Muqaddimah Surah As Saffaat - Kesan Al-Quran dalam Mengubah Manusia

oleh Ustaz Abd Muein Abd Rahman pada 17 Oktober 2023



Bismilahirrahmanirrahim. 


Niat 

Pertama sekali, perkara yang paling penting dan asas, apabila kita hendak melaksanakan apa saja kerja, walaupun menuntut ilmu adalah niat. 


Hadis yang biasa kita dengar, sabda Baginda Nabi SAW:


"Sesungguhnya setiap amalan dikira mengikut niat. 

Dan sesungguhnya bagi setiap orang, dia akan mendapat mengikut apa yang diniatkan. 

Barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul, maka hijrahnya akan mendapat Allah dan Rasul. Barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang diinginkan (atau berhijrah kerana wanita yang ingin dikahwininya) maka dia akan mendapat apa yang dia niatkan."  



Tadabbur Hadis (Apa yang Nabi SAW nak sampaikan) 

Hijrah

1. Hijrah para sahabat ra dari Mekah ke Madinah adalah satu bebanan yang sangat besar dan berat kerana hijrah tersebut hanya berbekalkan semata-mata iman sahaja. Manakala harta benda dan keluarga yang tidak beriman ditinggalkan dan mereka pula berhijrah ke tempat yang asing. 


2. Pada zahirnya tiada masa depan, tiada tanahair, tiada tempat tinggal dan tiada pekerjaan dan belum tahu samada bila masanya akan pulang semula ke Mekah. Malah berkemungkinan hidup menjadi lebih susah. 


3. Inilah cara Baginda Nabi SAW memotivasikan para sahabat ra semasa diperintahkan untuk berhijrah ke Madinah. 


Dunia, Allah dan Rasul

4. Jadi, jika kita nakkan Allah dan Rasul, kita perlu tinggalkan dunia. Kalau kita nakkan dunia, kita pasti akan tinggalkan Allah dan Rasul. Persoalannya, jika kita dapat dunia, adakah kita bahagia tanpa Allah dan Rasul? Dan bahagia itu untuk apa sebenarnya? 


Logiknya, semua yang kejar dunia hendakkan bahagia, sebab mereka menganggap bahagia tak mungkin jika miskin. Dan kerana itu mereka yang kejar dunia nakkan harta yang banyak. Namun, adakah betul cara berfikir sebegini, nakkan bahagia mesti mempunyai harta yang banyak? 


Ikutilah cara al-Quran

5. Jika kita sering membaca tanpa memahami al-Quran, sebenarnya kita tak perasan yang al-Quran sering bertanyakan soalan. Kita tak perasan, sebab kita tak kisah pun dengan soalan al-Quran (soalan Allah) kerana apa yang kita kisahkan adalah khatam al-Quran sahaja. Akhirnya kita tak rasa, yang Allah telah mengajak kita berfikir bagi meningkatkan keimanan kita kepadaNya. 


6. Kebiasaannya, kita nakkan dunia ini seiringan sebab kita menganggap dunia ini satu keperluan. Tapi kenapa Baginda Nabi SAW tidak bagi kita pilihan itu kepada kita. 

"Sesiapa yang nak berhijrah kerana Allah dan Rasul, maka dia akan mendapat Allah dan Rasul". 


7. Tak pula Baginda Nabi SAW menambah yang, "sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul, dia akan mendapat Allah, Rasul dan Dunia". Nampak, Baginda Nabi SAW langsung tak tambah DUNIA dalam sabdanya.


8. Sebaliknya, sesiapa yang nakkan dunia, dia akan dapat dunia, tapi dia tidak akan dapat Allah dan Rasul. Sebenarnya dunia ini siapa pemiliknya, siapa penciptanya? Pada yang dapat "dunia ini", siapa yang bagi dan yang dapat "dunia sikit", siapa yang bagi? Sudah tentulah Allah.


9. Persoalannya, kalau kita dapat Allah dan Rasul, agak-agak kita dapat tak dunia? Antara dapat dunia dengan Allah, mana satu yang lebih memberi nikmat?


Kisah Siti Hajar dan Nabi Ibrahim as

10. Antara kita dengan Saiditina Siti Hajar (isteri Nabi Ibrahim as), yang mana satu, Allah lebih sayang? Ujian Saiditina Siti Hajar lebih besar, dan itu adalah petanda Allah sayangkannya. 


11. Allah perintahkan Nabi Ibrahim as supaya meninggalkan Saiditina Siti Hajar di tengah-tengah padang pasir yang tandus dengan tanpa ada apa-apa bekalan. Tempatnya sangat panas, tidak ada pokok dan tiada air, tiada suami dan tiada bangunan. Adakah Siti Hajar berbahagia dengan keadaan tersebut? 


Ya, beliau bahagia. Jadi, syarat untuk mendapatkan kebahagiaan adalah ikutlah segala perintah Allah. 


Keyakinan Saiditina Siti Hajar 

12. Saiditina Siti Hajar bertanyakan kepada Nabi Ibrahim as, siapa yang memerintahkan untuk meninggalkannya di padang pasir itu. Apabila Nabi Ibrahim as mengatakan ini adalah arahan Allah, maka Siti Hajar langsung akur dengan perintah itu. 


Ilmu, keyakinan dan praktikal dalam kehidupan itu adalah perkara yang berlainan.

13. Kenapa Saiditina Siti Hajar tak bertanya langsung tentang bagaimana beliau nak hidup di tengah-tengah padang pasir. Masuk akal tak, seorang wanita dengan bayi yang kecil ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang tiada manusia, tiada rumah nak hidup? Kenapa Saiditina Siti Hajar tak persoalkan?


