23 January, 2019

Muhasabah


Kadang-kadang kita tidak suka sesuatu perkara yang berlaku di hadapan kita, tetapi Allah tetap mengizinkan ia berlaku.

Lalu kita marah, menjerit, merajuk, membawa hati dan merungut, sama ada dengan hati mahupun lidah dan juga perbuatan.

Kita terus bertindak mengikut nafsu melebihi akal dan iman. Di saat itu, kita sebenarnya sudah tewas dengan perasaan sendiri.

Perbuatan merengus, mendengus, merungut dan menyalahkan takdir sudah menguasai diri kita, sehingga akal kita yang sihat juga menjadi sakit.


Apabila lapar kita menjerit. Sepatutnya mengambil wudhu. Apabila sedih kita merintih kepada kawan, Sepatutnya mengadulah kepada Allah SWT.


Apabila tertekan kita mendengar muzik, Sepatutnya bacalah Al Quran. Apabila tertipu kita berdendam,

Sepatutnya bersabar.


Apabila kebingungan kita menonton wayang, Sepatutnya berzikir kepada Allah SWT.

Iman yang segar juga sudah mulai layu, hanya kerana kita terlalu melihat dan menghukum dengan nafsu.


Pernahkah kita muhasabah? Kita sebenarnya malu untuk menyemak kesalahan kita dengan Allah. Kita juga lupa melihat dosa-dosa silam kita sehingga Allah menghantar ujian itu untuk menjentik iman kita.

Allah sudah berpesan, kalau kita bersyukur, Allah akan tambahkan nikmat, kalau kita kufur, sesungguhnya azab Allah sangat pedih.

Sentiasalah nasihati diri, agar sentiasa syukur dengan perjalanan hidup. Walaupun belum bahagia atau senang, cubalah cari hubungan dengan Allah.

Hati kita sejuk atau menggigil bila sebut nama Allah. Getaran cinta kita lebih kuat pada Allah atau pada dunia. Itulah nilai iman yang harus kita istiqamah setiap masa.

Adakah teguran manusia pada kita untuk membetulkan jalan menuju Allah, kita pandang dengan remeh?

Atau kita bersyukur kerana ada insan-insan yang Allah gerakkan hati mereka untuk menasihati dan membetulkan kita.

Jika kita rasa lemah, gundah, sedih atau apa sahaja rasa di dalam hati. Mengadulah kepada Allah. Tuhan yang Maha Mendengar. Pasti akan hadirnya rasa tenang, dan akan ditunjukkan jalan keluar. Yakinlah..

Firman Allah yang bermaksud "Sekiranya hambaku bertanya tentang aku, maka ketahuilah bahawasanya Aku sangat dekat, dan Aku akan menjawab sekiranya hambaku memanggil aku."