Tafsir Surah Al-Baqarah (Lembu Betina) | Ayat 6 - 20

Dimulai dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. 


Keterangan ayat 6 - 20 hal 4 - 5

Manusia itu beberapa macam:

1. Golongan yang beriman (percaya) kepada Allah SWT, nabi-nabi dan sebagainya. (ayat 2 - 5). 

2.  Golongan yang kafir (ingkar). Mereka ini tiada menerima kebenaran, kerana hati, pendengaran dan pemandangan mereka telah tertutup. 


Oleh sebab itu, mereka tiada memerhatikan isi alam yang luas ini untuk mengetahui, bahawa di atas segala kekuatan nature (alam) ini ada yang maha kuasa, iaitu Allah SWT yang menjadikannya. Mereka itulah golongan yang dimurkai Allah SWT, sebagaimana tersebut dalam Al-Fatihah ayat 7

3. Golongan munafik, iaitu orang yang pada lahirnya beriman kepada Allah SWT dan hari yang kemudian, tetapi sebenarnya mereka masih tetap dalam kekafiran. 

Mereka ini hendak menipu Allah SWT dan golongan yang beriman. Kalau mereka diberi nasihat dan peringatan, mereka tiada mahu menerimanya. 

Golongan yang munafik itu dalam keraguan. Sebenarnya mereka itu mendengar petunjuk Al-Quran sebagai suluh yang menerangi hatinya. 

Tapi kerana mereka dipengaruhi oleh kebiasaan mereka, maka petunjuk itu tiadalah diturutnya. Seolah-olah mereka, waktu ada dalam cahaya petunjuk Al-Quran itu, mereka kembali ke dalam gelap gelita juga. 

gambar sekadar hiasan


Mereka itu enggan mendengarkan petunjuk Al-Quran, sehingga mereka menutup telinga dengan anak jari mereka sendiri, supaya jangan kedengaran. 


Seolah-olah hal mereka, sama dengan orang yang menutup telinganya dengan anak jarinya, waktu hari hujan lebat, yang disertai oleh petir dan kilat. Mereka itulah golongan yang sesat sebagaimana tersebut di akhir Al-Fatihah. 




Post a Comment

0 Comments