Sebab beliau yakin kepada Allah. 

Padang pasir milik Allah.

Siti Hajar milik Allah. 

Suaminya milik Allah. 


14. Kalau Allah boleh ciptakan 7 lapis langit, Allah boleh uruskan 7 lapis langit sikit pun tiada retak, sikit pun tiada masalah. Allah juga boleh uruskan siang dan malam, takkanlah kehebatan Allah itu, tak boleh menjaganya beliau seorang dengan bayinya. 


15. Beliau benar-benar yakin kepada Allah. Kalau Allah yang memberi perintah, pasti Allah menjaganya. Itulah keyakinannya kepada Allah yang Maha Berkuasa.


16. Tanpa keyakinan kepada Allah, kita yang berada di dalam rumah, terkadang-kadang semuanya ada pun, suami ada, beras ada, telefon pun ada, namun kadang-kadang jiwa kita tak berasa tenang.


17. Dengan keyakinan penuh kepada Allah, Saiditina Siti Hajar sentiasa tenang 24 jam. Sebenarnya ketenangan dan kebahagiaan adalah berdasarkan yakin yakni beriman kepada Allah. Niat nak berbuat apa-apa pun biarlah kerana Allah, maka tenanglah hidup walaupun tiada mempunyai apa-apa.


18. Tapi kalau tiada Allah dalam jiwa namun mempunyai segala-segalanya, celakalah hidup manusia itu! 


Ketakutan Firaun

19. Firaun mempunyai segala-galanya tapi hidupnya tak bahagia. Bahkan ada kerajaan yang besar dan tentera yang hebat tapi dia takut kepada Nabi Musa as yang dia besarkan dan dibagi makan. 


20. Kenapa Firaun takut kepada Nabi Musa as. Begitulah tanda kekuasaan Allah. Sebenarnya harta tidaklah membahagiakan manusia. 


Kebahagiaan Nabi Yunus as

21. Pernah ke kita berzikir kepada Allah di tengah-tengah malam buta dalam suasana gelap gelita? 


22. Di antara kita dengan Nabi Yunus as, siapakah yang berbahagia? Tentunya Nabi Yunus as. Semasa Nabi Yunus as berada dalam perut ikan yang gelap gelita, sebagai seorang manusia, baginda as juga turut rasa berdebar dan merasa risau. 


23. Adakah baginda as berbahagia, jika bahagia apa buktinya? Subhanallah. Nabi Yunus as tidak putus-putus berzikir kepada Allah semasa berada dalam perut ikan yang amat gelap gelita ditambah pula dengan kegelapan laut, malam dan sebagainya. 

zikir nabi yunus dalam perut ikan

24. Logiknya, sepatutnya baginda as meminta doa mohon dikeluarkan dari perut ikan tapi sebaliknya Nabi Yunus as meminta ampun kepada Allah. Jadi di antara kita dengan Nabi Yunus as, siapakah yang paling banyak berbuat dosa? 


25. Tentulah kita yang paling banyak berdosa namun kita tak pernah pula berzikir semasa gelap gelita, contohnya elektrik terputus (blackout) atau semasa berada dalam kegelisahan, kesusahan ataupun dalam kesukaran. 


26. Sedangkan Nabi Yunus as, hanya dengan satu dosa sahaja dan berada pula dalam gelap perut ikan, baginda as tak minta langsung untuk keluar dari perut ikan tersebut malah yang dimintanya adalah keampunan atas dirinya. 


27. Tidak pula dengan kita, yang berada dalam keadaan cerah terang-benderang pun tak meminta ampun kepada Allah walaupun hakikatnya dosa kita lebih banyak daripada Nabi Yunus as.


28. Kenapa begitu? Ini disebabkan kita berada dalam kegelapan ilmu. Kadang-kadang kita tak perasan yang dosa kita banyak. 


Merajuk dan kecewa

29. Nabi Yunus as, dosanya adalah merajuk dan berasa kecewa. Baginda as tak boleh terima penolakan ajakan dakwah oleh kaumnya. Kerja para nabi dan pendakwah adalah menyampaikan. Sekiranya sesuatu kaum itu tak nak menerima, kita tidak boleh berasa kecewa. Apabila kecewa, ia seolah-olah kita tak setuju dengan aturan Allah. 


30. Jadi jangan kecewa, sebab dengan kecewa kita itu bermaksud kita tak setuju dengan apa yang Allah takdirkan. 


31. Jadi dengan hanya satu dosa pun, hukuman Allah terhadap Nabi Yunus as, baginda as ditelan oleh ikan paus. Macamana pula dengan kita yang banyak dosa ini? Tidak pula kita ditelan paus dan tidak pula kita ni meminta ampun kepada Allah.  


Pemberi Bahagia

32. Baginda Nabi SAW bersabda, 

"Jika kamu berhijrah kerana Allah dan Rasul, kamu akan dapat Allah dan Rasul. Itulah sumber kebahagiaan manusia, bukannya harta. 

Apabila kamu dapat Allah dan Rasul, di mana sahaja dan apa saja keadaan kamu, kamu pasti berbahagia. 

Tapi jika kamu salah niat iaitu untuk mendapatkan dunia, kamu takkan bahagia sebab yang memberikan bahagia itu bukannya dunia. Pemberi bahagia adalah Allah semata-mata". 


33. Jadi mulai sekarang, perbetulkan niat kita hari ini. Kita belajar ayat-ayat Allah iaitu satu-satunya perkara yang paling mulia dan suci. Niatkan kerana Allah. 


