Tafsir Surah Al-Baqarah (Lembu Betina) | Ayat 183 - 185

Dimulai dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.


Keterangan ayat 183 - 185 hal. 37 - 38

Allah telah "memerlukan" puasa, iaitu menahan nafsu daripada makan, minum dan bersetubuh dengan perempuan, pada siang hari bulan Ramadhan. Hikmahnya ialah untuk mendidik rohani dan budi pekerti. 


Orang yang suka menahan nafsunya, kerana semata-mata mengikut perintah Allah SWT, nescaya akan terdidik mengingat Allah SWT setiap waktu, serta malu kepadaNya akan memperbuat dosa. 


Oleh sebab itu, ia tiada suka memakan hak orang dengan jalan menipu atau korupsi, meskipun amat tersembunyi. Sedangkan memakan yang halal, kepunyaan dia sendiri dalam puasa, ia dapat menahan nafsunya, apalagi memakan yang haram, hak orang lain atau memperbuat yang dilarang Allah SWT. 


Dan lagi orang yang puasa itu, waktu ia merasa kelaparan, tentu ia teringat kepada fakir miskin, yang setiap hari merasa kelaparan. Dengan jalan begitu, tertariklah hatinya untuk berderma kepada mereka. 


Puasa itu tiada wajib atas:

1. orang sakit

2. orang yang dalam perjalanan (musafir)

Tetapi kedua-duanya wajib mengqadha (mengerjakannya) manakala telah sembuh penyakitnya atau sampai perjalanannya. 


3. orang yang amat berat baginya mengerjakan puasa umpamanya orang yang sangat tua, perempuan hamil atau menyusukan bayi dan golongan yang mengeluarkan batu arang dari dalam tambang. Golongan tersebut ini boleh meninggalkan puasa, tetapi wajib memberikan derma beras setiap hari (fidyah), banyaknya 5/6 liter. 


شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِيٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدٗى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٖ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهۡرَ فَلۡيَصُمۡهُۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُكۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ ١٨٥

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. 

Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; 

dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. 

Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur."


Dalam ayat 185 terang benar, bahawa puasa itu wajib atas golongan yang berada dalam bulan Ramadhan. Lamanya 29 atau 30 hari. Adapun golongan yang tinggal di kutub Utara dan Selatan, yang lama siangnya 6 bulan dan malamnya 6 bulan pula, maka tiadalah wajib atas mereka berpuasa selama siangnya (6 bulan), kerana sehari semalam di sana lamanya setahun. 


Cuma di sana kira-kira saja bulan Ramadhan dengan perantaraan jam dan almanak negeri Mekah atau negeri yang berhampiran dengannya. Tetapi jika amat susah berpuasa di sana, kerana sangat dingin, maka boleh memberi fidyah saja. Memang di sana tidak ada bulan Ramadhan seperti di negeri kita. 


Di sini terang benar, bahawa Al-Quran itu bukanlah karangan Nabi Muhammad SAW melainkan semata-mata wahyu daripada Allah SWT. Kerana karangan seseorang mestilah menurut yang sesuai dengan tanah airnya, masanya dan pengetahuan yang ada pada waktu itu. Tetapi Al-Quran dapat bersesuaian dengan segala tempat dan masa, sekalipun ilmu pengetahuan telah bertambah tinggi. 


Oleh sebab itu Allah berfirman:

"Barang siapa yang hadir (berada) di antara kamu dalam bulan Ramadhan, maka hendaklah ia berpuasa. Jadi ada pula di antara kamu (hai manusia) yang tidak berada dalam bulan itu, iaitu golongan yang tinggal di kutub Utara dan Selatan."


Merujuk kepada ayat 179 ...

وَلَكُمۡ فِي ٱلۡقِصَاصِ حَيَوٰةٞ يَٰٓأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٧٩

"Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa."

Erti Qisas = balasan. 

Nyawa dibalas dengan nyawa. Kalau setiap pembunuh mengetahui bahawa dia membunuh orang, nanti dia akan dibunuh pula, tentu dia tidak mahu membunuh orang. Maka dengan hukuman bunuh itu hidup orang banyak dengan aman. 




Post a Comment

0 Comments