Tadabbur Surah As-Saffat Ayat 1 - 3

 


 oleh Ustaz Abd Muein || 30 Okt 2023


Ayat dan Terjemahan

وَٱلصَّٰٓفَّٰتِ صَفّٗا ١

Demi (hamba-hambaKu) yang berbaris dengan berderet-deret -

فَٱلزَّٰجِرَٰتِ زَجۡرٗا ٢

(Hamba-hambaKu) yang melarang (dari kejahatan) dengan sesungguh-sungguhnya -

فَٱلتَّٰلِيَٰتِ ذِكۡرًا ٣

(Hamba-hambaKu) yang membaca kandungan Kitab Suci;


Muqaddimah

1. Al-Quran adalah nikmat yang Allah turunkan kepada kita. Ia amat berfungsi sebagai rawatan kepada segala penyakit yang menimpa ke atas seluruh umat manusia. 


2. Yang membawa manusia kecelakaan dan ke neraka adalah sifat jahil tentang Allah, bertindak kufur, berlaku syirik dan suka berbuat maksiat. Setelah manusia dirawat penyakit cintakan dunia ini, al-Quran dianggap satu rahmat kepada mereka yang beriman.


Kenapa kena belajar dan fahami al-Quran? 

3. Cara para sahabat as belajar dan cara Baginda Nabi SAW mengajarkan Al-Quran telah menjadikan para sahabat as, satu generasi yang terbaik bahkan akhlak Baginda Nabi SAW pun sama dengan akhlak di dalam al-Quran. 


4. Maka dengan sebab itu, Baginda Nabi SAW telah menjadi seorang manusia yang paling mulia di sisi Allah SWT. 


5. Surah as-Saffat adalah surah Makiyah yang turun Sebelum Hijrah dan yang tidak semestinya turun di Mekah. Manakala surah Madaniyah pula adalah ayat yang turun selepas Baginda Nabi SAW berhijrah ke Madinah, walaupun ayat tersebut turun di Mekah. 


6. Intipati surah ini adalah tentang akidah iaitu mentauhidkan Allah. Selagi manusia tidak jadi begitu, mereka akan tetap kekal bermasalah. 


7. Akidah orang Islam salah satunya adalah beriman dengan Hari Akhirat. Allah kerap berfirman tentang orang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat. 


8. Ada 6 rukun iman iaitu: 

1. beriman kepada Allah

2. beriman kepada Malaikat

3. beriman kepada Rasul

4. beriman kepada al-Quran

5. beriman kepada Hari Akhirat

6. beriman kepada Qada' dan Qadar


9. Ramai di antara kita yang gagal dengan rukun beriman dengan Qada' dan Qadar (baik dan buruk). Adakah kita redha dengan takdir Allah apabila dikenakan dengan perkara yang tidak baik seperti sakit, miskin atau perkara-perkara yang kita tidak sukai?


10. Adakah sama penerimaan kita apabila ditakdirkan dengan perkara yang menggembirakan atau menyusahkan hati? Kenapa kita seakan setuju dengan yang baik saja, tetapi tidak pula bersetuju dengan perkara yang buruk yang menimpa kita. Kenapa kita bersikap "double standard" dengan Allah?


11. Kerana itulah orang beriman, apa saja yang Allah takdirkan samada buruk atau baik, mereka sentiasa tersenyum dan mengucapkan "Alhamdullillah" sebab mereka sedia maklum semua yang terjadi adalah ketentuan Allah. 


Kenapa kita tidak terima? 

12. Ada sesetengah orang selepas pulang dari Mekah (menunaikan umrah atau haji) mereka berasa begitu beriman sebab rasa semua dosa dah terpadam. Tetapi apabila Allah menimpakan sesuatu ujian, mereka dah melatah dengan ujian tersebut. Maknanya, kita ni syok sendiri dengan mengakui yang kita ni benar-benar beriman kepada Allah.  


13. Yang memberi kita senang, susah, sakit, sihat, kaya atau miskin adalah Tuhan yang sama. Persoalannya kenapa pula kita tak sama perasaannya apabila ditimpakan dengan keadaan yang buruk dan teruk. 


