Dimulai dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.
Surah Al-Fatihah mempunyai 7 ayat diturunkan di Mekah.
Surah ini merupakan surah pertama atau pembuka dalam Al-Quran. Surah ini pertama menurut susunan, bukannya surah pertama diturunkan tetapi surah pertama yang diturunkan secara lengkap iaitu sebanyak 7 ayat.
Walaupun ringkas, tetapi padat dengan asas-asas agama di dalamnya yang terdiri daripada akidah, ibadah dan manhaj.
Tahukah Kita?
Allah SWT menjawab setiap bacaan kita dalam surah Al-Fatihah. Apabila hamba-Ku mengucapkan, Allah SWT menjawab.
"Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam."
Allah menjawab: Hamba-Ku memuji-Ku
"Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang."
Allah SWT menjawab: Hamba-Ku menyanjungi-Ku
"Maha Penguasa Hari Kemudian."
Allah SWT menjawab: Hamba-Ku mengagungkan-Ku
"Kepada Engkau kami menyembah dan kepada Engkau kami minta pertolongan."
Allah SWT Menjawab: Inilah bahagian-Ku dan bahagian hamba-Ku dan hamba-Ku apa yang dimintanya
"Pimpinlah kami ke jalan yang lurus, iaitu jalan orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan yang orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula jalan orang yang sesat."
Allah SWT menjawab: Inilah bahagian hamba-Ku, dan bagi hamba-Ku apa yang dimintanya.
Keterangan ayat 1 - 7 hal 1
1. Dengan nama Allah SWT dan perintah-Nya, aku membaca surah ini. Apa-apa pekerjaan baik yang akan kita kerjakan hendaklah dengan nama Allah SWT, ertinya kerana Allah SWT dan mengharapkan keredhaan-Nya, iaitu dengan menyebut "Bismillah...."
2. Apa-apa nikmat yang kita terima dan apa-apa yang indah di antara isi alam yang luas ini, hendaklah kita puji Allah SWT kerana pokok dan asalnya ialah daripada Allah SWT.
3. Allah SWT itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang lebih-lebih lagi kepada kita, kerana Dia yang menganugerahkan fikiran yang luas dan anggota yang cukup. Tetapi sekalipun begitu, Dia Maha Berkuasa pada hari kemudian buat menyeksa orang yang tiada menurut perintah-Nya.
4. Kerana Allah SWT amat banyak memberi kita bermacam-macam nikmat, maka wajiblah kita menyembah-Nya. Dan tiada yang disembah selain daripada-Nya.
Wajiblah kita minta tolong kepada Allah SWT untuk menyampaikan cita-cita kita dan menjayakan amalan perbuatan kita, kerana Dia yang berkuasa menghilangkan segala aral yang melintangi.
Adapun meminta tolong sesama manusia dalam batas kemampuannya, seperti meminta ubat dengan doktor, maka tiadalah terlarang.
Bahkan dianjurkan tolong-menolong itu. Tetapi jika kita meminta tolong kepada manusia di luar batas kemampuannya, seperti minta masuk syurga, murah rezeki, berbahagia dunia akhirat dan sebagainya, maka yang demikian itu amat terlarang dalam Islam.
Begitu juga meminta kepada batu-bata, kayu kayan, kubur-kubur dan sebagainya, kerana pekerjaan ini mempersekutukan Allah SWT dengan lain-Nya.
5. Hendaklah kita memohon kepada Allah SWT supaya Dia memberi hidayah dan taufiq kepada kita untuk melalui jalan lurus yang menyampaikan kita kepada kebahagiaan di dunia akhirat iaitu dengan menurut petunjuk Al-Quran.
6. Manusia itu ada tiga (3) macam:
a. Orang yang beroleh nikmat daripada Allah SWT serta tiada dimurkai dan tiada pula sesat kerana mereka mempergunakan nikmat itu menurut mestinya.
b. Orang yang dimurkai Allah SWT kerana ingkar akan Allah SWT dan nikmat-Nya yang tidak terhitung banyaknya.
c. Orang yang sesat atau salah mempergunakan nikmat itu atau dalam keraguan sehingga mereka itu tiada mengetahui jalan manakah yang akan ditempuhnya.
Apa-apa yang tersimpul dalam surah Al-Fatihah ini akan diterangkan dalam surah-surah yang kemudian.
Oleh sebab itu, surah Al-Fatihah ini dinamai "Ummul Kitab" ertinya Ibu Kitab (Al-Quran) kerana telah tersimpul di dalamnya segala isi Al-Quran iaitu:
(1) Tauhid (keimanan).