34. Ada juga perkara yang mulia, orang belajar tapi payah nak melekat (masuk) sebab niatnya tidak betul. 


Apa bukti kita dah niat kerana Allah?

35. Buktinya, apa sahaja yang Allah cakap, yang kita belajar, secara tak langsung, kita praktikkan. Jika kita tak buat, itu maknanya kita tidak niat belajar kerana Allah. 


36. Jika niat tu kerana Allah, pasti kita akan berubah ke arah yang lebih baik mengikut kata-kata Allah. Ingat! Punca bahagia adalah apabila dengar perintah Allah, kita buat. 


37. Carilah harta sebanyak mana sekalipun, kalau perintah Allah tu dilanggar atau tak diendahkan, kita takkan berbahagia. 


38. Jadi mulai sekarang, supaya kita mendapat hidayah bagi memahami ayat dan istiqamah dalam kerja buat kita, perkara yang paling asas adalah perbetulkan niat. 


Penyakit Hati

39. Al-Quran ini adalah suatu perkara yang berat. Kerana itu tu ramai yang tak suka belajar tadabbur al-Quran berbanding belajar hadis, zikir-zikir, atau Feqah. Tak ramai yang nak belajar tadabbur. Kenapa?


40. Sebabnya al-Quran nak perbetulkan kita. Yang paling utama adalah nak perbetulkan hati. Al-Quran nak sucikan hati kita sebab dalam hati kita ini terlalu banyak sangat penyakit antaranya penyakit malas, berdendam, cemburu, dengki, iri hati, riak dan sebagainya. 


Cinta Dunia

41. Namun dalam banyak-banyak penyakit hati ini ada puncanya dan ia tersangat merbahaya. Ramai yang tak perasan. Seorang sahabat ra berkata; 

"Cinta dunia adalah punca kepada segala dosa". 

"Ibu kepada segala penyakit adalah cinta dunia". 


42. Kerana cinta dunia kita sanggup berbuat apa sahaja. Sanggup solat lambat sebab menguruskan anak-anak. Sedangkan anak-anak itu adalah sebahagian cinta dunia. 


Kenapa kita tidak sempat baca al-Quran?

Kenapa tak sempat Solat Sunat Rawatib? 

Kenapa tak sempat ajar anak tentang sunnah Baginda Nabi SAW antaranya cara solat mengikut cara nabi?

Kenapa berdengki?

Kenapa suka panas baran?

 

43. Segala penyakit hati berpunca dari cinta dunia kerana itulah perkara yang paling sukar dalam hidup adalah untuk tinggalkan dunia


44. Kerana itulah, Allah uji para sahabat ra sehinggakan mereka menjadi begitu hebat. 


45. Dari asalnya pengembala kambing, penyembah berhala, pembunuh anak-anak perempuan,  terlibat dengan pelacuran, penzinaan, rasuah dan macam-macam lagi penyakit sosial, akhirnya mereka menjadi orang terhebat di dunia dulu, kini dan takkan lagi berulang. 


Apa tipsnya?

46. Antara kita dengan para sahabat ra, darjat siapakah yang lebih hebat?


47. Kalau kita nak jadi orang hebat, kita kena follow para sahabat ra. Ini kerana para sahabat ra memang terbukti orang yang hebat. Selagi mana kita tak follow Baginda Nabi SAW dan para sahabat ra, mustahil kita akan menjadi orang yang hebat di sisi Allah SWT.


48. Mereka adalah manusia terhebat sehinggakan Baginda Nabi SAW pun turut memberikan pengiktirafan.

"Sebaik-baik generasi adalah generasiku"


48. Bahkan Baginda Nabi SAW bersabda, 

"Di syurga nanti, syurga yang paling tinggi atas bawahnya seakan kita berada di bumi sedang mendongak ke langit memandang bintang-bintang yang nun jauh di langit".

 

49. Itulah jarak di antara syurga atas dengan syurga ke bawah seumpama kita di bumi melihat bintang-bintang di langit. Itulah syurga yang teratas dari kita dan Baginda Nabi SAW bersabda, 

"Itulah tempat Saidina Abu Bakar ra dan Saidini Umar ra". 

 

50. Hebatnya para sahabat ra sehingga mendapat syurga yang tertinggi.


Apa rahsianya? 

51. Hilang cinta dunia maka hebatlah seseorang itu. Maknanya, kehebatan para sahabat ra ialah Allah telah mendidik mereka sehinggakan tiada sedikit pun rasa cintakan dunia. 


52. Apa bukti? Semasa para sahabat ra memeluk islam di Mekah, mereka telah ditindas dan dihina. Kemudian Allah perintahkan mereka berhijrah. Jadi mereka telah tinggalkan dunia. Maka tiada lagi dunia dalam hati mereka.


53. Ini bukan bermakna mereka tak mencari dunia, mereka hanya keluarkan dunia dari dalam hati. Kerana itu para sahabat ra apabila infakkan harta, mereka akan infakkan sebanyak yang mungkin. 


54. Selama Baginda Nabi SAW berada di Mekah dalam 13 tahun itu, banyak ayat al-Quran yang menceritakan tentang ganjaran orang berinfak, orang beramal soleh dan ganjaran kerja dakwah yang mana di akhirat nanti mereka akan ditempatkan di syurga yang tertinggi.


55. Itulah yang Baginda Nabi SAW tanam dalam kepala para sahabat ra sehinggakan mereka menganggap dunia ini terlalu kecil. 