Wanita dengan Tangan Luka Berdarah

14. Ada segolongan wanita, tangan mereka luka dan berdarah tetapi mereka masih mampu tersenyum. 


15. Mereka tersenyum kerana memikirkan berapa banyak pahala yang Allah akan bagi dengan kesabaran menahan sakit kerana luka tersebut. Nampakkan cara orang beriman berfikir menyebabkan mereka redha dengan takdir Allah. 


16. Pahala yang paling terbesar adalah menahan sabar. Ianya lebih besar dari pahala menunaikan solat malam, bersedekah RM1 juta atau menunaikan haji atau umrah.


Syarat sabar

17. Confirm mesti ada masalah yang berlaku, sebab itulah apabila Allah nak bagi pahala yang besar, Allah bagi masalah. Allah turunkan ujian supaya dengan kesabaran dalam menghadapi masalah atau ujian itu, kita mendapat pahala.


18. Bayangkan; 

berapa ramai yang solat, tapi tak dapat pahala;

berapa ramai yang menunaikan haji dan umrah tapi tak dapat pahala;

berapa yang bersedekah, tapi tak dapat pahala, sebab apa?

sebab tiada kesabaran


19. Selama 13 tahun Baginda Nabi SAW menekankan akidah beriman dengan Allah dan beriman dengan Hari Akhirat yang mana penekanan akidah ini ada dicatatkan dalam surah as-Saffat juga. 


Tadabbur (Apa yang Allah hendak sampaikan)

Ayat Pertama

وَٱلصَّٰٓفَّٰتِ صَفّٗا 

Demi (hamba-hambaKu) yang berbaris dengan berderet-deret -

 

20. Sof bermaksud barisan. (yang ramai dan berbaris lurus serta lengkap).


21. Allah bersumpah dengan apa-apa sahaja makhluknya. Namun manusia tidak boleh bersumpah selain nama Allah. Ia boleh jatuh syirik jika bersumpah dengan selain Allah. Bahkan dengan nama Baginda Nabi SAW pun tak boleh. Namun begitu, dibolehkan jika kita bersumpah "Demi Allah" atau "Demi Tuhan Kaabah".


22. Selain itu, Allah juga turut bersumpah dengan "Demi masa, demi fajar, demi dhuha, demi matahari"


23. Apabila kita membaca al-Quran, kita boleh tahu Allah bersumpah apabila ada huruf wau atau ba atau ta. 


24. Sekiranya bermula dengan huruf wau dan baris terakhirnya adalah baris bawah, itu tandanya Allah bersumpah seperti mana ayat yang pertama ini. 


25. Demi para Malaikat (soffat - adalah sifat Malaikat). Kehebatan Allah melalui makhluknya iaitu Malaikat. Sifat Malaikat iaitu sentiasa berbaris ketika hendak beribadat kepada Allah. Apabila mereka hendak menunaikan solat, atau menerima arahan Allah, mereka akan berbaris. Jadi Allah puji kerana Allah sangat suka dengan sifat sebegitu. 


26. Merujuk dalil dalam dalam surah as-Saffat ayat 164 - 165


وَمَا مِنَّآ إِلَّا لَهُۥ مَقَامٞ مَّعۡلُومٞ ١٦٤

وَإِنَّا لَنَحۡنُ ٱلصَّآفُّونَ ١٦٥

(Malaikat pula menegaskan pendirian mereka dengan berkata): "Dan tiada sesiapapun dari kalangan kami melainkan ada baginya darjat kedudukan yang tertentu (dalam menyempurnakan tugasnya);

"Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa berbaris (menjunjung perintah dan beribadat).


27. Ayat ini menunjukkan kedudukan malaikat yang sangat hebat di sisi Allah. Malaikat yang paling hebat adalah malaikat Jibrail. 


28. Malaikat berbangga sebab mereka sentiasa berbaris untuk beribadat dan menerima arahan daripada Allah. 


29. Pengajaran kepada kita tentang pujian Allah kepada sifat malaikat yang suka berbaris ini adalah; 

Adakah kita suka buat apa yang mak ayah kita suka?

Adakah kita suka buat apa yang suami kita suka?

Adakah kita suka buat apa yang boss kita suka?

Adakah kita suka buat apa yang Allah kita suka?

Apa yang Allah suka dengan ayat ini? BERBARIS


30. Jadi bagaimana kita nak apply sifat malaikat ini dalam hidup kita? Kita kena belajar tadabbur al-Quran. Jangan faham sahaja, jangan terjemahkan sahaja, namun perlu pengajaran yang kita ambil. 


