Showing posts with label doa. Show all posts
Showing posts with label doa. Show all posts

05 February, 2011

Doa


Abaikan mereka yang membenci anda. Hidup adalah tentang kebaikan diri sendiri, bukan tentang kekejian hati mereka. Jangan berharap segalanya menjadi lebih mudah, tetapi berharaplah segalanya menjadi lebih baik.


*_”Ya الله, ampunilah dosa-dosa kami, kedua ibubapa kami, ahli keluarga kami serta murahkan rezeki kami, berilah kesihatan yang baik kepada kami, lanjutkan usia kami, kuatkanlah iman kami dan berilah keredhaanMu kepada kami. *Aamiin Ya Rabbal ‘Alamin.”




27 January, 2011

Ketika Pintu Syurga Terbuka



Jaga-jaga lima waktu,
Semuanya cepat berlalu,
Zohor Asar Maghrib Isyak dan Subuh.

Berkerja dan berusaha,
Jangan lupakan ibadah,
Malam tahajud, pagi dhuha.

KETIKA PINTU SYURGA MASIH TERBUKA  DI RUMAHMU, SEGERALAH MASUK, JANGAN SAMPAI KEBURU TERTUTUP.

Saya menziarahi seorang kawan yang kematian ibunya yang selalu dijaganya selama ini, dia berbisik kepada saya sewaktu bersalaman, 

"Telah hilang pintu syurga di rumah saya."

Saya hanya mengucap takziah dan menyantuninya dengan nasihat untuk mengikhlaskan dan bersabar.

Apa maksud ucapannya pintu syurga di rumahnya telah hilang?
Ini adalah satu perkataan orang yang berilmu dan orang yang mengetahui. Apa yang disebut oleh kawan saya ini pernah disebut oleh seorang tabi’in Iyas bin Mu’awiyah yang menangis tersedu-sedu ketika meninggal salah seorang dari orang tuanya.

Ketika ditanya pada beliau, “Mengapa engkau menangis sedemikian rupa?"

Maka beliau menjawab, “Aku tidak menangis kerana kematian, sebab yang hidup pasti akan mati. Akan tetapi yang membuat aku menangis karena dahulu aku memiliki dua pintu ke syurga, tetapi hari ini tertutuplah satu pintu dan tidak akan dibuka lagi sampai ke hari kiamat. Aku memohon kepada Allah Taala agar aku boleh menjaga pintu syurga yang kedua."


Apa yang disebut oleh Iyas ini adalah berkaitan dengan sabda Rasulullah SAW diriwayatkan  dari Abu Darda RA, Rasulullah SAW bersabda:

الْوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ فَإِنْ شِئْتَ فَأَضِعْ ذَلِكَ الْبَابَ أَوِ احْفَظْهُ
"Orang tua (ibu dan ayah) adalah pintu syurga yang paling tengah. Kamu boleh mensia-siakan pintu itu atau kamu menjaganya."
- HR. Ahmad 28276, Turmudzi 2022, Ibn Majah 3794, dan dihasankan oleh Syuaib al-Arnauth.

Jadi kedua ibu bapa kita adalah ibarat pintu syurga bagi setiap anak, dengan maksud jika kita berkhidmat dan berbuat baik kepada kedua-duanya, maka Allah akan memberi ganjaran syurga, tapi barangsiapa yang mensia-siakan peluang ini, akan terlepaslah peluangnya untuk menuju ke syurga.

Bahkan mereka itu celaka. Rasulullah SAW bersabda, "Celaka, celaka, celaka."

Lalu ditanyakan kepada Baginda, "Siapa (yang celaka) wahai Rasulullah ?"

Maka Baginda bersabda, "Sesiapa saja yang menjumpai kedua orang tuanya, samada salah satu atau kedua-duanya di kala mereka lanjut usia, akan tetapi (perjumpaan tersebut) tidak memasukkannya ke syurga" -HR. Muslim.