56. Mereka hanya nampak kebahagiaan akhirat, ganjaran besar dan kekal abadi sedang menanti. Dunia ini seakan kecil sahaja,  sebab itu mereka begitu senang untuk berinfak. 


57. Yang jadi susah kepada kita untuk berinfak yang mana ia turut mendatangkan kebaikan kepada kita juga, sebabnya kita tak nampak akhirat seperti mana para sahabat ra nampak. Kita hanya nampak dunia ni besar jer dan hebat jer. 


58. Disebabkan cinta akhirat "kurang masuk" dalam hidup, kita nakkan banglo besar,  kereta mewah dan berlumba-lumba menjadi siapa yang lebih terhebat. 


59. Sedangkan apa yang Allah nak bagi adalah istana mewah yang di bawahnya mengalir sungai-sungai yang kekal abadi yang jadi hak milik kita. Yang mana, nikmat kemewahan ni tiada langsung di atas dunia ni. 


60. Jadi apabila Baginda Nabi SAW bercerita tentang syurga, para sahabat ra betul-betul nampak syurga seolah-olah syurga berada di depan mata. Maka dunia tu (harta) dicari semata-mata untuk membeli syurga yang dijanjikan oleh Allah.


Beli Akhirat dengan Dunia 

61. Bukannya tinggalkan dunia, kita tak mencari dunia. Tapi dunia dicari untuk membeli akhirat. Bukannya mencari dunia untuk membeli lagi dunia. kalau mencari dunia untuk beli lagi dunia, ia takkan puas sampai mati. 


62. Akhirnya seseorang itu menjadi hamba dunia dan pasti akan menyesal setelah mati. Itulah apabila mati, dia akan meminta semula untuk kembali hidup ke dunia untuk berbuat amal soleh. 


63. Sedangkan semasa hidupnya, Allah dah bagi peluang untuk beramal soleh. Apabila mati mana ada peluang lagi, masa tu dia dah betul-betul yakin, yang boleh menyelamatkannya di dalam kubur dan di padang mahsyar, hanyalah amal soleh. 


64. Sekarang kita tak berapa yakin sebab tu amal soleh kadang-kadang kita buat cincai je. Tetapi untuk dunia, kita buat bukan main "first class" lagi. 


65. Jadi mulai hari ini, betulkan niat, kita berhijrah kerana Allah dan Rasul, insha allah kita akan berbahagia. 


66. Bukan bermakna tinggalkan dunia untuk kita jadi miskin. Teruskanlah mencari kekayaan. Ramai para sahabat ra yang kaya raya di dunia, dan di akhirat juga mereka menjadi orang yang paling terkaya.

 

67. Jangan pula kita ni hanya kaya di dunia, tapi di akhirat nanti kitalah yang fakir miskin papa kedana. Elakkan dari terjadi sebegitu.


Redha Allah

68. Belajarlah Bahasa Arab untuk mencapai keredhaan Allah kerana redha yang tertinggi adalah apabila kita membaca al-Quran kita boleh faham. 


69. Kita semua memang nak berubah menjadi baik. Kita semua nak anak-anak kita berubah menjadi baik. Tetapi banyak perkara dan pelbagai cara kita buat, namun tetap tak berubah-ubah juga. Kerana apa? 


70. Kerana kita tak aplikasikan kaedah Baginda Nabi SAW sehinggakan baginda Nabi SAW boleh mengubah sepenuhnya keadaan sosial masyarakat Arab.  


*Kesan al-Quran dalam mengubah manusia*

"Maka tatkala turunnya al-Quran, orang Arab berubah, ..."

Iaitu dari masyarakat yang paling jahat, yang paling rosak akhlaknya telah berubah menjadi masyarakat yang terbaik.


"...dan peribadi orang Arab bertukar mengikut cara tuhan, bukan mengikut hawa nafsu. Mereka telah berubah dengan ayat-ayat Allah..." 

Masyarakat Arab berubah dengan ayat-ayat Allah. Jadi kalau kita nak ubah diri kita, anak kita dan keluarga, kaedahnya adalah gunakan ayat-ayat Allah. 


Tapi jangan salah faham iaitu ada di antara kita yang baca ayat al-Quran dan hembus ke muka anak. Bukan begitu caranya.


Baginda Nabi SAW tak pernah buat sebegitu, namun masyarakat kita ada yang buat. Kalaulah cara sebegitu boleh melembutkan hati manusia, dah lama Baginda Nabi SAW berbuat sebegitu kepada Abu Jahal. Jadi, bukan semudah itu.


"...Risalah ini membongkarkan satu sudut daripada kesan al-Quran dalam mengubah manusia..." 

Allah telah memberi nikmat kepada manusia dengan nikmat yang terbesar, iaitu turunnya al-Quran. Yang mana lebih menggembirakan, samada kita faham 3 ayat al-Quran dengan dapat duit dari suami RM3000? 


Kalau jawapan kita yang RM3000, kenapa tidak gembira dengan faham 3 ayat al-Quran? 


Sebab kita dididik dengan duit yang mana kita boleh berbuat macam-macam. Kita tak pernah dididik bahawa dengan fahami al-Quran, kita mengenal Tuhan dan Tuhan akan membawa kita ke syurga yang kekal abadi. 


Dapat RM3000, seronoknya berapa lama?

Kita nak duit, sebab kita nakkan bahagia. Allah tahu sebab Allah yang ciptakan kita. 


Memang Allah nak bagi kita bahagia, tapi kita tak faham nilai bahagia yang Allah nak bagi, iaitu nikmat Allah yang kekal abadi, yang tiada penat atau letih, sedih, tua, sakit ataupun mati. Yang itulah, bahagia yang Allah nak bagi tapi kita plak yang menolak. 