31. Solat berjemaah khususnya kaum lelaki adalah antara perkara yang Allah puji sebagaimana Allah memuji malaikat.  


32. Ramai ibu bapa yang nak anak mereka buat apa yang dia suka, tapi bukan yang Allah suka. Ada juga ibu bapa yang nak anak mereka  buat apa yang orang suka. Dan jarang ibu bapa yang suruh anak mereka buat apa yang Allah yang suka. 


33. Jadinya, kita ni sebenarnya hamba kepada siapa? Kita sebenarnya hamba kepada manusia. Kita buat apa yang orang suka tetapi bukan kepada apa yang Allah suka. 


34. Ciri-ciri orang bakhil adalah apabila disebutkan nama Baginda Nabi SAW, dia tidak berselawat sedangkan Baginda Nabi SAW ada bersabda; 

"Sesiapa yang berselawat kepadaku, Allah turut berselawat kepadanya 10x ganda"


35. Yang membawa maksud, Allah memuji orang yang berselawat kepada kekasihNya iaitu Baginda Nabi SAW. Persoalannya, kita nak tak pemimpin (orang hebat) puji kita? Jangan pula kita tak nak Allah puji kita. Jadi sentiasalah berselawat apabila nama Baginda Nabi SAW disebut atau pada bila-bila masa pun.


36. Sabda Baginda Nabi SAW tentang bagaimana sifat sof yang Allah suka; 

"

Baginda Nabi SAW bersabda kepada para sahabat ra, "Kenapa kamu tidak buat sof sebagaimana malaikat buat sof  di sisi Tuhannya sedangkan Allah telah pun memuji sof malaikat? Malaikat itu pula berada di langit dan begitu dekat dengan Allah". 

Sahabat ra bertanya; "Ya Rasullullah, bagaimana malaikat buat sof sebagaimana Allah puji?"

Baginda Nabi SAW bersabda lagi, "Malaikat menyempurnakan sof pertama, dan sof-sof seterusnya. Malah mereka rapat dalam barisan".

"


37. Jadi cara hendak dapatkan kelebihan ini adalah dengan:

a. mesti solat berjemaah. Bagi yang solat bersendirian memang takkan dapat kelebihan ini. Betapa ruginya orang yang tidak solat berjemaah; dan


b. pergi awal ke masjid dan terus berada di sof hadapan. Bukan cara malaikat, lewat ke masjid dan bukan cara malaikat juga pergi awal ke masjid tetapi tidak berada di sof hadapan. Sebab sof malaikat adalah sof hadapan dan rapat apabila menunaikan solat. 


38. Sabda Baginda Nabi SAW tentang kelebihan sof; 

"

Kami dilebihkan dibandingkan dengan umat terdahulu dengan 3 perkara : 

a. dijadikan sof kami seperti sof malaikat,

b. dijadikan kami bumi semuanya masjid. (semua tempat boleh sujud, dan boleh solat); dan

c. dijadikan tanah dan debu apabila ketiadaan air, ia suci dan boleh bertayammum.

"

39. Umat nabi terdahulu, tidak buat sof semasa beribadat. Sof ini hanya khas untuk umat Nabi Muhammad SAW sahaja. Jadinya jika kita mengambil mudah tentang sof ini, maka kita sebenarnya telah menolak kelebihan yang Allah nak bagi. 


40. Umat nabi lain, tiada boleh solat sembarangan tempat. Mereka hanya boleh solat di tempat ibadat khusus seperti orang kristian, buddha dan lain-lain. Inilah rahmat Allah. Kita boleh solat di mana-mana sahaja samada di tepi jalan, di dalam hutan atau dalam kapal terbang. Bagi orang yang tak solat tu, sebenarnya bukan mereka tak boleh solat, tetapi mereka malas nak mendirikan solat. 


41. Ada saja alasan untuk tidak menunaikan solat. Kalau tiada air atau masjid atau surau atau tempat khusus, boleh saja bertayammum malah boleh saja solat di mana-mana. Walau pun begitu, ramai di antara kita yang tak menunaikan solat dengan pelbagai alasan. 


