Dimulai dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.
Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?
Keterangan ayat 106 hal 22
Dahulu telah kita terangkan, bahawa mukjizat Musa a.s berlainan dengan mukjizat Isa a.s dan Nabi Muhammad SAW, sebabnya ialah kerana berlainan masa dan tempat. Oleh sebab itu, Allah SWT menerangkan hal itu pada ayat 106.
Mukjizat Nabi Muhammad SAW, iaitu Al-Quran, lebih baik dan sesuai dengan masa sekarang, masa ilmu pengetahuan, karang mengarang dan pidato.
Kebanyakan ulama mentafsirkan ayat 106 itu seperti berikut:
"Apa-apa ayat (Al-Quran) yang Kami ubah(nasikhkan) atau Kami lupakan (kepadamu), maka Kami datangkan yang terlebih baik daripadanya atau seumpamanya..."
Yakni di antara ayat-ayat Al-Quran itu ada yang mansukh (diubah) hukumnya, bacaannya atau kedua-duanya dan diganti dengan yang terlebih baik daripadanya atau seumpamanya.
Menurut pendapat mereka itu, bahawa sebahagian ayat Al-Quran ada yang mansukh.
Menurut pendapat Syeikh M.'Abduh, bahawa ayat-ayat Al-Quran, sebagaimana termaktub dalam mushaf 'Usmani, tak ada yang mansukh satu ayat pun, kerana erti ayat itu, bukan ayat Al-Quran, melainkan tanda dan keterangan jadi Rasul (mukjizat).
0 Comments