Tafsir Surah Al-Baqarah (Lembu Betina) | Ayat 190 - 195

Dimulai dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.


Keterangan ayat 190 -195 hal. 39 - 41

Adalah Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya pergi ke Mekah untuk mengerjakan haji. Lalu mereka dilarang oleh golongan kafir Mekah untuk memasuki Kota Mekah serta dilemparnya dengan panah dan batu-batan, sehingga hampir terjadi peperangan antara kedua-dua belah pihak. 


Tetapi dengan kebijaksanaan Nabi Muhammad SAW dapatlah ia mengadakan perdamaian iaitu Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya tidak boleh masuk Kota Mekah pada tahun itu, melainkan pada tahun depan. 


Pada tahun depan, pergilah mereka ke Mekah untuk mengerjakan haji, tetapi mereka menaruh khuatir dalam hati, kalau-kalau orang kafir Mekah itu melanggar perjanjian dan memerangi mereka, padahal waktu itu mereka sedang mengerjakan haji dan pada bulan suci yang terlarang berperang pada bulan itu semenjak dahulu kala. 


Oleh sebab itu, turunlah ayat-ayat ini. Hendaklah kamu perangi pada jalan Allah golongan yang memerangi kamu, tetapi janganlah kamu melampaui batas, iaitu memerangi golongan yang tidak memerangi kamu atau golongan yang tiada masuk berperang, seperti anak-anak, perempuan-perempuan, golongan tua, golongan sakit dan sebagainya. 


Tatkala terjadi peperangan itu, hendaklah kamu bunuh golongan kafir itu di mana-mana bertemu dengan mereka, kecuali mereka masuk ke tanah haram. Tetapi jika mereka memerangi kamu di tanah haram itu, maka bolehlah kamu membunuh mereka. Jika mereka berhenti dari memerangi kamu hendaklah kamu berhenti pula.


Maksudnya peperangan itu ialah supaya tidak ada fitnah, kerana fitnah itu lebih jahat daripada pembunuhan. 


Jika fitnah itu telah hilang, sehingga setiap orang merdeka memeluk agama Islam, dengan tidak ada halangan dan siksaan, maka tiada boleh menganiaya mereka. Tetapi barang siapa yang aniaya kepadamu, maka boleh kamu aniaya kepadanya, setimpal dengan aniayanya kepadamu. 


Hendaklah kamu belanjakan hartamu untuk keperluan peperangan. Dan janganlah kamu lemparkan dirimu ke dalam kebinasaan, seperti memasuki peperangan dengan tiada persediaan atau tiada bersenjata. Hendaklah kamu perbaiki urusanmu, baik urusan kewangan, pengetahuan, tentera, alat senjata ataupun lainnya.


Dalam ayat yang tersebut itu terang benar, bahawa golongan yang disuruh Allah SWT memeranginya, ialah golongan yang memerangi kamu (hai golongan Islam). Dan Allah SWT melarang keras melewati batas. 


Dengan keterangan ini jelaslah, bahawa agama Islam, bukanlah disiarkan dengan mata pedang sebagaimana tuduhan sesetengah orang kepada Islam, melainkan dengan perantaraan seruan yang lemah lembut serta keterangan yang cukup. 




Post a Comment

0 Comments