42. Kenapa begitu malas menunaikan solat, sedangkan sanggup pula bekerja dari pagi hingga ke malam?  Jadi yang mana satukah yang lebih penat? Tempoh waktu untuk solat di antara 5 - 15 minit sahaja. Ada orang yang bekerja yang sanggup meninggalkan solat. Sebenarnya apa yang mereka cari atau nakkan dalam hidup? Adakah dengan mendirikan solat tu, dunia yang dicari tu tak dapat?


43. Sebenarnya apabila kita solat, kita akan dapat dunia dan akhirat. Sesiapa yang mengejar dunia sehinggakan meninggalkan solat, mereka akan terlepas akhirat dan mendapat dunia yang tidak membahagiakannya. Setuju? 


44. Jadi, jangan buat kerja yang merugikan diri sendiri yang mana akhirat kita terlepas dan diri sendiri pula terpaksa mengharungi dunia yang tidak membahagiakan malah menyiksakan jiwa dan raga. 


45. Sof yang tak betul, tak lurus dan tak rapat akan menyebabkan solat tersebut tidak sempurna. 


46. Setiap imam tida kira imam masjid atau pun RNR, wajib tengok sof-sof di belakangnya. Imam yang bertindak sedemikian adalah imam yang bertanggungjawab yakni imam yang benar-benar ikut sunnah Baginda Nabi SAW. Rapat bermaksud, bahu bertemu bahu dan kaki bertemu kaki (ukuran mengikut tumit).


47. Kadang-kadang kita lihat ada sof yang berterabur semasa solat terawih. Kemungkinan mereka bukan nakkan cinta Allah, mungkin nakkan tiang dan kipas. Itu sudah lari dari tujuan solat untuk mendapatkan keredhaan dan cinta Allah. Allah hanya cintakan sof yang betul, lurus dan rapat. 


48. Bagi orang yang solat berjemaaah tetapi sof tersebut tak betul dan tak rapat, sebenarnya mereka tak diajar atau tak dididik oleh mak ayah mereka. Maka perkara ini akan berulang dan berulang. Jika kita  yang ada anak-anak kecil dan kita perlulah didik mereka bersolat berjemaah dan pastikan mereka berebut-rebutkan sof pertama seperti mana sof malaikat iaitu rapat dan lurus bagi mendapatkan cinta Allah.


49. Kalau kita tak didik anak-anak semasa kecil pada waktu sekarang, sampai ke tua mereka tak nak rapat-rapatkan sof. Ada sesetengah orang, tidak suka malah berlagak sombong apabila kita meminta untuk rapat-rapatkan sof.


50. Ada juga segelintir orang tua di masjid yang tak mesra kanak-kanak. Ada setengah-setengah anak-anak yang hendak praktiskan sunnah nabi, namun tidak disokong oleh orang masjid.. Ini adalah kerana mereka ini tak dididik dari awal sehingga begitu perangainya. Walaupun terpampang di dinding masjid meminta betulkan, luruskan dan rapat-rapatkan sof ianya tetap berterabur.


51. Islam adalah agama sederhana. Jadi, jangan keterlaluan (extreme) dalam melaksanakan sunah nabi. Sabda Baginda Nabi SAW; 

"Sekiranya manusia tahu kelebihan berada di sof yang pertama maka semuanya akan hendak berada di sof pertama sehinggakan mereka sanggup untuk mengundi demi mendapatkan kelebihan sof pertama."


53. Namun, suasana sebegitu sudah tiada lagi sekarang. Kita solat dan kita tak buat apa yang Allah suka. Jadi apa tujuan kita solat, sedang kita nak solat kita diterima. Maka jangan solat ikut keadaan biasa (sof bertabur atau sof belakang), jangan pula solat ikut perasaan ataupun jangan solat ikut selesa kita sahaja tapi ikutlah apa yang Allah suka. 


54. Sof pertama bermula di belakang imam sebabnya apabila imam membaca, makmum perlu mendengar, memahami dan menghayati. Manakala sof kedua pula bermula dari tengah. Jangan buat sof seterusnya sekiranya sof di hadapan belum penuh, kerana sof yang tidak lengkap atau berterabur, Allah tidak akan terima solat tersebut.  


55. Dilarang juga menarik orang dari sof hadapan sebab ia akan menyebabkan sof menjadi kosong. Sof yang tak rapat akan menyebabkan syaitan masuk dan mengganggu jemaah bersolat. 


