27 April, 2015

Tafsir Surah an-Nahl Ayat 1 - 6 (Azab yang telah sampai)

Pengenalan

Azab telah datang kepada Musyirikin Mekah kerana mereka menolak ajaran Nabi SAW. Kemarau telah melanda Mekah pada ketika itu. 

Surah ini dibahagikan 3 bahagian : 

  • Bahagian (1) Ayat 1 - 112 membincangkan Tauhid yang menafikan syirik ilmu dan tasarruf. 
  • Bahagian (2) Ayat 113 - 119 menafikan syirik amali (perbuatan). Contohnya mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah Taala. Atau melakukan nazar kepada selain Allah Taala.
  • Bahagian (3) Ayat 120 sehingga habis. 

Hubungan dengan surah-surah sebelum ini :

  • Surah Ibrahim memberitahu dalil-dalil peristiwa tentang Tauhid 
  • Surah Hijr memberitahu jika tidak berpegang pada Tauhid, seseorang itu akan menyesal apabila mengadap Allah kelak
  • Surah Nahl memberitahu jika manusia menolak Tauhid, janganlah pula meminta-minta disegerakan azab.

Ayat 1 

Ayat Takhwif Duniawi - Musyirikin Mekah meminta disegerakan azab kepada mereka dengan cara mengejek-ejek Rasullullah SAW. 

Ayat 1 - 2 memberitahu Allah menurunkan al Quran untuk memberi peringatan kepada tauhid dan ajakan untuk bertaqwa kepada Allah sahaja. 


"Telah pasti datangnya ketetapan Allah maka janganlah kamu meminta agar disegerakan (datang)nya. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan."


Tafsir : 

Telah pasti datangnya ketetapan Allah

Ada 4 peringkat penurunan wahyu di Mekah. Ayat ini adalah peringkat ketiga sebelum Nabi SAW berhijrah ke Madinah. Musibah kemarau telah melanda penduduk Mekah kerana mereka meminta disegerakan azab.


maka janganlah kamu meminta agar disegerakan (datang)nya.

Jangan diminta azab sebaliknya mintalah hidayah, nanti datang rasa menyesal. Perbandingan antara jahil dengan beriman adalah si jahil meminta disegerakan azab sedangkan yang orang beriman takut kepada azab dan yakin hari kiamat itu adalah benar.


Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan.

Allah tidak sama sifatNya dengan makhluk. Dan janganlah mengangkat makhluk seperti Tuhan pula. Jangan menyembah atau berdoa kepada makhluk.


Ayat 2

Tauhid - Nabi SAW hendaklah menyampaikan ajaran Tauhid dan tiada tuhan selain Allah. Ia juga pembuktian yang Nabi SAW adalah rasul dan menerima wahyu.

"Dia menurunkan para malaikat dengan (membawa) wahyu dengan perintah-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya, iaitu: “Peringatkanlah olehmu sekalian, bahawasanya tidak ada ilah melainkan Aku, maka hendaklah kamu bertakwa kepada-Ku”."


Tafsir :

Dia menurunkan para malaikat dengan (membawa) wahyu dengan perintah-Nya

Wahyu adalah roh bagi roh manusia. Roh yang dimaksudkan adalah Al-Quran. Jasad kita memerlukan makanan daripada bumi kerana asal kejadian kita adalah tanah. Roh kita memerlukan makanan daripada wahyu. Kalau manusia tidak makan, maka ia lemah begitu juga dengan roh. 


kepada sesiapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya,

Manusia tidak berhak mempersoalkan kepada siapa Allah menurunkan wahyu. Musyrikin Mekah mempersoalkan kenapa Nabi SAW yang menerima wahyu kenapa tidak orang hebat-hebat yang lain. 

Sama juga seperti Syiah yang menuduh Jibrail silap menurunkan wahyu kepada Nabi SAW. Sepatutnya kepada Saidina Ali. Ini semua adalah karut dari golongan jahil.



 iaitu: “Peringatkanlah olehmu sekalian, bahawasanya tidak ada ilah melainkan Aku,

Tujuan diturunkan wahyu adalah untuk memberi peringatan kepada manusia. 


maka hendaklah kamu bertakwa kepada-Ku”.