Adakah dapat RM3000 itu membahagiakan? 

Ye lah boleh melancong, makan-makan malah boleh buat apa sahaja. Setelah tu, dah abih  cari lagi, cari lagi, sampailah ke tua. Waktu dah tak berdaya, gigi pun tiada, sehingga RM3000 atau RM30,000 atau RM30 juta sekalipun, ia tiada lagi bernilai. Itulah namanya dunia. 


Tapi Allah nak bagi syurga yang kita boleh duduk beribu-ribu tahun, yang mana langsung tiada rasa bosan. Penghuni syurga umurnya sebaya walaupun beribu-ribu tahun berada dalam syurga. Umur penghuni syurga sentiasa muda iaitu 33 tahun. 


Tapi kalau di dunia, setiap hari umur kita meningkat. Jadi, yang mana satu pilihan kita, nak umur yang sentiasa muda atau yang akhirnya menjadi tua? Adakah kita membelanjakan masa untuk mencari "umur yang sentiasa muda" yakni akhirat?


Sebelum Allah menurunkan nikmat terbesar kepada manusia iaitu turunnya al-Quran kepada nabi penutup, orang Arab sering berpecah belah dan bergaduh sesama sendiri.


Selepas turunnya al-Quran, mereka menjadi seperti adik beradik walaupun bukan saudara mara. Mereka berkasih sayang yang kemudiannya Allah berfirman di dalam al-Quran berkisarkan tentang nikmat al-Quran;

"dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika mana kamu dulu adalah berpecah belah lalu Allah menyatukan di antara hati-hati kamu. Selepas itu kamu dengan nikmatnya menjadi seperti adik beradik" - surah Ali Imran ayat 103


Kita telah dididik apabila sebut sahaja tentang nikmat, kita akan membayangkan harta, sihat, umur panjang, anak-anak dan sebagainya. Tetapi yang dimaksudkan dalam firman Allah tersebut adalah nikmat kasih sayang. Itulah punca bahagia


Antara nikmat Allah adalah hidup berkasih sayang antara sesama kita. Sekarang ramai ibu bapa yang mengadu tentang masalah rumah tangga atau anak-anak.  Kekurangan kasih sayang dalam rumahtangga dan anak-anak. Dan itulah punca manusia tidak bahagia.


Disebabkan kekurangan atau tiada kasih sayang, saban hari kita mendengar suami membunuh isteri, suami menceraikan isteri dan jika dibandingkan dengan keadaan  dulu dan sekarang, ia semakin parah dari hari ke hari.  


Kesimpulannya, masyarakat kita secara umumnya tidak bahagia kerana tiada sifat kasih sayang.  


Jadi siapakah yang telah menyatukan orang Musyrikin Mekah yang sentiasa bergaduh dan berpecah-belah?  


Pastinya Allah. Maknanya jika kita nakkan nikmat kasih sayang, ikutlah cara Allah sebabnya hanya Allah yang boleh bagi kasih sayang. Cara Allah mestilah kena fahami al-Quran dan amalkan ajarannya. 


"...dulu orang Arab sanggup berbunuhan dengan hanya seekor unta dan kambing..."

Kita pernah dengar tak, sesetengah orang Arab Mekah atau Madinah, yang kadang-kadang hanya seekor kambing mereka dibunuh, mereka boleh berdendam dengan kawan yang  membunuh kambingnya selama 7 tahun. Adakah hidup mereka itu bahagia? 


Keadaan ni pun berlaku juga sekarang, hanya seekor kucing mati dilanggar, menyebabkan pemiliknya bermusuhan dengan orang melanggar kucingnya. 


"...tetapi selepas itu, tak berapa lama kemudian, mereka mengutamakan orang lain daripada diri sendiri. Maka Allah memuji mereka dalam ayat al-Quran dalam surah Al-Hajru ayat 9;  

"Mereka mengutamakan orang lain melebihi diri sendiri walaupun diri mereka miskin. "..."


Itulah nilai nikmat Allah iaitu nilai al-Quran. 


Dahulu kerana untanya dibunuh, dia sanggup berdendam sehingga bertahun-tahun. Tetapi setelah nikmat Allah datang iaitu al-Quran, walaupun orang yang tidak dikenali memerlukan bantuan, mereka sanggup menghulurkan bantuan, contohnya seperti lapar. 


Siapakah yang mengubahnya? Tentulah Allah iaitu dengan nikmat Al-Quran. Apakah nilai ahli syurga dalam kisah ini? Nilainya adalah mengutamakan orang lain, lebih dari diri sendiri walaupun kita sendiri memerlukan. 


"...dulu sebelum turunnya al-Quran, mereka fanatik kepada puak walaupun puaknya kejam dan zalim secara terang-terangan tetapi selepas turunnya al-Quran, mereka sanggup berperang tanpa perbezaan perkauman. Sebab yang menyatukan mereka adalah al-Quran. Semua orang hidup berkasih sayang dan tiada unsur-unsur perkauman..."


Masyarakat kita pula sekarang, ada rasa kaum lain tu tak layak mendapatkan hak di tanahair kita, malah jauh sekali kita nak berdakwah kepada mereka supaya mereka memeluk islam. Semua ini kerana kita kekurangan sifat kasih sayang di dalam diri.


