27 January, 2011

Ketika Pintu Syurga Terbuka



Jaga-jaga lima waktu,
Semuanya cepat berlalu,
Zohor Asar Maghrib Isyak dan Subuh.

Berkerja dan berusaha,
Jangan lupakan ibadah,
Malam tahajud, pagi dhuha.

KETIKA PINTU SYURGA MASIH TERBUKA  DI RUMAHMU, SEGERALAH MASUK, JANGAN SAMPAI KEBURU TERTUTUP.

Saya menziarahi seorang kawan yang kematian ibunya yang selalu dijaganya selama ini, dia berbisik kepada saya sewaktu bersalaman, 

"Telah hilang pintu syurga di rumah saya."

Saya hanya mengucap takziah dan menyantuninya dengan nasihat untuk mengikhlaskan dan bersabar.

Apa maksud ucapannya pintu syurga di rumahnya telah hilang?
Ini adalah satu perkataan orang yang berilmu dan orang yang mengetahui. Apa yang disebut oleh kawan saya ini pernah disebut oleh seorang tabi’in Iyas bin Mu’awiyah yang menangis tersedu-sedu ketika meninggal salah seorang dari orang tuanya.

Ketika ditanya pada beliau, “Mengapa engkau menangis sedemikian rupa?"

Maka beliau menjawab, “Aku tidak menangis kerana kematian, sebab yang hidup pasti akan mati. Akan tetapi yang membuat aku menangis karena dahulu aku memiliki dua pintu ke syurga, tetapi hari ini tertutuplah satu pintu dan tidak akan dibuka lagi sampai ke hari kiamat. Aku memohon kepada Allah Taala agar aku boleh menjaga pintu syurga yang kedua."


Apa yang disebut oleh Iyas ini adalah berkaitan dengan sabda Rasulullah SAW diriwayatkan  dari Abu Darda RA, Rasulullah SAW bersabda:

الْوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ فَإِنْ شِئْتَ فَأَضِعْ ذَلِكَ الْبَابَ أَوِ احْفَظْهُ
"Orang tua (ibu dan ayah) adalah pintu syurga yang paling tengah. Kamu boleh mensia-siakan pintu itu atau kamu menjaganya."
- HR. Ahmad 28276, Turmudzi 2022, Ibn Majah 3794, dan dihasankan oleh Syuaib al-Arnauth.

Jadi kedua ibu bapa kita adalah ibarat pintu syurga bagi setiap anak, dengan maksud jika kita berkhidmat dan berbuat baik kepada kedua-duanya, maka Allah akan memberi ganjaran syurga, tapi barangsiapa yang mensia-siakan peluang ini, akan terlepaslah peluangnya untuk menuju ke syurga.

Bahkan mereka itu celaka. Rasulullah SAW bersabda, "Celaka, celaka, celaka."

Lalu ditanyakan kepada Baginda, "Siapa (yang celaka) wahai Rasulullah ?"

Maka Baginda bersabda, "Sesiapa saja yang menjumpai kedua orang tuanya, samada salah satu atau kedua-duanya di kala mereka lanjut usia, akan tetapi (perjumpaan tersebut) tidak memasukkannya ke syurga" -HR. Muslim.

Jadinya usahlah kita semua mensia-siakan peluang pintu syurga yang ada di rumah, lebih-lebih lagi jika usia kedua-dua orang tua telah lanjut, melangkahlah ke pintu syurga itu dengan berbuat kebaikan kepada kedua-duanya sebelum kita meninjau keluar untuk mencari syurga yang lain.

Jangan abaikan pintu syurga yang dilekatkan dan Allah kurniakan melalui ibu bapa di rumah kita. 

Dalam hidup ini, Allah membuka banyak kesempatan untuk dapat munuju ke  syurga, sedarlah untuk merebutnya,  jangan sampai lalai sehingga kita tidak boleh merebutnya.

Kemudian Allah mengambil balik satu demi satu peluang ini, maka tertutuplah satu demi satu kesempatan emas untuk ke syurga melalui pintu ketaatan kepada ibu bapa kita.

Mereka yang lalai dengan dunianya tidak akan terasa apa-apa dengan tertutupnya pintu syurga untuknya, tetapi mereka yang mengetahui, akan melihat wafatnya ibu atau bapa bagaikan tertutupnya pintu syurga di rumahnya.

Santunilah ibu bapa dan mertua ketika mereka masih ada, sementara pintu syurga di rumah masih terbuka.