Jadinya usahlah kita semua mensia-siakan peluang pintu syurga yang ada di rumah, lebih-lebih lagi jika usia kedua-dua orang tua telah lanjut, melangkahlah ke pintu syurga itu dengan berbuat kebaikan kepada kedua-duanya sebelum kita meninjau keluar untuk mencari syurga yang lain.

Jangan abaikan pintu syurga yang dilekatkan dan Allah kurniakan melalui ibu bapa di rumah kita. 

Dalam hidup ini, Allah membuka banyak kesempatan untuk dapat munuju ke  syurga, sedarlah untuk merebutnya,  jangan sampai lalai sehingga kita tidak boleh merebutnya.

Kemudian Allah mengambil balik satu demi satu peluang ini, maka tertutuplah satu demi satu kesempatan emas untuk ke syurga melalui pintu ketaatan kepada ibu bapa kita.

Mereka yang lalai dengan dunianya tidak akan terasa apa-apa dengan tertutupnya pintu syurga untuknya, tetapi mereka yang mengetahui, akan melihat wafatnya ibu atau bapa bagaikan tertutupnya pintu syurga di rumahnya.

Santunilah ibu bapa dan mertua ketika mereka masih ada, sementara pintu syurga di rumah masih terbuka.



15 June, 2010

Tafsir Surah ar-Ra'd (Guruh) Ayat 10 - 13 (Malaikat Penjaga)

 


Ayat 10

"Sama saja (bagi Tuhan), siapa di antaramu yang merahsiakan ucapannya, dan siapa yang berterus-terang dengan ucapan itu, dan siapa yang bersembunyi di malam hari dan yang berjalan (menampakkan diri) di siang hari."


Tafsir :

Sama saja (bagi Tuhan), siapa di antaramu yang merahsiakan ucapannya, dan siapa yang berterus-terang dengan ucapan itu,

Allah mendengar segala apa yang kita ucapkan samada bercakap secara rahsia, berbisik atau dengan nyata. Tiada satu pun dapat disembunyikan daripada Allah. 


dan siapa yang bersembunyi di malam hari dan yang berjalan (menampakkan diri) di siang hari.

Allah sentiasa nampak apa yang kita perbuat samada secara tersembunyi atau nyata. Inilah kesempurnaan ilmu Allah yang tiada had. 


Ayat 11 

Ini ayat takwif duniawi.

Allah tahu segala dosa kita, kenapa kita masih belum diazabkan lagi?

"Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia."


Tafsir :

Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya,

Allah hantar malaikat yang sentiasa mengikut ke mana sahaja kita pergi (malaikat penjaga) dan sentiasa bertukar ganti. Setelah habis bertugas, diganti dengan malaikat lain.


Tugas para malaikat penjaga :

1. memastikan orang itu tidak mati sebelum masanya. Contohnya, excident teruk, tetapi orang itu tidak mati kerana masanya belum tiba dan dia dijaga oleh malaikat.


2. menjaga manusia daripada dimasuki jin. Jika malaikat ada, jin tidak berani datang. Jika kita berbuat syirik, malaikat akan meninggalkan kita dan senanglah jin kacau kerana kita tiada lagi pelindung.


Hadis sahih :

Malaikat-malaikat di malam hari dan malaikat-malaikat di siang hari silih berganti menjaga kalian, dan mereka berkumpul di waktu salat Subuh dan salat Asar. Maka naiklah para malaikat yang menjaga kalian di malam hari, lalu Tuhan Yang Maha Mengetahui keadaan kalian menanyai mereka, 


“Dalam keadaan apakah kalian tinggalkan hamba-hamba-Ku?” Mereka (para malaikat malam hari) menjawab, “Kami datangi mereka sedang mereka dalam keadaan solat dan kami tinggalkan mereka sedang mereka dalam keadaan solat.”


"Sesungguhnya bersama kalian selalu ada malaikat-malaikat yang tidak pernah berpisah dengan kalian, terkecuali di saat kalian sedang berada di tandas dan ketika kalian sedang bersetubuh, maka malulah kalian kepada mereka dan hormatilah mereka."


mereka menjaganya atas perintah Allah.