"...dulu orang Arab apabila dapat anak perempuan, mereka akan bunuh hidup-hidup sebab dianggap anak perempuan itu sial, tidak boleh membantu mereka dan tidak boleh berperang. Malah mereka menggangap darjat perempuan itu sangat hina sehinggakan mereka tak layak hidup. Apabila mak si anak ini mati, anak perempuan tersebut langsung tidak boleh mewarisi apa-apa harta. 

Namun akhirnya berubah selepas kedatangan islam, turunnya al-Quran, para wanita dimuliakan dan diangkat malah dapat mewarisi harta pusaka..." 


Apabila dibandingkan dengan keadaan sekarang, adakah wanita diangkat di tempat mulia, atau banyak dipergunakan sebab tak mengikut ajaran al-Quran? 


Begitu mudah si suami membunuh si isteri, malah ada yang membakar isteri. Semakin hari semakin teruk dan tenat apa yang berlaku dalam masyarakat kita. Apa puncanya? 


Selepas datangnya Islam, wanita diangkat ke tempat yang tertinggi. Bahkan Saiditina Aisyah telah menjadi tempat rujukan kepada para sahabat lelaki. Begitu mulia dan tinggi kedudukan wanita disebabkan mereka mengamalkan ajaran al-Quran. 


"...orang Arab minum arak dan malamnya mereka suka berjudi. Bahkan arak itu diminum seperti meminum air sejuk. Setelah datangnya Islam, mereka berubah..." 

Pada waktu malam, mereka solat tahajud dan bahkan pada peringkat awal kedatangan Islam, Baginda Nabi SAW dan para sahabat ra wajib solat tahajud sampai bengkak kaki. 


"...Apakah yang menyebabkan semua ni berubah dari jahiliyah, membunuh anak, kaki minum pada setiap malam, tiba-tiba bertukar menjadi masyarakat yang berkasih sayang? Setiap malam mereka bangun bertahajud, mengorbankan harta untuk agama Allah. Semuanya ini disebabkan kesan al-Quran dalam mengubah kehidupan manusia..."


Baginda Nabi SAW telah mengajar para sahabat ra dan juga kepada kanak-kanak. Pada zaman sekarang, masih ada lagikah kanak-kanak yang belajar tadabur al-Quran? 


Baginda Nabi SAW telah berjaya mendidik orang Arab yang paling jahat menjadi yang paling baik dalam tempoh 23 tahun. 


Pada waktu sekarang, ada tak yang belajar agama lebih dari 20 tahun, walaupun ada tetapi masyarakat kita tetap tak berubah menjadi lebih baik. 


"... Para sahabat ra dulu belajar tadabbur al-Quran sebelum baligh (10 tahun), mereka belajar tentang iman sebelum al-Quran. Maknanya mereka belajar akidah, tentang Allah, hari akhirat, syurga dan neraka. Jadi mereka mengenal Allah. Mereka cintakan Allah, barulah mereka belajar tajwid (bacaan)..."


Pada zaman sekarang, bagi mengajar anak-anak, kita boleh buat 2 in 1. Yang tak boleh buat adalah mengajar tajwid sehingga betul bacaan, namun sehingga ke tua, anak-anak masih juga tak faham al-Quran. 


Begitu juga, ada sesetengah anak-anak tahfiz yang hafal al-Quran dan segelintir guru tahfiz yang tak bermoral. Hal ini terjadi sebegini sebab mereka tak belajar iman sebelum al-Quran.


"...Selepas kami belajar baca al-Quran, iman kami bertambah, faktor iman bertambah

1. Mengenal Allah; dan

2. faham apa yang dibaca..."


Maknanya iman akan bertambah apabila membaca al-Quran dalam keadaan faham. Sebab itu jika membaca al-Quran dalam keadaan tak faham, walaupun khatam, iman kita tetap tak meningkat. Apa bukti iman kita meningkat?


Bukan setakat dakwaan atau pengakuan iman itu meningkat, tetapi berdasarkan amalan. kalau amalan kita dulu solat 5 waktu, sekarang dah boleh solat sunat 12 rakaat. itu tandanya iman telah meningkat. 


Kalau iman tak meningkat, bagaimana mungkin ada kekuatan untuk menambah amalan. 


Dulu sedekah sedikit, sekarang mampu bersedekah 1/3 harta. 

Dulu tak boleh bangun malam sekarang sudah boleh solat tahajud.

Dulu baca al-Quran sekali seminggu (Surah Yasin), sekarang dah boleh baca al-Quran setiap hari dan baca semua surah.

Dulu khatam sekali setahun pada bulan Ramadhan sahaja. Itupun khatam beramai-ramai. Tetapi sekarang, baca sorang-sorang pun boleh khatam sebulan sekali. 


Petanda iman kita meningkat adalah hubungan kita dengan al-Quran semakin baik. 


Dulu kita jarang-jarang baca, sekarang setiap hari kita membaca al-Quran. 

Dulu kita baca setengah jam, sekarang kita membaca al-Quran satu jam. 

Dulu kita baca tak faham, sekarang setiap ayat kita baca, kita nak tahu apa yang Allah firmankan. Kita nak tau sebab kita nak ikut perintah dan nak taat kepada Allah. 

Kerana Allah adalah punca manusia bahagia.

Dulu asyik takde masa je untuk al-Quran, sekarang asyik ada je masa. 

Itulah petanda iman telah meningkat. 


"...mula baca al-Quran, setelah belajar tentang iman..."

Pada zaman Baginda Nabi SAW, semasa turunnya al-Quran, Baginda Nabi SAW tak buka kelas tajwid, tetapi Baginda Nabi SAW telah mengajar tentang iman kepada para sahabat ra. Selepas tu, baru diajarkan tentang perbetulkan bacaan. 


