Tafsir Surah Al-Baqarah (Lembu Betina) | Ayat 219

Dimulai dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.


۞ يَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡخَمۡرِ وَٱلۡمَيۡسِرِۖ قُلۡ فِيهِمَآ إِثۡمٞ كَبِيرٞ وَمَنَٰفِعُ لِلنَّاسِ وَإِثۡمُهُمَآ أَكۡبَرُ مِن نَّفۡعِهِمَاۗ وَيَسۡـَٔلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَۖ قُلِ ٱلۡعَفۡوَۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمُ ٱلۡأٓيَٰتِ لَعَلَّكُمۡ تَتَفَكَّرُونَ ٢١٩


"Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. 

Katakanlah: 

"Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? 

Katakanlah: 

"Dermakanlah - apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir:"


Keterangan ayat 219 hal. 46

Dalam ayat 219 teranglah, bahawa arak itu sebenarnya ada manfaatnya, seperti memanaskan tubuh, menghilangkan dukacita dan sebagainya. Tetapi kemelaratannya terlebih besar daripada manfaatnya, kerana ia berbahaya kepada kesihatan badan dan fikiran serta memboroskan wang. 


Berkata salah seorang doktor Jerman, "Orang yang banyak minum arak, jika umurnya 40 tahun, maka tubuhnya dan fikirannya seperti orang yang telah berumur 60 tahun."


Zarro Aga seorang peladang Turki, telah berumur lebih 100 tahun, sedang kekuatan tubuhnya dan fikirannya seperti orang yang masih muda. Tatkala ditanyakan orang kepadanya, apakah sebabnya yang demikian itu? Maka ia mengatakan, bahawa ia tidak pernah dari kecilnya meminum arak (alkohol).


Doktor-doktor Eropah telah sepakat, bahawa bahaya arak itu lebih besar daripada manfaatnya. Seolah-olah mereka sangat sesuai dengan peraturan Al-Quran yang telah turun lebih 1400 tahun lamanya. 


Ulama sepakat, bahawa minum arak yang dibuat dari buah anggur, hukumnya haram, baik sedikit ataupun banyak. Arak yang dibuat dari lain buah anggur boleh diminum sedikit (tidak memabukkan) menurut Hanafi. 


Begitu juga judi, gunanya menggirangkan hati orang yang beruntung dan orang miskin kadang-kadang menjadi kaya raya, dalam satu jam saja. Tetapi kemelaratannya terlebih besar daripada manfaatnya kerana berjudi itu menyebabkan permusuhan dan perkelahian serta melalaikan daripada berusaha dengan jalan wang halal seperti berniaga, bertani, bertukang dan sebagainya. 


Kadang-kadang berjudi itu merobohkan rumah tangga yang berbahagia. Kita lihat, golongan yang kaya-raya dalam satu jam, menjadi miskin dan hina-dina.




Post a Comment

0 Comments