56. Ada juga di kalangan kita yang tidak mengendahkan perkara yang mengganggu solat sehinggakan solat menjadi tidak khusyuk kerana mereka mementingkan keselesaan. Adalah salah tujuan kalau begitu. Tujuan kita solat, adalah untuk dapatkan cinta Allah dan bukannya untuk memuaskan hati kita. 


57. Ada orang yang tak nak solat apabila panas, gelap, sempit atau sebagainya. Sedangkan Baginda Nabi SAW sanggup bersolat malam dalam gelap sehinggakan bengkak tumit kerana terlalu khusyuk. 


58. Semasa solat, dalam sof kita ada jemaah yang keluar, apa yang perlu kita buat? Menurut hadis nabi SAW, 

"Tiada seorang pun yang bergerak walaupun selangkah untuk menyempurnakan sof melainkan Allah membina satu rumah di syurga". 


59. Subhanallah! Namun budaya sekarang, jika ada sof kosong, ramai je yang buat-buat tak tahu. Kerana itu solat perlu dipelajari.  


59. Menurut hadis nabi SAW lagi, 

"Hendaklah kamu solat sebagaimana kamu melihat aku solat"


60. Kerana itu, jangan ikut imam atau solat orang ramai, ikutlah solat Baginda Nabi SAW jika kita nakkan solat yang sempurna.


61. Had sof adalah sampai ke hujung iaitu sampai ke dinding (sekiranya dalam masjid). Manakala sof perempuan yang terbaik adalah sof yang lagi jauh dengan lelaki. 


62. Adalah lagi terbaik wanita solat di rumah. Yang lagi terbaik adalah dalam bilik dan paling terbaik adanya tempat yang khusus untuk beribadat bagi mereka. 


Bagaimana nak dapatkan 27 pahala? 

63. Gerakkanlah suami untuk solat di masjid. Maka si isteri akan turut mendapat 27 pahala solat berjemaah. Adalah salah jika si suami solat berjemaah dengan isteri dan anak-anak di rumah kerana ia menyalahi sunnah nabi. Atas apa alasan sekalipun, walaupun nak ajarkan anak-anak bersolat. 


64. Guru yang terbaik adalah Rasullullah SAW. Baginda Nabi SAW tetap mengajar isteri dan anak-anak cara bersolat namun Baginda Nabi SAW tak pernah solat fardhu di rumah. 


65. Sekali sekala isteri/wanita boleh pergi ke masjid untuk belajar cara solat di masjid. Jadi jangan jadikan alasan nak ajar anak isteri solat maka si suami solat di rumah. 


66. Apabila belajar, kita perlu beramal. Bahkan kalau kita tahu dan kita tak beramal, ilmu itu akan dakwa kita di akhirat kelak, kenapa kita belajar tapi kita tak buat.


67. Yang mana lebih buruk yang jahil (tak tahu) dan tak buat dengan yang tahu tapi tak buat? 


68. Maka jadilah orang berilmu untuk dapatkan cinta Allah yang mana cinta itu adalah segala-galanya. Yakinlah dengan kata-kata Baginda Nabi SAW. Ini semua adalah untuk mengelakkan fitnah yang mana apabila perempuan melangkah keluar dari rumah, akan berlakulah fitnah samada dia yang mendatangkan fitnah atau pun orang yang sengaja mencari pasal dengannya. 


69. Kadang-kadang apabila nak pergi solat ke masjid, si wanita akan berfikir pelbagai perkara contohnya nak pakai telekung yang mana, telekung yang beli kat Bali atau yang kat Jakarta nak pakai, nak pakai kasut yang sama dengan telekung. Maka dah lari niatnya. 


70. Baginda Nabi SAW amat sayangkan wanita, maka si wanita solatlah di rumah bagi mengelakkan fitnah dan sebagainya.  


71. Berdasarkan hadis nabi; ada seorang wanita Ansar (Madinah) yang menemui Rasullullah SAW memberitahu si suami mendapat banyak pahala iaitu solat berjemaah dan keluar berjihad tetapi mereka tidak mendapat pahala yang sebanyak si suami, sedangkan mereka yang jaga makan minum dan menguruskan rumah serta bekerja untuk suami mereka. Lihatr cara wanita para sahabat ra berfikir. Mereka ada perasaan cemburu tentang pahala. Jadi mereka ini inginkan pahala yang suami mereka dapat.