Perbetulkan bacaan tu memang wajib tapi yang 10x wajib ialah faham dan amal. 


"...kamu yang akan datang, kamu belajar al-Quran (belajar tajwid, baca betul siap berlagu dan khatam tetapi kamu tak faham maksud al-Quran) sebelum belajar tentang iman..."


Kerana itu kebanyakan orang kita, apabila baca al-Quran dah betul bacaannya, dah khatam, mulalah simpan al-Quran. Dibuka semula pada bulan Ramadhan. 


Manakala para sahabat ra khatam al-Quran ada yang sebulan sekali, 2 minggu sekali malah ada yang 3 hari sekali. Mereka khatam dalam keadaan faham kerana itulah mereka telah menjadi orang yang hebat. 


Dan itulah perbezaan kita dengan para sabahat ra. Kita hanya nak khatam al-Quran, kononnya untuk dapatkan kelebihan berapa kali khatam. 


Saidina Uthman bin Affan, khatam al-Quran seminggu sekali tapi dalam keadaan dia telah faham dan amalkan, kerana itu dia boleh menginfakkan sebahagian besar hartanya atas sebab apa yang dibaca, dia praktiskan.


"...akhirnya keadaan Baginda Nabi SAW adalah sebaik-baik contoh ketika mana Rasulllah SAW mengutamakan aspek amalan, bukannya bacaan atau tajwid. Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk kepada seluruh umat manusia."


Ini bukannya bermaksud kita tinggalkan tajwid. Masalah masyarakat kita begitu fokus kepada tajwid sehingga selesai belajar tajwid, dia berhenti membaca dan memahami al-Quran.


Sepatutnya kita dapatkan ilmu, bukannya hanya pandai membaca sahaja. Dengan Al-Quran kita dapat pelbagai ilmu. Ilmu dalam al-Quran itu lebih penting bagi mendapatkan kebahagiaan dunia dan akhirat. 


Bahkan, kalau faham al-Quran, kita lebih berjaya dunia dan akhirat. Sayangnya kita tak nampak. Itulah kerugian yang sangat-sangat besar. 


"...bagaimana cara generasi sahabat ra belajar al-Quran; 

Sesungguhnya mereka membaca daripada Rasullulah SAW 10 ayat, dan para sahabat ra tak ambil 10 ayat yang lain, sehingga mereka tahu apa yang ada dalam 10 ayat pertama, lalu berkata para sahabat "akhirnya kami diajar oleh nabi, amal dan ilmu..."


Jadi cara Baginda Nabi SAW mengajarkan al-Quran kepada para sahabat ra adalah dengan mengambil 10 ayat, kemudian difahamkan dan beramal. Kemudian baru masuk 10 ayat yang lain.  


Maknanya, selagi para sahabat ra tak faham dan beramal, Baginda Nabi SAW takkan berpindah ayat. Dengan cara itu para sahabat ra berubah disebabkan cara Baginda Nabi SAW mengajarkan ilmu dan amal. 


Maka dalam tempoh 23 tahun, Baginda Nabi SAW telah berjaya menukarkan penyembah berhala yang bergelumang dengan syirik berpuluh-puluh tahun, yang membunuh anak, kaki rasuah, penzina telah bertukar menjadi generasi umat yang terbaik. 


Saidina Umar ra, yang dulunya orang yang jahat semasa zaman jahilliyah sebelum memeluk Islam. Buktinya, beliau pernah cuba membunuh Baginda Nabi SAW. 


Tetapi Baginda Nabi SAW telah mendidik beliau melalui al-Quran, Saidina Umar ra faham dan mengamalkannya. Akhirnya, Saidina Umar ra layak menggantikan Rasullullah sebagai Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua. 


Bahkan Baginda Nabi SAW pun ada bersabda; 

"Kalau ada nabi selepas aku, yang paling layak adalah Saidina Umar ra."

Al-Quran telah menukarkan watak Saidina Umar ra dengan cara membaca, faham dan amalkan. 


Ada seorang sahabat ra yang baru memeluk Islam dan telah dapat masuk ke syurga, beliau tak sempat baca al-Quran pun lagi, tetapi diperintahkan oleh Rasullullah SAW untuk keluar berjihad (arahan Baginda Nabi SAW adalah arahan Allah jua). Maka beliau syahid dan terus tempatnya di syurga.  


Pengajaran

Membaca al-Quran bukan untuk khatam 30 juzuk atau baca dengan suara merdu, tetapi setakat mana kita faham dan amalkan untuk menjadi orang yang terbaik.  


Ini kerana al-Quran ini adalah satu perkara yang berat. Jika kita tak faham betul-betul kenapa kita belajar, kita mungkin separuh jalan dan kita yang rugi sebab kita tak faham tentang hidayat. 


Walhal kita sering meminta hidayat 17x setiap hari dalam al-Fatihah semasa solat. 

"Tunjukkanlah kami jalan yang lurus" 


Bagaimana nak dapatkan siratulmustaqim (jalan yang lurus)? 

Siratulmustaqim yang diminta dalam surah al-Fatihah iaitu surah yang pertama, ada dijawab dalam surah al-Baqarah, surah yang kedua.  

"yang kamu minta itu ada dalam al-Quran, dia adalah petunjuk yang lurus pada orang yang bertakwa" 


Jadi, pada yang meminta "siratulmustaqim" kenalah fahami al-Quran. Ramai yang minta "siratulmustaqim" berpuluh-puluh tahun tapi tak juga belajar fahami al-Quran. So, bagaimana dia nak dapatkan "siratulmustaqim" tu. 