(2) Janji kebahagiaan di dunia dan akhirat bagi orang menurut petunjuk Al-Quran dan janji seksaan, jasmani atau rohani bagi orang yang tidak menurut petunjuk itu.
(3) Amal ibadat untuk mempertebalkan tauhid dan membersihkan jiwa.
(4) Menerangkan jalan yang lurus untuk mencapai kebahagiaan.
(5) Riwayat orang yang taat mengikut Allah SWT dan orang yang durhaka untuk menjadi iktibar bagi umat yang kemudian.
(6) dan lain-lain, seperti ayat-ayat yang berhubungan dengan akhlak, ilmu pengetahuan, sejarah, ekonomi, kemasyarakatan dan pembangunan. Bahkan di sana ada ayat-ayat yang berhubungan dengan pertahanan negara dan ketenteraan, sebagai bukti bahawa Al-Quran adalah universal (menerangkan segala sesuatu).
Keterangan erti : Rahman - Rahim
Allah nama Tuhan yang Maha Esa, tiada diterjemahkan.
Ar-Rahman dan Ar-Rahim berasal dari satu kata yang sama ertinya, iaitu rahmah = kasih sayang atau kasihan.
Tetapi Ar-Rahman lebih besar dan luas rahmatnya dari Ar-Rahim. Maka Rahmaniyah Allah SWT mengasihi dan memberikan rahmat yang maha besar kepada seluruh makhluk-Nya. Misalnya satu (1) kebaikan dibalas-Nya dengan 700 kali lipat.
Sedang Rahimiyah Allah SWT mengasihi dan memberikan rahmat yang besar kepada hamba-Nya. Misalnya satu (1) kebaikan dibalas-Nya dengan 10 kali lipat atau lebih.
Jadi erti Ar-Rahman = Maha Pengasih dan erti Ar-Rahim = Maha Penyayang.
Menurut sesetengah ahli Tafsir, bahawa erti Ar-Rahman mengasihi seluruh hamba-Nya, baik mukmin atau kafir. Sedang erti Ar-Rahim mengasihi mukmin saja.
Tafsir ini bertentangan dengan ayat yang mengatakan bahawa Allah SWT rahim ke seluruh manusia (Al-Baqarah : 143 dan Al-Hajj : 65)
Al-Baqarah : 143
وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَٰكُمۡ أُمَّةٗ وَسَطٗا لِّتَكُونُواْ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدٗاۗ وَمَا جَعَلۡنَا ٱلۡقِبۡلَةَ ٱلَّتِي كُنتَ عَلَيۡهَآ إِلَّا لِنَعۡلَمَ مَن يَتَّبِعُ ٱلرَّسُولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيۡهِۚ وَإِن كَانَتۡ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى ٱلَّذِينَ هَدَى ٱللَّهُۗ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَٰنَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِٱلنَّاسِ لَرَءُوفٞ رَّحِيمٞ ١٤٣
"Begitulah kami jadikan kamu umat yang pertengahan
(pertengahan antara berlebih-lebihan dan ketaksiran (kelalaian). Sesetengah orang utamakan dunia dan melalaikan amalan akhirat atau sebaliknya, atau mengutamakan material dan melalaikan spiritual atau sebaliknya. Yang baik ialah pertengahan dan seimbang antara keduanya. Itulah sifat umat yang pertengahan),
supaya kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia; dan Rasul menjadi saksi pula atas perbuatanmu.
Tiadalah Kami jadikan kiblat engkau yang dahulu itu, melainkan supaya Kami ketahui orang yang mengikut Rasul daripada orang yang kembali kepada kekafiran.
Sesungguhnya yang demikian itu amat berat, kecuali atas orang yang ditunjuki Allah. Allah tiada mensia-siakan keimanan kamu. Sungguh Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia."
Al-Hajj : 65
أَلَمۡ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ سَخَّرَ لَكُم مَّا فِي ٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡفُلۡكَ تَجۡرِي فِي ٱلۡبَحۡرِ بِأَمۡرِهِۦ وَيُمۡسِكُ ٱلسَّمَآءَ أَن تَقَعَ عَلَى ٱلۡأَرۡضِ إِلَّا بِإِذۡنِهِۦٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِٱلنَّاسِ لَرَءُوفٞ رَّحِيمٞ ٦٥
"Tiadakah engkau tahu bahawa Allah menyerahkan kepadamu apa-apa yang yang di bumi dan kapal yang belayar di laut dengan perintah-Nya. Dia menahan langit, supaya (jangan) jatuh ke bumi, melainkan dengan izin-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Penyantun lagi Maha Penyayang kepada manusia."