72. Maka Baginda Nabi SAW menjawab; 

"Apa yang suami kamu buat, kamu akan dapat pahala sama seperti mereka"

Dah lah dapat solat terbaik, solat di rumah, dapat pulak pahala si suami yang solat berjemaah di masjid. Sangat-sangat beruntung menjadi seorang perempuan. 


73. Maka orang perempuan solatlah awal waktu dan doronglah si suami supaya solat berjemaah di masjid. 


Jika solat terbaik untuk wanita adalah di rumah, bagaimana pula dengan solat di Masjidil Haram atau Masjid Nabawi, wanita nak solat di mana?

74. Bersolat di Masjidil Haram dapat 100,000 pahala manakala solat di Masjid Nabawi dapat 1000 pahala. Jadi, solat terbaik untuk wanita adalah di rumah kecuali di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Kerana kita pergi ke Mekah untuk menunaikan umrah yang mana ibadat ini tak boleh dibuat di tempat lain. 


75. Pada zaman nabi, ada wanita yang bersolat di Masjid Nabawi yang mana ada pintu khas namanya Babus Nisa'. Jangan dihalang isteri-isteri kamu solat di masjid. Yang terbaik solat di rumah, tapi jika si isteri ingin pergi sekali-sekala ke masjid, ia tak salah dan tak pula jatuh haram. 


76. Namun jangan jadikan ianya kebiasaan untuk sentiasa solat di masjid. Jadi jika pergi ke Mekah, wanita boleh solat di Masjidil Haram, tapi jika solat di hotel, jangan sesekali berasa rugi. 


77. Di Mekah, ada juga wanita yang bersolat di surau hotel, jadi itu tidak termasuk solat di rumah, yang dimaksudkan di rumah adalah solat dalam bilik. 


78. Bagi wanita sebenarnya tak kisah solat di mana-mana namun solat yang terbaik adalah solat di rumah. Solat Jumaat pun tak salah bagi wanita, contohnya solat Jumaat di Masjidil Haram ataupun di  Masjid Nabawi. Itu tidak menjadi kesalahan. 


79. Tapi kalau di Malaysia, wanita tak digalakkan pergi sebab hari Jumaat, jemaah lelaki terlalu ramai. 


80. Jadi, nabi kata, betulkan sof kerana luruskan sof, rapatkan sof kesempurnaan solat. bila sof tak betul, sof tak lurus, sof tak rapat solat itu tak sempurna. 


81. berbalik pada ayat, 2

"Maka para malaikat yang mencegah (menghalang manusia dari buat maksiat) "


82. macamana malaikat menghalang, kalau org beriman, malaikat bantu kita dengan tiba-tiba kita terdengar ayat alquran yang kita faham, masa tu kita dengar tazkirah yang akhirnya kita tak jadi buat maksiat. 


83. Malaikat tak dapat pahala. apa sahaja yang mereka buat kebaikan dan ketaatan, malaikat tak dapat pahala, mereka masuk tak syurga, tapi allah gerakkan malaikat untuk bantu kita. 


84. dan ada juga pendapat tafsir yang kedua, malaikat yang menggerakkan awan, malaikat yang menggerakkan semua makhluk allah iaitu matahari, angin hujan dan sebagainya. 


85. ayat ke3

"Dia telah baca "


Tilawah maknanya adalah ikut. dalilnya; assyamsu ayat 1 - 2

"Demi matahari dan demi waktu dhuha (awal siang)"


86. Hebatnya Allah yang menciptakan matahari yang boleh menerangi satu dunia. Ada tak manusia yang boleh membuat satu lampu yang menerangi satu rumah atau satu shah alam contohnya. 


"Demi bulan apabila ia mengikuti matahari"


selepas keluar matahari, keluar bulan. 


87. Jadi maksud tilawah alQuran yang Allah suruh tu sebenarnya adalah ikut perintah. Maka sebab tu lah apabila baca quran wajib faham. kalau tak faham bagaimana nak ikut. nak ikut kena faham 


sebab tilawah maknanya ikut.