Ada seorang sahabat ra yang suka membaca surah al-Ikhlas ketika menjadi imam. Apabila ditanya, beliau menjawab yang beliau begitu suka dengan sifat Allah dalam surah tersebut : 

1. assomad (Yang Maha Melihat)

2. lam yalid (Yang Tiada Mempunyai Anak)

3. walam yulad (Yang Tidak Diperanakkan) 

4. Allah yang Esa 


Nampak macam simple. Sebenarnya jika kita yakin dengan sifat Allah dalam surah al-Ikhlas, maka ia akan menjadikan kita orang yang kuat sebab kita hanya bergantung semata-mata kepada Allah yang Maha Hebat sahaja. 


Kita hanya takut kepada Allah dan tidak risau langsung tentang rezeki disebabkan kita telah beriman dengan Tuhan Assomad, lam yalid walam yulad. 


Maksudnya beliau faham dan suka dengan sifat Allah dan beliau praktiskan sifat-sifat Allah dalam kehidupannya. 


Ini menunjukkan Allah suka sahabat tersebut sebagaimana sahabat begitu sukakan Allah. Sesiapa yang nakkan cinta Allah maka dia akan mendapat cinta Allah.


Yang kita pula, belum tentu dapat cinta Allah kerana kita suka baca surah al-Ikhlas kerana ianya antara surah yang terpendek dalam al-Quran. 


Surah as-Soffat. 

Ia adalah surah Makiyah yang mana banyak bercerita tentang hari kiamat, syurga dan neraka. 


Itulah perkara yang paling asas. Apabila kita yakin dengan balasan Allah, dunia ini kita anggap seakan-akan kecil je. Tetapi jika akhirat tiada dalam kepala kita, dunia ini adalah segala-galanya. 


Kerana cinta, manusia sanggup berbuat apa saja

Di dalam hadis, Nabi meminta kita meringankan solat jika menjadi imam bagi meraikan makmum. Ini kerana kemungkinan ada makmum yang tua, yang sakit tak pun ada wanita dan kanak-kanak. 


Tetapi dalam meringankan solat tu, Baginda Nabi SAW telah membaca surah as-Soffat yang mengandungi 142 ayat. Renyah-renyah Baginda Nabi SAW, membaca surah as-Soffat juga. Manakala solat Subuh bagi setiap rakaatnya adalah 60 ayat - 100 ayat. 


Baginda Nabi SAW pernah membaca surah yang begitu panjang dalam solat iaitu surah al-Baqarah, Ali Imran dan an-Nisa' dalam satu rakaat yang mana melibatkan 5 juzuk lebih. 


Kenapa Baginda Nabi SAW tak merasa bosan, penat, letih dan jemu?

5 juzuk bagi satu rakaat adalah nikmat yang paling besar kerana dapat bercakap-cakap dengan Allah. Jika kita faham apa yang Allah firmankan, kita akan dapat nikmat tu, baca panjang dan berdiri lama pun kita tak rasa. 


Sedangkan kita nak solat witir satu rakaat selepas isya' pun kita payah apatah lagi nak bangun malam. Itulah tanda manifestasi tidak cintakan Allah. 


Baginda Nabi SAW kerana cintakan Allah boleh solat dengan membaca 5 juzuk dalam satu rakaat sampai bengkak kaki. 


Bagaimana kita nak seimbangkan antara kelebihan membaca al-Quran banyak-banyak dan khatam dengan membaca al-Quran dan faham, dan yang manakah yang lebih baik?


Sebenarnya Allah berfirman;

"Kalau al-Quran diturunkan ke atas gunung, dan gunung tu faham, apa yang akan terjadi pada gunung tersebut ialah ia akan khusyuk dan pecah."

Betapa hebatnya setiap ayat al-Quran dan disebabkan itu Baginda Nabi SAW pernah membaca dan mengulang-ulang satu ayat yang sama dalam solat malam sehinggalah masuk waktu subuh kerana satu ayat itu telah memberikan kesan yang sangat besar.


Para ulama bersepakat mengatakan kita faham satu ayat dan memberi kesan ke dalam hidup kita, itu lebih baik daripada kita khatam 30 juzuk dan tiada satu ayat pun yang memberi kesan kepada kita. 


Bahkan antara musibah pembaca al-Quran ialah apabila mindset nya nak khatam. Apabila berfikiran sebegitu, dia hanya membaca tanpa meneliti makna-maknanya. Itulah kerugian yang sangat besar. 

 

Kalau kita nak pahala, satu huruf dapat 10 pahala, dan dalam pada masa yang sama kita nak juga faham. Maka bolehlah kita tetapkan masa contohnya dalam satu hari, satu jam atau lebih untuk tadabbur bagi kefahaman. 


Kemudian membaca al-Quran bagi mendapatkan pahala, kita peruntukan masa setengah jam. Percayalah kesannya lagi hebat daripada kita fokus kepada khatam al-Quran sahaja. 


Jadi, jangan berkejar sangat pada khatam, kerana kita jadi tidak fokus kepada maknanya. Kalau baca terjemahan tapi tetap tak faham, kita carilah guru untuk belajar tentang tafsir dan tadabbur al-Quran. 


Sekian.


Apa yang baik daripada Allah dan sekiranya ada terkasar bahasa menyebabkan kecik hati, pohon dimaafkan. Pesan guru, 

"Tanda terima kasih kepadanya, adalah mengamalkan apa yang diajar, yang mana selagi banyak yang diamalkan, lagi banyaklah pahala si guru"




 

Post a Comment

0 Comments