata;
"Nuh telah gila!"
Nabi Nuh AS memotong perkataan mereka;
"Kamu akan tahu sendiri!"
Selepas itu Allah SWT menurunkan hujan lebat, sehingga banjir pun berlaku dan semakin meluap, lalu menenggelamkan apa sahaja. Nabi Nuh AS beserta orang yang beriman diselamatkan oleh Allah SWT. Di antara yang ditenggelamkan oleh Allah SWT iaitu seorang perempuan yang sedang mendokong bayinya.
Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda;
"Seandainya Allah SWT berhasrat menyelamatkan seseorang ketika banjir di zaman Nabi Nuh AS, maka Dia akan menyelamatkan seorang perempuan yang mendokong anaknya yang masih bayi"
Kisahnya, ketika banjir berlaku dan menenggelamkan apa sahaja, perempuan itu mencari tempat yang tinggi untuk menyelamatkan dirinya. Dia berlari ke arah gunung sambil mendukung bayinya. Namun banjir tetap melandanya. Dia terus berlari ke atas, kemudian naik ke gunung itu sampai ketinggian 1/3 gunung itu, namun banjir itu tetap melandanya.
Lalu dia naik lagi sampai ketinggian 1/2 gunung itu, namun banjir tetap melandanya. Kemudian dia naik lagi sampai puncak gunung, namun banjir itu pun tetap melandanya. Dia tenggelam ditelan banjir kerana kekafirannya.
- Ibnu Jarir at-Tabari, Tarikh at-Tabari, : 64
0 Comments