Rujuk surah alBaqarah 121

"orang yang kami telah beri kitab kepada mereka baca dan sebenar-benar bacaan, mereka itulah mereka beriman dengannya, siapa yang kufur, itulah orang yang rugi"


ulama kata hakko tilawati (benar-benar baca) adalah

1. baca perkataan (lafaz)

2. faham makna

3. amalkan


88. bilakah orang tersebut betul2 beriman dengan alKitab? Apabila mereka baca, faham dan amalkan. Baru lah Allah puji. itulah sebenar-benarnya beriman. Adapun dia 6 rukun iman tapi kitab tak faham. itu belum benar-benar beriman. 


89. Kufur lawannya iman. Setelah dia baca dia beriman, tapi ada juga yang setelah dia baca dia kufur. Quran ada 2 je, iaitu beriman atau kufur. 


90. yang beriman faham alquran dan dikatakan beriman setelah ia faham dan amal. yang dikatakan kufur apabila ia faham tapi ia tak amal. 


91. Syarat nak beriman, mesti faham. Syarat kufur mesti faham. contohnya orang munafik. Ada orang yang mendakwa dirinya beriman walaupun dia tak faham alquran.. contohnya masyarakat kita. 


92. Ramai tak orang melayu yang tak faham quran tapi mengaku beriman. pelik tak? lagi banyak yang dibaca dan khatam selepas tu mengaku telah beriman. 


93. Kita termasuk dalam kumpulan mana? yang faham dan beriman atau yang faham dan kufur atau yang tak faham dan mengaku beriman. Kita tak boleh nak mengaku kita faham dan beriman jika hanya faham beberapa ayat dalam alquran. 


94. Kita boleh mengaku yang kita faham 2 ayat dan beriman dengan 2 ayat tersebut. Insha allah , sekarang adalah proses kita untuk menjadi orang yang allah puji yang baca quran dengan hakko tilawati kemudiannya beriman. 


95. Dengan cara apa?

Sekarang byk tak ayat yang kita faham?

surah sof 1 - 3, 164 -165 (5 ayat)

surah albaqarah 121 (1 ayat)

surah assyam (2 ayat) 


96. Kali ni kita sudah faham 8 ayat. yang selama ni kita baca dan khatam mungkin 20 tahun, sudah berapa ayat yang kita faham? 


97. sebab cara kita tak sama ngan cara nabi. beginilah cara nabi ajar sahabat, sebab tu para sahabat berubah menjadi orang yang terbaik. 


98. kita berhenti pada ayat yang ke3. Wanita boleh solat zohor pada hari jumaat, sebaik sahaja  masuk waktu zohor 


99. Tapi lelaki haram solat zohor sedangkan dia tidak pergi solat jumaat. kalau dia nak solat zohor, dia wajib tunggu habis solat jumaat. Sebab lelaki wajib solat jumaat.


100. Pendapat paling kuat, berdoa pada hair jumaat paling mustajab adalah selepas asar, yang mengatakan antara khatib duduk itu tidak berapa kuat. 


Tapi ada waktu yang paling mustajab 5x sehari, iaitu selepas azan kita berdoa apa sahaja. 


"Ya Allah lembutkan hati anakku agar selalu pergi masjid" Allah akan makbulkan, insha allah. 


Sunnah nabi apabila dengar azan, jawab azan. kelebihannya sangat besar. kalau kita jawab azan dan baca doa selepas azan, kita akan wajib dapat syafaat nabi. Besar kelebihan itu.


Jadi wanita boleh tak dapat kelebihan tu? Boleh jawab azan.. contohnya ada 3 azan, jawab yang paling jelas. elakkan jawab ketiga-tiga azan tu. 


Kalau azan kat handphone, kita tidak dapat pahala kerana ia tidak menepati syaratnya adalah menjawab azan yang diazankan oleh Muazzin. Manakala azan kat handphone adalah azan rakaman.


Carilah rumah yang berdepan dengan surau sebab ada banyak kelebihan antaranya boleh dengar azan, boleh jawab azan, boleh solat berjemaah 5 waktu atau senang nak suruh anak solat berjemaah 5 waktu. Itu namanya strategic planning untuk akhirat. 


Apabila kita jauh dari masjid, kita akan ada banyak alasan antaranya penat, jauh ataupun letih apatah lagi kita nak suruh ke masjid atau surau, anak lagilah susah. 


Surau dan masjid adalah sama. Mana-mana tempat yang mendirikan solat 5 waktu maka dalam Islam, ia adalah masjid walaupun orang Melayu menamakan surau atau balasoh.

Sekian.




Post a Comment

0 Comments