Keterangan ayat 29 - 31 hal 7 - 8
1. Pada ayat 29 terang benar, bahawa Allah SWT menjadikan apa-apa yang dalam bumi untuk kamu (hai kaum Muslimin), iaitu seperti barang-barang yang dikeluarkan dari dalam tanah umpamanya emas, perak, batu arang, minyak dan sebagainya.
Oleh sebab itu seharusnya kaum Muslimin, khususnya dan rakyat negara ini umumnya berusaha mengeluarkan hasil bumi negara yang kaya-raya, supaya tercapai kemakmuran bersama.
Dalam ayat ini teranglah, bahawa Allah SWT menyesatkan kebanyakan orang, tetapi yang disesatkannya hanyalah golongan yang fasik. Sedangkan golongan yang beriman ditunjukki Allah hatinya.
2. Allah menjadikan tujuh (7) lapis langit. Adapun yang dikatakan langit ialah apa-apa yang di atas kepala kita, seperti awan, bintang-bintang, tempat peredarannya dan sebagainya.
3. Alam yang dijadikan Allah SWT ada dua macam:
a. Alam yang boleh dilihat dengan mata kepala atau dirasa dengan salah satu pancaindera seperti alam manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan, barang yang beku (padat), yang cair dan bangsa gas (udara). Barang-barang ini dinamai "Alam Jasmani".
b. Alam yang tiada dapat dilihat dengan mata kepala, tetapi kita ketahui bekasnya seperti roh manusia. Roh itu tiada boleh kita lihat, tetapi kita ketahui, seperti pandai berfikir, merasa senang dan sakit, berkemahuan dan sebagainya. Jika roh itu sudah melayang maka segala perasaan itu hilanglah daripada badan manusia. Alam ini dinamai "Alam Rohani".
Yang masuk alam rohani ialah roh, malaikat, iblis atau syaitan, jin dan sebagainya.
Keterangan malaikat dan iblis ayat 30 - 34
1. Malaikat adalah makhluk yang taat dan patuh menurut perintah Allah SWT. Mereka disuruh Allah SWT tunduk kepada Adam a.s, lalu mereka tunduk. Tetapi iblis atau syaitan makhluk yang ingkar dan durhaka kepada Allah SWT, tidak mahu menurut perintah-Nya.
2. Syaitan itulah yang membujuk-bujuk dan membisik-bisikkan kepada Adam a.s dan Hawa supaya keduanya memakan buah pohon yang dilarang Allah SWT memakannya, sehingga keduanya terperdaya, lalu dimakannya buah pohon itu. Akhirnya Adam a.s dan Hawa, dikeluarkan Allah SWT dari dalam syurga (Taman).
Iblis atau syaitan itu ialah musuh Adam a.s dan musuh anak cucunya. Ia yang memperdayakan dan membisik-bisikkan kepada roh anak Adam a.s, supaya memperbuat kejahatan. Sedangkan malaikat adalah teman anak Adam a.s yang menganjurkan dan membisikkan, supaya membuat kebaikan.
0 Comments