Dimulai dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.
وَإِذۡ نَجَّيۡنَٰكُم مِّنۡ ءَالِ فِرۡعَوۡنَ يَسُومُونَكُمۡ سُوٓءَ ٱلۡعَذَابِ يُذَبِّحُونَ أَبۡنَآءَكُمۡ وَيَسۡتَحۡيُونَ نِسَآءَكُمۡۚ وَفِي ذَٰلِكُم بَلَآءٞ مِّن رَّبِّكُمۡ عَظِيمٞ ٤٩
Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya;
mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.
وَإِذۡ فَرَقۡنَا بِكُمُ ٱلۡبَحۡرَ فَأَنجَيۡنَٰكُمۡ وَأَغۡرَقۡنَآ ءَالَ فِرۡعَوۡنَ وَأَنتُمۡ تَنظُرُونَ ٥٠
Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun),
maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.
Keterangan ayat 49 - 50 hal 11
Firaun ialah raja Mesir (Egypt) purbakala. Ia mempunyai kebesaran yang hebat sehingga ia mengatakan bahawa ia Tuhan yang patut disembah.
Arakian tersebutlah dalam perkataan ahli nujum, bahawa kerajaannya itu akan dirosakkan oleh seorang anak lelaki yang akan lahir ke dunia.
Oleh sebab itu diperintahkannya supaya semua anak lelaki yang lahir dibunuh, sedang anak-anak perempuan boleh dihidupkan.
Tetapi kerana Allah SWT hendak memeliharakan Musa a.s yang lahir pada waktu itu, maka tiadalah ia terbunuh sehingga ia menjadi nabi sambil menyeru Firaun dan rakyatnya, supaya semuanya menyembah Allah SWT. Tetapi seruan itu tidak diterimanya.
Oleh kerana kezaliman yang diderita oleh Musa a.s dan pengikut-pengikutnya, maka larilah mereka menuju Jerusalem (Baitulmuqaddis), sedang Firaun dengan bala tenteranya mengejar mereka dengan segera.
Tatkala sampai Musa a.s dan pengikut-pengikutnya ke Laut Merah, maka belah-dualah (bercerailah) air laut itu sehingga lalu mereka di sana dengan selamat.
Setelah sampai mereka di seberang laut, sedang Firaun dan bala tenteranya masih dalam laut, maka bertemulah kembali air laut itu, sehingga karamlah mereka semuanya.
Air laut menjadi belah dua itu adalah mukjizat Musa a.s (pekerjaan luar biasa). Sesetengah orang yang tak percaya kepada mukjizat mengatakan, bahawa Musa a.s sewaktu melalui Laut Merah itu, ialah waktu pasang surut, waktu Firaun masih di dalamnya tibalah waktu pasang naik.
0 Comments