Malaikat menjaga kita depan dan belakang. Dengan turunnya ayat ini, Nabi Muhammad SAW tidak gentar dengan ancaman musuh kerana baginda tahu ada penjaga. 


Malaikat menjaga semasa kita tidur dan terbangun daripada kejahatan jin, manusia dan haiwan buas melainkan dengan takdir Allah, maka barulah dapat mengenainya.


Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.

Kamu akan dikenakan azab kalau tidak mengubah diri. Maksudnya, manusia akan terus mendapat kebaikan selagi dijaga oleh malaikat kecuali kalau mereka mengubah amalan dan agama mereka. 


Ayat ini sentiasa menjadi hujah. Manusia membuat kesalahanlah yang menyebabkan Allah menguji mereka dengan musibah. Sebenarnya Allah menguji ketaatan manusia. Bukanlah mereka diuji kerana kesalahan yang dilakukan. Janganlah kita kata seseorang itu berdosa kerana itulah mereka diuji. 


1. Jagalah hati orang. 

2. Kita tidak tahu hakikat kesusahan (ujian) yang dialami oleh orang itu. 


Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya;

Kalau Allah sudah takdirkan musibah atau azab kepada sesiapa, tiada sesiapa yang boleh menghalang. 


dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.

Sesiapa pun tidak akan ada yang dapar menjadi pelindung atau penolong kepadanya.


Ayat 12

"Dialah Tuhan yang memperlihatkan kilat kepadamu untuk menimbulkan ketakutan dan harapan, dan Dia mengadakan awan mendung."


Tafsir : 

Dialah Tuhan yang memperlihatkan kilat kepadamu

Kenapa Allah tunjukkan kilat kepada kita?


untuk menimbulkan ketakutan dan harapan,

Dalam kilat ada takut iaitu takut disambar kilat.


Dalamnya juga ada pengharapan, kerana kalau sedang kemarau, kilat itu petanda hari nak hujan. Jika mendengar guruh atau petir, Rasullullah mengajarkan untuk mengucapkan doa :

اللَّهُمَّ، لَا تَقْتُلْنَا بِغَضَبِكَ، وَلَا تُهْلِكْنَا بِعَذَابِكَ، وَعَافِنَا قَبْلَ ذَلِكَ

"Ya Allah, janganlah Engkau bunuh kami dengan murka-Mu, dan janganlah Engkau binasakan kami dengan azab-Mu, dan maafkanlah kami sebelum itu."



dan Dia mengadakan awan mendung.
Sifat awan itu berat kerana ada air di dalamnya. Apabila berlanggar sesama sendiri, maka terjadilah kilat. 


Ayat 13
Selepas kilat, guruh pula.
"Dan guruh itu bertasbih dengan memuji Allah, (demikian pula) para malaikat kerana takut kepada-Nya, dan Allah melepaskan halilintar, lalu menimpakannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan mereka berbantah-bantahan tentang Allah, dan Dialah Tuhan Yang Maha keras seksa-Nya."


Tafsir :
Dan guruh itu bertasbih dengan memuji Allah, (demikian pula) para malaikat kerana takut kepada-Nya,

Ada dua terjemahan : 

1. Mungkin Petir
Langit juga bertasbih. Caranya dengan bunyi guruh. Jadinya apabila bunyi guruh, kita pun perlu bertasbih juga.

2. Mungkin Suara Malaikat
Malaikat bertasbih dengan memuji Allah dan kerana takutkan Allah. Bunyi guruh amat kuat dan menakutkan. Tapi Allah sudah memberitahu yang malaikat yang bertasbih. Mereka kenal Allah. Jadinya, kalau kita tidak takut kepada Allah, maknanya kita tidak kenal Allah.


dan Allah melepaskan halilintar, lalu menimpakannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki,
Dan kadang-kala ada halilintar yang boleh membunuh jin dan manusia. Halilintar banyak terjadi pada akhir zaman. 


dan mereka berbantah-bantahan tentang Allah,
Walaupun Allah sudah menurunkan ayat-ayat yang menakutkan, tetapi manusia tetap mempersoalkan tentang Allah. Masih lagi mengamalkan syirik dan tidak mahu belajar tentang tauhid bagi membezakan yang mana yang syirik. 


dan Dialah Tuhan Yang Maha keras seksa-Nya.
Allah boleh menggunakan kekasaran kepada sesiapa pun. Allah boleh mengenakan musibah sehinggakan memusnahkan mereka. Maka jangan buat ikut suka hati, syirik dan dosa secara berleluasa dan melampaui batas. 