Bertakwa iaitu sentiasa menjaga hukum dan sedar Allah sedang memerhatikan kita. Taat kepada hukum Allah dan takut akan balasan kepada yang ingkar. 


Ayat 3

Tauhid Kholiqiyyah - Dia yang menciptakan langit, bumi, manusia, haiwan, tanam-tanaman, mengatur perubahan malam dan siang, lautan dan isinya serta gunung-ganang. 

Kenapa berhala yang disembah sepatutnya kita harus sembah dan doa hanya kepadaNya sahaja. 


"Dia menciptakan langit dan bumi dengan hak. Maha Tinggi Allah daripada apa yang mereka persekutukan."


Tafsir : 

Dia menciptakan langit dan bumi dengan hak.

Allah jadikan bumi sebagai "bekas ujian" untuk kita. Kita harus amalkan kebaikan dan taat kepada Allah selama kita berada di dunia ini. 

Dia menzahirkan alam ini untuk menyatakan Dialah Maha Pencipta dan hanya saNya Dialah yang patut ditaati.

Jika tidak mahu taat, duduklah di tempat yang lain. Jadilah orang yang mengenang jasa sepanjang kita berada di atas muka bumi ini. 


Maha Tinggi Allah daripada apa yang mereka persekutukan.

Adalah syirik mengatakan makhluk sama sifat dengan Allah. Contohnya yang memohon pertolongan kepada Nabi dan wali sedangkan mereka telah wafat. 


Ayat 4

Dalil Aqli Anfusi - Allah Maha Tinggi, bagaimana dengan makhluk?

"Dia telah menciptakan manusia dari mani, tiba-tiba dia menjadi pembantah yang nyata."


Tafsir : 

Dia telah menciptakan manusia dari mani,

Allah memberitahu manusia dijadikan dari sperma yang ada dalam mani (sesuatu yang hina). Hinanya sehinggakan itik ayam pun tak nak kalau mani jatuh ke tanah.


tiba-tiba dia menjadi pembantah yang nyata.

Walaupun begitu, ramai yang berlagak. Degil dari menerima kebenaran dan tidak ingin taat kepada Allah. 

Manusia dijadikan dari benda yang tiada nilai kemudian diberikan segala keperluan tapi masih tidak juga mahu menerima kebenaran yang disampaikan oleh para RasulNya.


Ayat 5

Faedah dari segi jasmani / fizikal

"Dan Dia telah menciptakan binatang ternak untuk kamu; padanya ada (bulu) yang menghangatkan dan berbagai-bagai manfaat, dan sebahagiannya kamu makan."


Tafsir : 

Dan Dia telah menciptakan binatang ternak untuk kamu;

Salah satu kemudahan yang Allah berikan adalah binatang ternak dan Allah berbangga dengan ciptaanNya. 



padanya ada (bulu) yang menghangatkan

Salah satu nikmat Allah adalah kita dapat melindungi diri dari kesejukan malam dengan contohnya memakai baju dari bulu biri-biri. 


dan berbagai-bagai manfaat,

Banyak lagi nikmat yang lain antaranya susu, kulit dan untuk pengangkutan dan banyak lagi. 


dan sebahagiannya kamu makan.

Binatang ternak adalah salah satu sumber makanan utama kita. 


Ayat 6 

Faedah rohani dengan binatang ternak adalah kita tenang melihat mereka.


"Dan kamu memperoleh pandangan yang indah padanya, ketika kamu membawanya kembali ke kandang dan ketika kamu melepaskannya ke tempat penggembalaan."


Tafsir : 

Dan kamu memperoleh pandangan yang indah padanya, 

Kebanyakan golongan Arab adalah pengembala. Allah telah tanamkan rasa seronok memandang binatang ternak kita makan dan bermain-main. 


ketika kamu membawanya kembali ke kandang

Keindahan itu lebih ketara setelah binatang ternak itu kekenyangan dan bermain-main sesama mereka dan kembali ke kandang. 


dan ketika kamu melepaskannya ke tempat penggembalaan.

Dan pada waktu pagi juga ia amat indah ketika mereka berlari-lari keluar mencari makanan. Inilah anugerah Allah kepada kita.