Dimulai dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.
۞ أَتَأۡمُرُونَ ٱلنَّاسَ بِٱلۡبِرِّ وَتَنسَوۡنَ أَنفُسَكُمۡ وَأَنتُمۡ تَتۡلُونَ ٱلۡكِتَٰبَۚ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ ٤٤
"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?"
Keterangan ayat 44 hal 10
Ayat ini dihadapkan kepada Bani Israel untuk jadi petunjuk bagi guru-guru Agama, mubaligh-mubaligh, penyiar-penyiar Agama dan pemimpin-pemimpin umumnya, iaitu menyuruh orang berbuat kebaikan, tetapi kita lupakan diri kita sendiri.
Kita suruh orang berbuat amal soleh, tetapi kita berbuat maksiat. Kita suruh orang berlaku jujur dan berperangai baik, tetapi kita berlaku curang dan berperangai jahat. Kita suruh orang berkorban, tetapi kita tidak mahu berkorban.
Golongan yang seperti itu dikecam oleh Allah SWT dengan firman-Nya;
"Apa tidakkah kamu berakal?"
Seolah-olah orang yang memperbuat sedemikian, bukanlah orang yang berakal. Orang yang berakal, ia sendiri lebih dahulu melakukan pekerjaan yang baik, kemudian baru ia menyuruh orang lain memperbuatnya.
Dengan demikian, ia menjadi contoh dan tiru teladan bagi orang lain.
Demikianlah Nabi Muhammad SAW menyiarkan petunjuk Al-Quran kepada umatnya. Dengan demikian Nabi itu menjadi imam dan ikutan bagi umatnya.
Keterangan ayat 46
ٱلَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَٰقُواْ رَبِّهِمۡ وَأَنَّهُمۡ إِلَيۡهِ رَٰجِعُونَ ٤٦
"(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya."
يَظُنُّونَ dalam ayat ini bukan ertinya menyangka, melainkan yakin, sesuai dengan ayat 4 surah Al-Baqarah.
وَٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ وَبِٱلۡأٓخِرَةِ هُمۡ يُوقِنُونَ ٤
"Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya)."
Sebab itu dalam keimanan haruslah dengan yakin seyakin-yakinnya, tidak boleh ragu-ragu atau persangkaan saja.
0 Comments