Isteri Abu Lahab ni memang glamer betul. Mak saudara Nabi SAW. Boleh baca kisahnya dalam surah Al-Masad. Bukan sekadar suka menghalang dan memusuhi dakwah islam, dia juga suka mengejek-ejek Nabi SAW, kekasih Allah dan seluruh umat islam.
Pernah satu ketika, jari Nabi SAW tertimpa sebiji batu. Baginda SAW tidak mengetahui siapa pelakunya. Jari Baginda SAW bengkak dan luka. Ianya sangat menyakitkan sehingga selama tiga hari Baginda SAW tidak keluar daripada rumahnya kerana demam.
Baginda SAW mengeluh sakitnya itu. Khabar sakitnya Baginda SAW sampai juga ke telinga Ummu Jamil. Apalagi, Ummu Jamil pun datang pura-pura hendak menjenguk Baginda SAW. Dia berkata dengan perkataan mengejek kepada Baginda SAW;
"Wahai Muhammad, mengapa engkau tidak keluar rumah dan tidak membawa berita yang ajaib? Aku menyangka bahawa syaitanmu itu sekarang telah meninggalkanmu, kerana aku tahu bahawa selama dua atau tiga hari ini ia tidak berkunjung kepadamu dan barangkali ia sudah tidak sudi lagi mendekat kepadamu, atau barangkali ia telah marah kepadamu."
Langsungnya, ejekan Ummu Jamil ini tersebar luas di dalam kalangan kaum Musyrikin Quraisy. Mereka begitu gembira ada yang mengejek Baginda SAW dan begitulah kebiasaan orang yang tidak senang dengan orang lain. Ketika ada orang yang mengejek orang yang tidak disukai, maka bertambahlah mereka merasa senangnya dan gembira.
Dengan demikian, mereka berhasrat untuk menambah ejekan Ummu Jamil agar Baginda SAW semakin sedih dan terhina. Dengan itu, mereka telah menghina Baginda SAW seraya berkata;
"Oh, sekarang Muhammad telah ditinggalkan oleh Tuhannya kerana Tuhannya telah memarahinya sehingga Muhammad sangat malu untuk keluar daripada rumahnya bagi menampakkan air mukanya."
Ejekan tersebut telah menyebabkan Baginda SAW semakin berduka. Apatah lagi ejekan ini sudah tersebar ke seluruh pelusuk suku Quraisy dan tersebar di tengah-tengah masyarakat.
Kemudian Allah SWT yang amat mengasihi kekasihNya telah menurunkan Surah Al-Dhuha untuk menjawab perkataan orang-orang kafir Quraisy. Allah SWT telah berfirman;
"Demi waktu Dhuha (ketika matahari naik setinggi galah), dan demi malam apabila telah sunyi, Tuhanmu tidak meninggalkan engkau (Muhammad) dan tidak (pula) membencimu." - Surah Al-Dhuha, 93: 1-3
gambar dari farihanuzu.blogspot.my |
Nabi SAW berasa senang dan bergembira, duka di hati Baginda SAW pun lenyap. Kemudian Baginda SAW bertakbir dan bersyukur kepada Allah SWT Tuhan Yang Maha Besar.
(Asy Syaukani, Fathul Qadir, Juz 4, 1998 : 583-584)
-------------------------------------
Bermacam-macam rintangan yang pasti akan kita lalui dalam menegakkan sesuatu yang benar, yang haq sekiranya persekitaran kita begitu negatif. Namun, apa-apa pun Allah SWT tidak akan membiarkan hambaNya terkontang-konting sendirian. Pasti Allah SWT akan menghulurkan bantuan dalam menegakkan kebenaran.
Jangan putus asa dengan keadaan yang negatif. Teruskan membantu masyarakat agar kita tergolong dalam golongan yang diredha Allah SWT.
Sehingga berjumpa lagi... #spreadlove
0 Comments