Dimulai dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.
ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ فِرَٰشٗا وَٱلسَّمَآءَ بِنَآءٗ وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءٗ فَأَخۡرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ رِزۡقٗا لَّكُمۡۖ فَلَا تَجۡعَلُواْ لِلَّهِ أَندَادٗا وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ٢٢
Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya);
dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkan-Nya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu;
maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).
وَإِن كُنتُمۡ فِي رَيۡبٖ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا فَأۡتُواْ بِسُورَةٖ مِّن مِّثۡلِهِۦ وَٱدۡعُواْ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ٢٣
Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu,
dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.
فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ وَلَن تَفۡعَلُواْ فَٱتَّقُواْ ٱلنَّارَ ٱلَّتِي وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُۖ أُعِدَّتۡ لِلۡكَٰفِرِينَ ٢٤
Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.
Keterangan ayat 22 - 24 hal 6
1. Bumi itu seperti tikar. Sebagaimana tikar boleh kita duduki, berdiri dan tidur di atasnya, begitu pulalah bumi ini, dapat kita perbuat yang demikian itu.
Ada orang mengatakan bumi ini datar sebagai tikar. Tetapi itu menurut pemandangan manusia saja, kerana sebenarnya ia bulat. Tetapi kerana sangat besar maka memang sebahagiannya menjadi datar. Bertambah besar suatu bulatan bertambah luas datarannya.
Dalam surah An-Nur ayat 43 dijelaskan, bahawa hujan turun dari celah-celah awan yang bertompok-tompok.
أَلَمۡ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ يُزۡجِي سَحَابٗا ثُمَّ يُؤَلِّفُ بَيۡنَهُۥ ثُمَّ يَجۡعَلُهُۥ رُكَامٗا فَتَرَى ٱلۡوَدۡقَ يَخۡرُجُ مِنۡ خِلَٰلِهِۦ وَيُنَزِّلُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مِن جِبَالٖ فِيهَا مِنۢ بَرَدٖ فَيُصِيبُ بِهِۦ مَن يَشَآءُ وَيَصۡرِفُهُۥ عَن مَّن يَشَآءُۖ يَكَادُ سَنَا بَرۡقِهِۦ يَذۡهَبُ بِٱلۡأَبۡصَٰرِ ٤٣
Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis?
Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya. Dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang (awan) yang ada padanya;
lalu Ia menimpakan hujan batu itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan menjauhkannya dari sesiapa yang dikehendakiNya.
Sinaran kilat yang terpancar dari awan yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan menghilangkan pandangan.
2. Di antara manusia ada yang mengatakan, bahawa Al-Quran ini karangan Muhammad sendiri, bukan wahyu daripada Allah SWT. Maka untuk menjawabnya Allah berfirman:
"Cubalah kamu perbuat dan karang satu surah seperti Al-Quran ini, jika benar perkataan kamu".
Sekarang telah lebih 1400 tahun lamanya, belum ada seorang juga yang boleh memperbuat seperti Al-Quran ini.
Kalau kita kurang percaya bolehlah uji sendiri. Cubalah cari salah seorang yang tiada pandai tulis baca (buta huruf), tiada belajar di bangku sekolah dan tiada belajar di rumahnya.
Kemudian kita suruh dia mengarang suatu buku yang berisi petunjuk, pengajaran dan peraturan yang sesuai untuk sekalian tempat, umat dan masa.
Sampai sekarang, tiada kita peroleh orang yang pandai mengarang itu, baik orang barat ataupun orang timur.
Yang ajaib sekali ialah Nabi Muhammad SAW boleh mengubah umat Arab yang biadab menjadi umat yang berbudi-pekerti yang halus, umat yang berpecah-belah menjadi umat yang bersatu-padu dalam masa lebih kurang 23 tahun.
Perubahan itu tidak lain, hanya dengan petunjuk Al-Quran yang suci. Ini adalah suatu bukti, bahawa Al-Quran itu bukanlah karangan Nabi Muhammad SAW, malahan sebenarnya wahyu daripada Allah SWT.
0 Comments