Menurut Syeikh M. 'Abduh , erti Ar-Rahman memberikan rahmat dan erti Ar-Rahim mempunyai rahmat yang tetap.
Tetapi menurut Ibnul Qaiyim sebaliknya: Ar-Rahman = mempunyai rahmat dan Ar-Rahim = memberikan rahmat.
Keterangan erti kata-kata yang lain
1. Rabb asalnya daripada tarbiyah = pendidikan iaitu membentuk sesuatu dari satu keadaan kepada keadaan yang lebih baik sehingga sampai ke batas kesempurnaannya.
Rabb = Tuhan yang mendidik, memimpin dan mengatur seluruh alam. Ya Rabbi = Ya Tuhanku; jamaknya arbaab.
Rabbu 'ibait = yang punya rumah, tuan rumah.
2. Al-'aalamiin jamak 'aalam. Selain daripada Allah SWT dinamai alam iaitu alam manusia, alam haiwan, alam tumbuh-tumbuhan, alam malaikat, alam jin dan sebagainya.
3. Maaliki = yang mempunyai, yang memiliki.
Maliki dengan pendek ma = raja, penguasa, yang memerintah.
4. Addin = pembalasan dan ada juga ertinya ta'at (patuh), tunduk, syari'at (agama).
5. Na'budu asalnya dari 'ibaadah = ibadat, iaitu melahirkan kehinaan dan kerendahan diri kepada Allah Yang Maha Kuasa dengan melakukan amalan-amalan yang tertentu.
6. Ihdinaa berasal dari hidayah = petunjuk. Petunjuk itu banyak macamnya seperti petunjuk akal, petunjuk agama, petunjuk Nabi SAW dan sebagainya. Yang dimaksudkan di sini ialah petunjuk Allah SWT yang langsung ke dalam hati hambanya yang mukmin, dinamai juga taufiq. Sebab itu kita selalu minta hidayah dan taufiq kepada Allah SWT.
7. Yang dimaksud dengan jalan yang lurus ialah semua yang menyampaikan kita kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat iaitu dengan mengikut petunjuk Al-Quran atau menurut ajaran agama islam.
8. Jalan yang lurus itu telah dituruti oleh orang yang mendapat nikmat daripada Allah SWT serta tiada dimurkai dan tiada pula sesat sebab mereka mempergunakan nikmat itu menurut mestinya.
Adapun orang yang mendapat nikmat, tetapi nikmat itu dipergunakannya untuk memperbuat maksiat (dosa), seperti orang kaya-raya yang mempergunakan kekayaannya untuk berjudi, minum arak, berbuat jahat (zina) dan sebagainya. Maka orang itulah orang yang dimurkai Allah SWT.
Begitu juga orang yang mempergunakan kekayaannya untuk berfoya-foya., bermewah-mewahan, memboroskan wang kepada yang tak berguna (membazir) dan sebagainya. Maka orang itulah yang dikatakan sesat atau salah mempergunakan nikmat Allah SWT.
Kita bermohon kepada Allah SWT, mudah-mudahan kita mendapat nikmat dan kurnia daripada-Nya yang kita pergunakan untuk amal kebaikan dan menyiarkan agama islam, Amin.
Fakta Saintifik
1. Alam merujuk kepada ciptaan alam semesta seluruhnya termasuklah bintang-bintang, planet dan galaksi serta seluruh makhluk yang terdapat padanya.
2. Bumi kita berusia 4.5 billion tahun manakala seluruh alam sejagat telah berusia 13.5 billion tahun.
3. Bulan meyebabkan berlakunya kejadian air pasang surut di bumi.
Doa dalam Al-Quran | Jalan yang lurus
"Bimbinglah kami ke jalan yang lurus" |
Surah Al-Fatihah: 6
Sebuah doa yang memohon supaya Allah SWT memberikan petunjuk. Doa ini juga bermaksud,
"Semoga Engkau (Allah) terus memberikan petunjuk kepada kami di atas jalan yang lurus dan janganlah Engkau palingkan kami ke jalan yang lain."
Sumber:
Buku Di Sebalik 114 Nama-Nama Surah,
Tafsir Quran Karim Prof. Dr. H. Mahmud Yunus dan;
Ensiklopedia Nasyrul Quran
Semoga usaha kecil ini diberkati.
0 Comments