20 March, 2009

Doa Menghilangkan Gelisah, Stress, Tertekan dan Sedih

 

Bila hati tengah berserabut, stress atau gelisah, kawal perasaan perbanyakkan  istighfar. Ajar hati untuk sentiasa bersikap tenang walau hakikatnya berdepan masalah yang menyerabutkan fikiran. 

Kita yang kawal hati kita. Jangan biarkan persekitaran mengawalnya. Tenangkan hati. Tarik nafas dalam-dalam. Hembuskan perlahan-lahan. 


Bacalah surah Al-Insyirah 'Alam Nasyrah'. Sesudah itu bacalah .. "Rabbish rahli sadri Wayassirli amri Wahlul uqdatam millisani Yafqahu qauli".

Maksudnya;

"Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku dan mudahkanlah bagiku urusanku dan lepaskanlah simpulan dari lidahku supaya mereka faham ucapanku". ~ Qs Taha 25-28

Bila hati kian lapang, hidup sempit terasa senang. Walau berat dugaan datang, mampu hadapi dengan tenang. Alhamdulillah 🤲




07 February, 2009

Doa Orang Teraniaya Memiliki Kekuatan Yang Dahsyat


Ingatlah, doa orang yang teraniaya termasuk dalam golongan doa yang pasti dikabulkan ALLAH. Maka, apa saja doa yang mereka panjatkan sama ada bermaksud baik atau sebaliknya akan dimakbulkan. 

Tiga perkara yang perlu kita bimbang berlaku ke atas diri apabila terkena doa orang yang kita aniaya, fitnah dan zaliminya. Ini kerana doa mereka tiada hijab dan akan terus diperkenankan oleh ALLAH SWT.

ALLAH makbulkan doa orang yang teraniaya. Orang yang difitnah, dizalimi, dinafikan hak, disusahkan orang lain, disihir dan sebagainya yang berbentuk penganiayaan kepada pihak yang satu lagi. Maka berhati-hatilah akan doanya. Doanya tiada hijab, doanya mustajab. ALLAH Maha Mendengar doa orang-orang yang dianiaya orang lain. Orang yang dianiaya itu dibela ALLAH SWT.

Bagi kita yang teraniaya, walaupun doa orang yang dianiaya itu dimakbulkan ALLAH, didengari ALLAH, tapi berhati-hatilah dalam mendoakan sesiapa yang menganiaya kita, menzalimi kita dan melakukan sesuatu yang buruk serta tidak baik dalam kehidupan kita. 

Berdoalah untuk kita dipermudahkan urusan, diberikan petunjuk tentang apa yang perlu kita lakukan. Kepada mereka itu pula, kita biar saja ALLAH SWT membalas setiap perbuatan mereka kerana ALLAH SWT itu Maha Adil dan saksama.

Doa orang teraniaya memiliki kekuatan yang sangat dahsyat. Doanya akan mudah diterima oleh ALLAH SWT, seolah-olah seperti tidak ada sesuatu yang menghalanginya. Maka dari itu, sebagai seorang muslim wajib menghindari perbuatan menzalimi orang lain. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; 
“Ada tiga orang yang doanya tidak tertolak: Pemimpin yang adil, orang yang berpuasa sampai ia berbuka, dan doa orang yang teraniaya. ALLAH SWT akan mengangkatnya di bawah naungan awan pada hari kiamat, pintu-pintu langit akan dibukakan untuknya seraya berfirman: Demi keagunganKu, sungguh Aku akan menolongmu meski setelah beberapa saat.” 
(Hadis Hasan diriwayatkan oleh Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad).